Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Dec 1932, p.5

Editorial.

Patutkah disediakan Tanah bagi Umat Melayu Akan Datang?

Soal di atas barangkali mustahak dijawab pada masa ini, iaitu pada masa bangsa-bangsa asing itu sedang berkira berkehendakan tanah sawah dan tanah kampung sebagaimana adanya tanah kawasan Melayu.

Jika direnung peta Tanah Melayu, khasnya peta Selangor, kelihatanlah bahwa peta itu telah bercorak menunjukkan sebahagian besar dari tanah-tanah itu pada masa ini telah menjadi ladang getah, hutan simpan, tanah lombong, atau tanah kawasan Melayu.

Jika diperhatikan dengan mata, dimanakah adanya tanah-tanah kawasan Melayu itu tak mana kira lagi kita akan menampak rupanya kawasan-kawasan Melayu itu memang tersepit di sana sedikit, dan di sini sedikit, di celah-celah tanah lombong atau ladang getah yang luas-luas itu.

Adapun tanah kerajaan yang sebelum dipunyai orang yang agak luas pada masa ini ialah di dalam jajahan Kuala Selangor.

Jika policy kerajaan itu patut menyediakan tanah bagi umat Melayu yang akan datang, pada fikiran kita patutlah pula segala baki-baki tanah yang belum dimiliki orang itu dijadikan tanah kawasan Melayu tidak terhalang adakah akan diteroka oleh orang-orang Melayu pada masa ini atau tidak, melainkan harus diisyaratkan berterus terang dan tidak pula akan menjadi suatu halangan jika orang-orang Melayu belum berhajat kepada tanah yang demikian itu, pada masa ini.

Adapun hutan-hutan simpan atau hutan larangan yang ada pada masa ini haruslah kekal begitu di bawah jagaan Pejabat Hutan, tetapi hendaklah pula dinyatakan dengan berterus terang bahwa tidak ada surat-surat permohonan meminta tanah dari orang-orang yang bukan Orang Melayu itu harus dilainkan hingga kepada suatu masa yang lain.

Anak-anak bangsa asing itu pada masa ini sedang memujuk orang-orang Melayu supaya jangan khuatir kepada masa anak, tetapi kita bertambah khuatir apabila kita dapati bukan sedikit ladang-ladang getah kepunyaan satu tauke bangsa asing sahaja lebih luas dari setengah-setengah jumlah ekar kawasan Melayu.

Tuntutan bangsa asing berkehendakan tanah dengan alasan untuk anak-anak bangsa mereka yang telah bertukar bulu menjadi Malayan itu tak patut dilayani lagi. Oleh kerana jika permintaan mereka dikabulkan umpamanya dianugerahkan dua tiga ribu ekar tanah untuk bertanam nanas atau dua ribu ekar untuk bertanam tebu, tentu sahaja kuli-kulinya kelak daripada orang-orang yang baru memotong tocang dari benua Cina.

Terangnya orang-orang Cina yang masih segan mengaku Malayan, tetapi lambat launnya akan mengaku Malayan juga dengan mengeja jasanya telah mencurahkan peluhnya membuka kebun nanas atau kebun tebu itu sebagaimana diperbuat oleh orang-orang yang mengaku Malayan sekarang.

Permohonan meminta bahagian tanah sawah atau kampung dari orang-orang dagang yang telah mengaku Malayan yang memang mengaku dengan lidahnya telah bernegerikan negeri ini, lebih-lebih tahu harus dilayankan oleh kerana jika permohonan mereka itu dikabulkan, tak syak lagi satu surat permohonan sahaja kelak akan melebihi angka ekar satu kawasan Melayu.

Adakah kita percaya yang Baba-baba Peranakan itu akan turun bercawat ke dalam sawah?

Lagi, jika ditakdirkan sekalipun permohonan Malayan itu harus ditimbangkan, bolehkah kita bezakan modal siapa yang akan dijalankan meneroka tanah itu? Adakah halangannya modal bangsa Cina berjalan atas nama bangsa Malayan?

Bukankah kuli-kuli yang akan bersawah itu juga dari negeri Cina?

Cuba anggarkan jika lima permintaan Malayan itu kabul, berapa ribu anak-anak bangsanya dari Tongsan akan bekerja?

Oleh itu, haruslah kita berkata bahwa jika tanah-tanah yang bertinggal tidak dikemaskan dari sekarang, nescaya akan sampai masanya umat Melayu ini balik menumpang di dalam negeri, oleh kerana:

1. Tanah-Tanah yang dipunyai Melayu pada masa ini yang bukan kawasan Melayu akan terlucut dibeli orang.

2. Tanah kawasan Melayu itu tidak terhalang pula menjadi tanah lombong.

Betapa pula jika tanah-tanah yang bertinggal lagi itu harus dianugerahkan kepada bangsa asing?

Patutlah ingat bahwa mengharuskan bangsa-bangsa Malayan itu mendapat tanah lagi ertinya haruskan bangsa dagang juga!