Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 Jan 1937, p.3

Leader Article

Menghidupkan Bahasa Melayu di Ceylon (2).

E.S. al-Harahap.

1. Menurut riwayat sejak semula ini dijadikan oleh Rab penduduk pulau Ceylon ini adalah daripada mambang – peri dan jin serta lain2, sematalah juga dengan keadaan alam Melayu ini di zaman purbakala.

2. Kemudian datanglah sekumpulan anak2 raja buangan dari negeri Cola (iaitu di selatan Hindustan – negeri ini hilang dari muka bumi adalah sesudah Hindustan di taklukkan orang muslimin). Nama anak raja buangan itu disebut ‘wijaya’ anak raja ini mula2 mendarat di pantai Putatalam (terletak kira2 80 mil di utara Colombo) dan dia dapat kahwin dengan anak perempuan dari raja peri itu sebab kekuatannya dapat membunuh singa, dari sinilah datangnya nama orang Singhala artinya berdarah singa, Wijaya beranak dua orang laki2 dan sesudah kerajaannya hancur kedua anak itu membawa nasib masing2 dan turunan merekalah yang pertama menjadi “Vedda” iaitu orang hutan di Ceylon seperti orang Sakai dan Sakak di dalam Semenanjung tanah Melayu ini. Orang Singhala ini beragama Buddha dan adapun tulisan sendiri berasal daripada Sanskrit.

3. Orang Melayu dari kerajaan Sriwijaya (Sumatra) datang melanggar Ceylon dengan dikepalai Raden Cendra Banu. Mereka banyak menduduki pantai2 negeri ini. Sampai kalah perangnya dan mereka yang tertawan itu dipelihara oleh raja Singhala sebab berani dan setia. Mereka banyak yang pegang pangkat di istana raja.

4. Orang Moor juga datang dibawa oleh saudagar2 Arab dan Iran yang sudah masuk Islam dan orang2 Arab ini mula2 mendarat ialah di Beruwala jauhnya 335 mil di selatan Colombo - di mana didirikan satu masjid peringatan yang dinamai “Kaji Mali” dahulu jadi negeri perniagaan dan pusat tablighkan agama Islam orang Moor ini sekarang tiada tahu lagi bahasa mereka sendiri, banyak mengaku turunan Arab tetapi tidak tahu bahasa Arab. Mereka banyak pakai bahasa dan tulisan Keling. Baharu2 ini mereka telah buat satu tulisan sendiri disebutnya Arabi Tamil seperti Jawi kita yang sudah hampir berumur tujuh abad itu tetapi lebih banyak tanda2nya pada Jawi, sebab mereka mesti atur menurut bahasa Keling. Sebab mereka tiada punya tulisan yang khas orang pandang mereka terlalu rendah.

5. Orang Melayu datang kedua kalinya bukan sebagai pelanggar negeri tetapi sebagai orang buangan negeri dan setengah pula menjadi askar Portugis – Belanda – Spanyol yang telah mengkuasai pulau Ceylon dan setelah negeri jatuh pada Britain Besar orang Melayu ini dipakai mereka menjadi askar juga dan banyak membantunya di Hongkong, Kandy (Ceylon), Miswar (India) dan juga dalam peperangan Boer War di Afrika dalam tahun 1873 askar Melayu ini dihapuskan mulai daripada masa inilah mereka hidup sebagai anak negeri dan merasai segala azab sengsara yang tiada pernah dirasanya dahulu, selagi mereka dalam bahagian askar.

Di atas telah direncanakan bagaimana hal2 bangsa2 yang sekarang hidup di Ceylon ini. Sebab karangan ini semata2 dituliskan soal apa bahasa Melayu boleh dihidupkan di antara anak2 keturunan Melayu Ceylon, perihal bangsa2 lain itu kita tinggalkan sahaja.

