Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Dec 1932, p.7

General Article.

Masih Lagi Tidur Ikan Disangka Batang!

Barangkali jauh hati saudara-saudara dan darah kita dari tanah Indonesia bila mendengarkan perbuatan Committee Pekan-Pekan Mingguan dari dua tiga tempat di dalam Melaka sebagaimana yang diwartakan oleh sahabat lama saya di Melaka, Tuan Asmara itu, pada Majlis bilangan yang lalu; dan kemudian dapat lagi kita mendengar huraian Tuan Pengarang Majlis sendiri terhadap pada bagaimana diperasingkan anak-anak Minangkabau dengan anak-anak Semenanjung.

Abhi amat bersedih hati dengan cara perbahasan yang demikian. Akan tetapi rupanya anak-anak Melayu Semenanjung belum mengerti bangsa dan kebangsaan. Wahai umat-umat Melayu, semuanya tanah Semenanjung dan keperluan Indonesia sanya tanah pesaka datuk nenek kita Orang Melayu.

Nama Minangkabau, Bugis, Jawa, Brunei, Aceh, Lampung, Palembang, Rawa, Kampar, Kelantan, Perak, dan lain-lain itu bukannya nama bangsa; ialah nama negeri. Bangsa kita yang tulen ialah "Melayu"!

Seluruh Indonesia mempunyai adat kesopanan serupa dengan anak-anak Melayu Semenanjung. Apakah yang mengasingkan kita? hanya nasibnya persaudaraan kita di bawah kuasa dua pemerintah, iaitu di sebelah kepulauan Indonesia di bawah pemerintah Belanda; dan di Semenanjung di bawah pemerintah Inggeris. Tetapi dengan itu persaudaraan sini dengan sana sudah tentu tidak dapat dianjak; iaitu satu persaudaraan yang tak akan lapuk oleh hujan dan tidakkan lekang oleh panas.

Bahkan di hari ini, nasib umat-umat Semenanjung makin sehari makin terhimpit oleh anak bangsa asing ((Malayan)) yang telah nyata sekali mereka itu berlainan maksud dan tujuan dengan kita Melayu. Bilangan umat-umat Melayu di ((FMS)) Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu lebih bakhil dari bangsa Cina, apatah lagi di negeri Selat.

Maka sudah barang tentu kita wajib memohonkan bantuan dari saudara-saudara kita di kepulauan Indonesia. bahkan amat benar kata Tuan Pengarang Majlis, Semenanjung patut mendatangkan kuli dari tanah Jawa atau dari segenap Indonesia pun.

Di salah satu rencana Abhi di ruangan Majlis yang lalu, ada menerangkan kita umat-umat Melayu wajib meramaikan bangsa Melayu, walaupun Melayu Ceylon itu, lamun kalau ia suka bekerja dan hidup senasib dengan Melayu-Melayu Semenanjung, kita umat-umat Melayu di sini wajib menyambut mereka dengan girang hati.

Telah memang "asal belut pulang ke lumpur", apatah lagi saudara kita di kepulauan Indonesia telah tentu bangsa dan kebangsaan kita; bahkan hampir semuanya umat-umat Melayu Semenanjung berasal dari Indonesia sekurang-kurangnya bercampur-campur gaul di antara umat Melayu Semenanjung dengan umat Melayu Indonesia, memang tak dapat hendak ditakrifkan, kerana sana dengan sini laksana campuran susu dengan air yang memang lazat cita rasanya. Tetapi antara Melayu dengan Malayan, telah memang umpama minyak dengan air; bahkan amat jauh dipandang dengan segala pandangan siasat sekalipun.

Umat-umat Melayu Semenanjung wajiblah insaf, janganlah ikan disangka batang. Kewajipan kita umat-umat Melayu tidak lain dari merapatkan barisan persatuan dan menambahi keramaian kaum, mengukuhkan ikatan persaudaraan antara satu dengan lain, kalau tidak selama-lamanyalah orang-orang Melayu akan merayap ke bawah wahi tanah Semenanjung Tanahair Melayu. Semakin jauh kita pandang bagaimana bezanya anak-anak Melayu di sini dengan penghidupan bangsa Timur asing, terutama Cina, serasa menitik air mata kita. Tetapi wahai umat-umat Melayu masih lagi gemar pada berpecah belah.

Ikatlah tali persaudaraan dengan sekuat-kuatnya. Haraplah Committee Pekan-Pekan Mingguan di sebelah satu tempat di Melaka mengubah aturan menahan saudaranya dari Indonesia bercampur di dalam perniagaan Pekan-Pekan Mingguan itu. Semakin ramai darah kita, semakin ditakuti disegani bangsa asing akan kita.

Sekianlah dahulu Abhi tuliskan, harapkan maaf. Was-salam.

Abhi, Pahang.

((Dihuraikan di rencana kita. Pengarang)).