Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 12 Dec 1932, p.3

General Article.

Perbahasan di Sultan Sulaiman Club.

Melayu Malas Lawan Melayu Rajin.

Sebagaimana kita wartakan dahulu, bahwa perbahasa Melayu Malas itu telah dilangsungkan dengan jayanya di rumah Persekutuan Sultan Sulaiman Club pada malam Sabtu yang baru lalu, dihadiri oleh kira-kira 50 orang di antaranya Tuan-Tuan Tambi Ali, Haji Muhammad Simin, Muhammad Amin, Haji Muhammad Yusuf, Mahmud Amir, D. Headley ((Setiausaha Tuan Chief Secretary)), Inspector Raven, Muhammad Simin, Sutan Imam Hussein ((Hills Inspector)), Muhammad Osman ((Inspector S.B)), Muhammad Ali ((Selangor Secretariat)) dan lain-lain.

Pencadang Abdul Rahim Kajai, penyokong Amran Haji Abdul Rashid dan Pembahas Abdul Wahab bin Arshad, Penyokong Fateh Akhir.

Encik Muhammad Yusuf bin Ahmad diangkat menjadi Pengerusi.

Perbahasan dimulakan dari pukul 7.30 ditamatkan pukul 9.15.

Huraian kedua-dua belah pihaknya panjang, oleh itu memadailah kita wartakan buat butir yang menjadi hujah sahaja dengan ringkas.

Encik Pencadang berkata kemudian daripada telah beradab kepada Tuan Pengerusi, dan yang hadir, bahwa takrif "Malas" itu panjang, dan artinya ialah Penyegan, iaitu satu perkataan yang berlawanan dengan "Rajin", sebagaimana Panjang berlawanan dengan Pendek, atau Besar dengan Kecil. Mengukur Kemalasan satu-satu bangsa itu bukannya dengan menilik kepada rupa atau susuk anggotanya, tetapi ialah kepada tenaga amalannya.

Jika kudratnya sama dengan kudrat gajah sekalipun, apabila tidak digunakannya, itulah dalil "Pemalas"!

Mempastikan kemalasan satu-satu bangsa itu mahulah dengan membanding kepada bangsa lain, kerana jika dibanding kepada sama-sama sendiri sahaja, tidak bermakna. Sebagaimana mempastikan yang cantik mestilah membanding kepada yang buruk, atau mengetahui warna hitam itu mestilah oleh kerana ada warna putih. Begitulah mempastikan kemalasan orang-orang Melayu.

Dalam hal ini, kita boleh ukur dengan senang iaitu apabila kita bandingkan tenaga orang Melayu dengan bangsa lain, kita dapati di dalam serba-serbinya tercicir oleh kerana kemalasan.

Melayu memang berhawa tinggi, nafsu angan-angan ada. Sebab itulah dikata orang Melayu mati dek Angan-angan, Orang Putih mati dek Pangkat, Cina mati tak Kaya, Keling mati dek pusing.

Tetapi angan-angan Orang Melayu ghalibnya dibawanya sahaja masuk kelambu, esok paginya direkanya pula angan-angan baru, begitulah hingga sampai ajalnya kerana angan-angannya itu berdampak dengan pekerjaan tulang urat oleh pemalasnya dibawanya tidur berdengkur sahaja.

Kemalasan orang-orang Melayu boleh dikata lebih dari 1,001 macam. Tetapi tak usahlah diterangkan satu persatunya, memadai dua tiga fasal sahaja ditakuti pihak Pembahas kalau-kalau Malas pula membahas, sebab Tuan-Tuan Pembahas itu Orang Melayu juga, iaitu bangsa yang pemalas!

Fasal yang pertama. Lihatlah pemalasnya Orang Melayu. Belum kedapatan seorang pun yang rajin mengatur huruf sendiri. Oleh kerana pemalasnya, mereka tertenggek sahaja kepada huruf Arab.

Huruf Arab masih tak memadai untuk mengeja beberapa lafaz yang digunakan mereka seperti Ch, Nga, Pa, Ga, Nya, itu pun mereka malas mengatur sendiri. Mujur dapat menumpang kepada huruf Parsi.

Sudahlah menumpang ejaan mereka berkacau bilau pula belum kedapatan yang rajib hendak menyusun ejaan. Di dalam tulisan Melayu, "Tahun" dieja mereka "Tahan" sahaja. "Kapal" dieja "Kpl" sahaja, sebab malasnya menggunakan huruf saksi yang sudah sedia. Itu pun mereka malas hingga kedapatan perkataan tunggal ditambah mereka dengan huruf Roman ((Tanggal)) oleh kerana pada masa dahulunya, "Tinggal" dieja "Tanggal" sahaja.

Yang kedua. Di dalam perusahaan berniaga, selamanya Melayu tidak mengutamakan perniagaan oleh sebab Malas. Ada juga yang berniaga seperti berkedai nasi, tetapi kedai itu tetap begitu sahaja selama-lamanya masakan, pinggan, mangkuknya, seada-adanya sahaja. Oleh sebab Malas.

Di Pekan-Pekan Mingguan boleh diperhatikan sayur-sayuran banyak diramu di dalam hutan sahaja, oleh sebab malas bertanam cucuk. Kalau mereka berjual di pekan itu, mereka malas menyediakan bungkusan, hanya pergi menanti kalau tak laku, lakulah! Tidak, sudah! Hingga menukar note seringgit jika tak sedia wang di dalam sakunya, mereka malas bangkit ke tempat lain. Jualannya tak laku sekalipun!

Ketiga. Bertanam cucuknya kalau tanah-tanahnya dicongkah oleh babi, alamatlah mereka tidak bertanam lagi. Tanam tak menyediakan pagar, jauh sekali oleh kerana pemalas! Seolah-olah mereka berkata kepada babi itu, rasalah kau babi! Tak dapat mengcongkah ubi lagi aku tak hendak bertanam.

Ada juga yang sempat bertanam kelapa, itu pun oleh kerana malasnya diajarnya pula beruk memanjat kelapa mereka.

Keempat. Bertukang kayu-kayu yang di hutan disusut rumah mereka pun mereka segan bekerja untuk perkakas rumahnya, melainkan mereka berserah kepada bangsa lain yang rajin, apalagi tukang membuat rumahnya.

Kesudahannya, Encik Pencadang menamatkan huraiannya dengan mengemukakan seruan-seruan di dalam suratkhabar-suratkhabar menyeru orang-orang Melayu bekerja rajin. Itulah dalil Kemalasan orang-orang Melayu.

Encik Pembahas ((Abdul Wahab)) membalas dengan panjang lebar atas satu-satu huraian Pencadang di atas katanya bahwa mengukur Kemalasan orang-orang Melayu dengan bangsa-bangsa asing itu tidak sekali-kali menjadi dalil menunjukkan orang-orang Melayu pemalas.

Orang-orang Melayu memang rajin sekadar harusnya bagi keperluan mereka.

Pada zaman purbakala pun orang-orang Melayu itu memang tersebut di dalam tawarikh bahwa mereka mempunyai Raja, Panglima, Hulubalang; hingga pernah menjajah gugusan pulau-pulau Melayu hingga ke New Zealand, Madagascar, Afrika Selatan dan Ceylon pun orang-orang Melayu sampai dengan kapal perbuatan mereka sendiri bangsa.

Begitu, tentulah tak boleh dikata Pemalas!