Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 5 Dec 1932, p.5

Editorial.

Memulihkan Semangat Umat Melayu.

Adapun perkataan Semangat itu memang diketahui oleh orang-orang Melayu dari masa kecilnya.

Jika benar kaum manusia ini mempunyai dua jiwa, tidak dapat tiada semangat itulah jiwa yang kedua kemudian daripada nyawa.

Kanak-kanak yang tergencat disebabkan oleh penyakit, apalagi jika disebabkan oleh terperencat atau terkejut, ghalibnya ibu bapanya akan bersegera meminta pertolongan bomor atau dukun yang terbilang di dalam kampung itu untuk memulihkan atau menjemput semangat itu semula.

Tak usahlah kita fahamkan bagaimana kelakuan bomor-bomor dan dukun-dukun itu menjemput semangat anak itu, tetapi tak pernah kedapatan orang-orang kita pernah meminta pertolongan bomor jika nyawa anaknya telah melayang.

Jadi teranglah bahwa semangat itu jiwa yang kedua bagi tiap-tiap manusia kemudian daripada nyawa sedang semangat itu harus terbang dan harus balik semula. Manakala nyawa itu jika telah melayang tak akan berbalik lagi. Kanak-kanak yang tak bersemangat itu dinamakan Teriang Semangat. Tetapi yang tiada bernyawa dinamakan Mati.

Adakah kaum manusia harus bersemangat hingga sampai tua?

Sungguh pun barangkali tak pernah dilakukan orang menjemput semangat orang tua-tua tetapi bukanlah yang demikian itu menunjukkan semangat orang-orang yang telah berumur itu telah tegap ataupun tak berkehendak kepada semangat lagi.

Kerapkali disebut orang bagi kampung-kampung atau persekutuan-persekutuan yang tidak berseri itu, tidak bersemangat, bahkan orang-orang yang berkurangan seri mukanya itulah kerana kesusahan dikatakan juga tidak bersemangat hingga orang-orang yang putus asa kepada seorang lain ataupun berputus asa di atas satu pengharapan itu akan berkata, tak ada tempat semangat bergantung; yang bererti bahwa kaum manusia itu harus bersemangat hingga sampai tua.

Kalau diselidiki, kita harus berpendapatan bahwa semangat kanak-kanak itu berkendirian seorang-seorang, tetapi semangat orang yang telah tua itu berhimpun pada bangsanya atau sekurang-kurangnya pada kaumnya.

Bolehlah diertikan bahwa semangat sesebuah kampung itu bergantung kepada seri atau tuah kampung itu yang hanya akan diperoleh apabila isi kampung itu bersemangat sama-sama.

Sungguh pun kewajipan tiap-tiap seorang di dalam sesebuah kampung itu zahirnya untuk masing-masing, tetapi kampung-kampung yang isinya berhaluan nafsu-nafsi sahaja selamanya tidak bersemangat.

Kampung-kampung kita Melayu yang terbanyak boleh dikata tidak bersemangat. Tidak kelihatan tanda-tanda sebuah kampung itu bersemangat melainkan dengan menilik kepada penghidupan dan keamanan kampung itu. Jika isi kehidupan itu makmur, artinya bersemangatlah kampung itu. Tetapi kemakmuran kampung itu tidak akan diperdapat jika isinya berhaluan nafsu-nafsi yang selamanya akan menjauhkan diri dari seiya dan sekata di atas sebarang permuafakatan kampung.

Permuafakatan kampung itu bukannya hanya di atas mendirikan surau atau mendirikan Jumaat, tetapi yang terlebih wajib ialah mendirikan mata penghidupan bersama. Apabila hidup selesai kelak surau dan guru itu akan dikira sebagai satu perkara kecil sahaja.

