![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 12 Dec 1932, p.7
General Article.
Suara Rakyat.
Motto: Suara Rakyat, Suara Keadilan, Permintaan Rakyat, Permintaan Keamanan.
Sidang Pembaca Yang Dihormati dan Golongan Penguasa Tinggi Kaumku Yang Termulia.
Tidakkah kiranya berduka-cita melihat apa yang telah menimpa nasib rakyat Melayu masa ini?
Maka bagi membaiki semula akan nasib peruntungan umat itu, tak lain lagi daripada bersebulat hati bersatu suara. Sekarang bukan sahaja dengan sebab perpecahan dan kemiskinan, tetapi di dalam bahagian bersuara umat-umat Melayu pun didesak dan dibenamkan oleh bangsa asing jua umat-umat Melayu sudah barang tentu masa ini tidakkan ada upaya menahankan keselamatan haknya.
Encik tidak pula menidakkan bagaimana adanya suara-suara rakyat Melayu di medan suratkhabar Inggeris dan Melayu untuk menahankan haknya dan jua kedapatan suara di Majlis Federal Council, suara-suara yang amat bernas dititahkan oleh Yang Teramat Mulia Raja Sir Chulan dan Yang Berhormat Datuk Abdullah Undang Rembau, tetapi adalah sebagai perdirian sebatang tiang yang tidak bertanam kakinya dan tidak ada sokongan untuk menahankan rempuhnya ribut taufan ... asing!
Dalam pada itu, dapatlah jua suara-suara itu memberi kefaedahan bagi rakyat umum, akan tetapinya amat nipis dan jauh dari kehendak permulaan begitulah nasibnya suara-suara rakyat Melayu.
Bilakah Orang Melayu akan bersebulat suara bilakah Orang Melayu akan menghargakan suaranya?
Bilakah orang Melayu akan menyatukan suaranya?
Dan bilakah Orang Melayu akan menghantar utusannya .... Bagi suara rakyat untuk bersuara dengan satu suara menahankan hak-hak kebimbangannya dan ... dan ...
Selagi orang-orang Melayu masih tidak membulatkan suaranya bersatu pada jalan keselamatan haknya selama inilah Orang Melayu akan berjalan dari selangkah ke selangkah menuju ke medan kedaifan dengan mendaif-daifnya di muka alam ini.
Kewajipan yang terutama ialah orang-orang Melayu membulatkan suaranya di antara semuanya sekali di Semenanjung ini.
Berdukacita di hati saya kerana belum sampai gamak di hati saya hendak mengemukakan bagaimana membawa sifat perpecahan umat-umat Melayu itu hanya yang termesti saya katakan satukanlah pemerintahan Semenanjung nescaya bersatulah rakyat Melayu, bersatulah darah kerakyatan Melayu dan bersatulah darah kebangsaan rakyat Melayu dan bersatu segala-galanya.
Begitulah kehendak bumi ibuku Semenanjung yang dicintai wahai yang berkuasa di atas rakyat Melayu sesungguhnya amanah dari golongan rakyat Melayu supaya diselamatkan kiranya hak-hak bangsa kami, barang telah tentu tidak bersifat adil, lamun kalau hak-hak kami dirosakkan dan diperlebihkan.
Moga-moga naungan kami yang mulia dan yang besar pengaruhnya ialah pemerintahan British, dapatlah kiranya ia menolak suara bangsa-bangsa asing-asing ((Malayan)) yang telah teraku-aku akan Semenanjung ini negeri tumpah darahnya yang semata-mata karut marut itu!
Buat ini disudahi dengan salam kebangsaan dari Bintang Pahang. Abhi.
top |