![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 8 Dec 1932, p.5
Editorial.
Hawa Nafsu Tidak Berhad!
Hak Orang Yang Lain Itu Memang Lazat dan Tabiat Manusia Memang Berhawa Tinggi.
Oleh kerana hawa nafsu manusia itu tak dapat diujur besar atau tingginya; sebab itulah dikata tidak berhad atau dengan lain-lain perkataan tidak berkesudahan. Haloba dan tamak yang melewati batas itu sebenar-benarnya terbit dari pengadu hawa nafsu.
Tidak kedapatan kaum manusia di dunia ini yang tidak berhawa hendak menjadi kaya raya dan hendak menjadi raja sesebuah negeri, bahkan setengahnya melarat keluar batas hingga hendak menjadi Rasul dan Tuhan pun ada.
Siapatah yang akan hairan kepada Namrud, Firaun, Qarun dan Maslam al-Kazab di Akhirul Zaman?
Hawa nafsu itu memang lazat hingga bukan sedikit kaum manusia itu lupa akan dirinya telah diturun dan dihela oleh hawa nafsunya bercita-cita berkehendakan hak orang yang lain tak terkecuali berkehendakan harta, kemuliaan dan isteri orang yang lain dan bahawasanya ugama yang didatangkan Allah pada satu-satu zaman dan undang-undang yang dikarang oleh kerajaan satu-satu negeri di dunia ini ialah semata-mata oleh kerana hendak membatas hawa nafsu manusia terangnya hendak memelihara dan menaungi hak pihak yang lemah.
Tidak ada ugama diturunkan Allah di dalam negeri haiwan, iaitu di dalam hutan belantara dan tidak pula kedapatan undang-undang pernah dikarang oleh kumpulan haiwan di sana meski di dalam rimba itu kedapatan bukan sedikit jenis haiwannya yang gagah dan perkasa. Oleh itu, berjalanlah hukuman tamak dan haloba menurut hawa nafsu masing-masing pelanduk dan rusa selamanya, menjadi mangsa tok belang dan ular pula, bisa menelan apa sahaja makhluk Allah yang boleh dimasukkinya ke dalam rongganya dengan tidak gentar sedikit pun sebagaimana kaum manusia gentar kepada polis dan mahkamah.
Hawa nafsu hairan yang bisu dengan hairan yang pandai bertutur ((manusia)) itu sama-sama tidak berhad. Tidaklah kita akan terlanjur berkata bahwa di dalam kumpulan kaum manusia yang sama-sama berkaki dua itu, kedapatan juga yang bernafsukan nafsu harimau dan singa. Tetapi mujur pelanduk dan rusa kaum manusia itu dinaungi oleh ugama dan undang-undang negeri. Jika tidak tak syak lagi akan berlaku di sana sini manusia memakan dan menelan manusia dengan terang sebagaimana singa menelan arnab di Afrika.
Tidak ada kerajaan di dunia menjalankan ugama dengan kekerasan, tetapi semua kerajaan dunia mesti menjalankan undang-undang yang diatur oleh rajanya.
Kerajaan mengutip cukai dan membangunkan anggota pengaman ((polis)) dengan harta yang banyak supaya menegah dan menyekat hawa nafsu manusia, jangan sampai keluar batas yang akan menyakiti orang lain di dalam negeri. Persekutuan bangsa dunia dibangungkan ialah semata-mata supaya bangsa dunia yang gagah perkasa itu tak dapat mencakar bangsa kecil yang lemah dengan kuku besinya.
Satu-satu bangsa itu dikenal dengan negeri masing-masing yang memang ada kawasan dan sempadannya; dan adapun negeri orang-orang Melayu itu inilah Semenanjung Tanah Melayu.
Sekalipun Semenanjung Tanah Melayu bernaung di bawah panji-panji kerajaan lain ((Inggeris)) yang memang dipercayainya tidaklah pula bangsa-bangsa lain daripada itu berhak merampas hak orang-orang Melayu meski bagaimana sifat datangnya atau hajat yang dikemukakan atau yang lagi akan dikemukakan; melainkan Semenanjung Tanah Melayu selamanya hak kepunyaan Raja-Raja Melayu di bawah naungan Inggeris tidaklah sekali-kali akan berkisar hak itu kepada orang lain; walau bagaimana pun perkasanya bangsa-bangsa lain itu; oleh kerana kekuatan wang hartanya atau banyak bilangannya sekalipun.
Harta dan milik Jepun di Manchuria bukan sedikit, boleh dikata harta Jepunlah yang membuka Manchuria. Apabila Cina tidak redha kepada Jepun berhak di Manchuria, tidaklah hairan jika orang-orang Melayu di sini tidak pula redha kepada bangsa asing itu berhak di Semenanjung.
Seseorang yang bijak sekali telah mengemukakan tarikh Semenanjung katanya lebih kurang bermakna bahwa Raja-Raja Melayu pada zaman dahulu terpaksa menerima naungan kerajaan Inggeris oleh kerana takutkan lenyap milik mereka itu dirampas oleh Cina. Keterangan ini boleh juga diaku, tetapi bukanlah yang demikian itu satu hujah yang boleh memberikan hak kepada orang lain.
Dengan senang kita boleh menampak jika benar Raja-Raja Melayu itu terpaksa bernaung di bawah panji-panji Inggeris, oleh kerana khuatirkan haknya dirampas oleh Cina pada zaman dahulu. Tetapi adakah pula harus sekarang diberikan hak yang dinaungkan itu kepada bangsa-bangsa yang dikhuatirkan itu?
Membongkar tawarikh Semenanjung ataupun kisah pecah belah negeri-negeri Melayu oleh kerana perang sama sendiri itu tentulah juga bukannya hujah bagi bangsa asing itu mendapat hak di sini pada masa ini, ataupun masa yang akan datang.
Pada masa Inggeris mulai menaungi Semenanjung pada masa itulah ibu keadilan dunia bersemayam di atas takhta kerajaan England ((Queen Victoria)). Pada masa itu, boleh dikata kerajaan Inggeris tunggal di Timur ini sedang persekutuan bangsa dunia belum ada. Tidak ada halangannya bagi kerajaan Inggeris pada masa itu terus memberikan hak kepada Cina atau India, bahkan tidak ada halangannya pula bagi kerajaan Inggeris merampas negeri-negeri Melayu ini dijadikan "colony" hak milik kerajaan Inggeris yang boleh dipusakai oleh anak cucunya.
Kita percaya bahwa merampas negeri-negeri Melayu ini pada masa itu hanyalah secuit telunjuk Inggeris sahaja, tetapi oleh kerana kemegahan dan kemuliaan kerajaan Inggeris itu di dunia itulah "keadilan", tidaklah mereka itu ingin merampas hak milik orang yang lemah sekalipun. Sebab itulah kaum manusia yang diam di bawah naungan Inggeris selamanya aman sentosa.
Pihak yang gagah dan perkasa itu tak dapat melakukan hawa nafsunya di atas pihak yang lemah dan sesungguhnya begitulah keadilan Inggeris bertebar serata dunia hingga tetap yang hak itu kekuatan bukiannya kekuatan itu hak sebagaimana di negeri Cina pada masa ini pun.
Oleh kerana yang demikianlah orang-orang Melayu itu kedapatan sedikit pun tidak bimbang bernaung di bawah panji-panji Inggeris dan bangsa-bangsa asing itu, tak usahlah bernafsu yang melewati batas, bagaimanapun kerajaan Inggeris tak akan ingin memberikan hak orang yang lain kepada orang yang lain.
top |