Di dalam keluaran ini kita muatkan perkhabaran memulihkan semangat kampung dari pembantu kita. Di dalamnya barulah kelihatan tanda-tanda yang pertama bagi semangat-semangat kampung Melayu seumpama di Kuala Selangor, akan mendirikan syarikat membela ayam bagi kanak-kanak sekolah Melayu. Di Kalumpang ahli-ahli kampung Sungai Manggis sedang berkira akan membuka sebuah jalan keluar ke jalan raya, di Ulu Yam sedang berikhtiar hendak mendirikan ban dan di Batang Kali sedang berusaha hendak membuka tali air mengairkan sawah mereka itu.

Sesungguhnya begitulah tangga-tangga kemajuan kampung yang akan memulihkan semangat satu-satu kampung kerana pergerakan yang demikian itu bukannya untuk nafsu-nafsi, tetapi ialah untuk faedah bersama.

Sepanjang pengetahuan kita, bahwa Kampung Manggis di Kalumpang itu bukannya sebuah kampung yang baru dibuka, tetapi isi kampung itu belum pernah sedar kepada kewajipan bersama, meski pendiamnya tahu bahwa sebuah jalan keluar itu amat berguna bagi kemuslihatan kampung itu.

Tetapi tak siapa ingin melompat ke muka mensyorkan supaya difikirkan bagaimana ikhtiar hendak memperoleh jalan sendiri kalau kedapatan yang mengesyorkan pula tidak akan didapati pihak yang akan mengendahkan syor yang demikian itu. Akhirnya mereka sama-sama berpeluk tubuh menanti kalau-kalau ada kasihan orang-orang lain atau kerajaan.

Hendaklah umat kita mengerti bahwa belum kedapatan satu kaum di dunia ini yang telah maju dengan mengharap-harapkan pertolongan orang ataupun pertolongan kerajaan sahaja. Begitu pula anak-anak yang senantiasa mengharapkan pertolongan harta ibu bapanya itu tetap tidak akan mencium kemajuan pun.

Sekarang sekalipun kedapatan setengah-setengah kampung Melayu itu telah sedar kepada keselamatan bersama, dan setengahnya telah berkira hendak menyeru atau memulihkan semangat kampung, tetapi semangat kampung mereka itu tak akan pulih jika tidak berfaedah.

Semangat kampung itu hanya boleh diseru dengan jalan muafakat bersama, dan memperelok pertanian. Faedah muafakat bersama itu boleh didapati percuma dari Pejabat Syarikat Bekerja-kerjasama, manakala faedah memperelok pertanian itu boleh didapati dari Pejabat Tanam-Tanaman. Tidaklah salah bahwa bomor atau dukun untuk menyeru semangat kampung itu hanya Pegawai-pegawai Syarikat Bekerja-Kerjasama dan Pegawai-pegawai Tanam-Tanaman, sebagaimana dukun yang terbilang boleh menjemput semangat kanak-kanak di dalam satu-satu kampung itu.

Kita minta mudah-mudahan orang-orang Melayu kampung selamanya berjinak-jinak dengan Pegawai-pegawai Syarikat Bekerja-Kerjasama dan juga Pegawai-pegawai Tanam-Tanaman. Mereka memang pendita di dalam ilmu jampi penawar bagi menyeru semangat kampung, dan mereka memang digaji oleh kerajaan untuk pergunaan orang-orang kampung, tak salah lagi jika dikatakan memang abdi bagi khidmat orang-orang kampung pada hakikatnya.

Ingatlah sejauh mana kita lari daripada mereka itu, maka sejauh itulah pula kemajuan itu lari daripada kita. Sebaliknya sedekat mana kita berjinak-jinak dengan mereka itu, maka sedekat itulah pula kemajuan itu jinak kepada kita.

Begitulah pendapatan kita, sementara itu kita tunggu fikiran-fikiran pendita kita, adakah sebenarnya semangat umat kita telah lebih atau teriang? Jika begitu, apakah ubatnya atau dimanakah bomornya yang boleh memulihkan semangat itu? Was-salam.