Mulai daripada 1876 kehidupan orang Melayu telah menjadi berkacau balau sebab mesti berlomba dengan lain2 anak negeri asli kalau tiada tentulah akan mati kelaparan. Orang Melayu ini bukan biasa berkebun dan bercocok tanam seperti lain bangsa di sini mereka dibesarkan dalam barak askar dan hidup dalam peraturan askar. Saudara2 tentu telah melihat bagaimana rendahnya orang Melayu di sini memandang kepada orang Cina, penjual sayur mayur dan orang India tukang penjual sirih walaupun kita lebih miskin daripadanya. Tetapi kesombongan kita kerana belum sadar daripada bahaya yang datang dan bermegah diri turunan jati dan sebagainya, sebagaimana hal ini di sebelah sini begitu juga di Ceylon. Di mata orang Melayu hanya pakaian uniform askar itulah yang teramat baik dan termulia dalam dunia ini. Sehingga terlalu lalai mereka asyik berangan2 menakar asap akhirnya jatuhlah menjadi seperti sekarang ini.

Peraturan dunia tiada siap boleh tahan begitu juga hidup manusia di segala negeri yang dinaungi Britannia Besar bahasa Inggeris perlu tahu kalau tidak lebih baik masuk hutan jadi teman siamang dan kera lotong. Apakah saudara tidak rasa waktu Semenanjung Melayu kebanjiran India, Cina, Jepun sedang orang2 Melayu hanya dibuat mereka jadi suruhan – pion atau tembi. Jadi dari sini boleh diambil keputusan sedangkan semenanjung Melayu ada tanah Melayu jati lagikan begitu fardunya bahasa Inggeris konon pulakah Ceylon dan orang Melayunya yang sedikit itu. Dengan hal demikian inilah maka perhatian mereka kepada bahasa Melayu dan tulisan Melayu berkurang2 sehingga orang lain bilang bahasa itu bahasa mati walaupun dia masih hidup di antara orang2 Melayu dan bahasa dalam rumah mereka. Tak dapat pula diutamakan kesalahan ini kepada mereka sahaja dengan kita di Semenanjung dan di Indonesia hanya berdiam diri sahaja tidak mau mengirim guru2 agama dan bahasa serta adat lembaga kita dan sekarang kita merasa malu disebabkan bangsa Melayu tidak tahu bahasa Melayu. Wahau pemuda Melayu putera dan puteri rasailah kehinaan karena kealpaanmu juga suka menabung asap sehari2.

Maka beralasan dengan perasaan dan pengalaman di sini bolehlah saya jemput perhatian saudara2 sekalian bahwa bahasa Melayu itu belum hilang dari kalbu bangsa kita di sini tetapi sudah kurus, ibarat pohon kurang air dan baja. Mereka apabila berbahasa Melayu jati – seperti: kedai, mereka tidak mahu pakai dalam bahasa Melayu – tetapi pasar kerana itu “kedai” adalah bahasa Keling – demikian juga pinggan mereka pakai perkataan piring – “pinggan” itu bahasa Keling dan hal kita di sebelah sini tidak diperbeza2kan semua itu apa yang datang di mulut sahaja walaupun bahasa asing – terus telan sahaja2 sedang bahasa Melayu yang lama dan bersih sudah mulai hilang daripada mulut yang mudalah sedang orang tua2 berpulang dan berkubur dengan ilmu dan bahasa yang mulia itu.

Sebagai penutup marilah kita bekerja berusaha berdaya upaya menghidupkan nenek moyang yang mulia dan jaya itu, jangan hanya duduk berpeluk dan berpangku tangan. Korbankanlah apa2 yang ada padamu guna bangsa dan bahasa, guna anak dan turunanmu sehingga berhasil berkembang berbunga berputik berbuah, menjadikan bahasa Melayu bahasa tamadun, bahasa utama, bahasa mulia dan bahasa alam (lingua franca) di seluruh pantai lautan benua timur ini bukan begitu sahaja tetapi jadi bahasa di seluruh tanah dan benua Asia ini, amin dengan ucapan dan salam bahagia kepada tuan pengarang “Saudara” terdahulu terima kasih banyak dengan hormat.