Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 12 Dec 1932, p.5

Editorial.

Benarkah Malayan Taatkan Undang-Undang?

Sungguh pun teman kita, Pengasuh Kelantan, pernah mengajak rakan-rakannya sekata menggelarkan bangsa yang mengaku Malayan itu dengan "Melayang", dan sungguh pun nampaknya Saudara Pulau Pinang telah mengiring di belakang tetapi kita masih keliru memilih yang manakah yang terlebih padan di antara dua gelaran, Melayang atau Melayu.

Tidak menjadi halangan yang mananya sahaja tetapi tuntutan mereka itu semakin menjadi rintangan otak. Mengapa sampai begitu degil dan himsul [?] bangsa Melayu itu tak usahlah dipertengkarkan tetapi akibat tuntutan mereka yang bebas itu telah hampir akan membawa riwayat yang tidak akan menyenangkan.

Beberapa orang Cina telah ditangkap dan didakwa di Singapura; setengahnya telah dihukum dengan penjara dan jamin diri bahkan ada yang diniatkan oleh pengadil supaya dihadiahkan kepada mereka itu tambang percuma balik ke Tongsan; oleh kerana kesalahan bercampur di dalam kongsi gelap yang akan menghembuskan ribut pemberontakan melawan dan membantah kelulusan undang-undang pendaftaran bangsa dagang masuk ke Semenanjung, berapa banyak pula yang telah ditangkap pada masa menaburkan surat-surat yang menghasut.

Tidak ada satu kejadian di dunia yang akan sia-sia sahaja; apakah buktinya kejadian yang demikian itu?

Tetap sekali pihak kerajaan dengan mudahnya boleh mengukur berapa dalam benarnya pengakuan mulut bangsa dagang yang mengaku bangsa Malayan yang tidak tahukan negeri lain dari negeri Semenanjung ini konon pada masa mereka meminta hak. Tetapi pada masa yang lain demikian itulah perbuatan mereka hingga undang-undang yang telah diluluskan kemudian daripada tiga kali dibacakan di dalam Legislative Council itu akan disanggah dan dibantah; bukan sahaja telah disanggah oleh Member-Member Cina yang bukan Rasmi di dalam Majlis Legislative Council itu, tetapi dipersembahkan pula dihadapan Sir Samuel Wilson sedang pihak yang lain pula akan mengadakan keributan.

Kita masih belum lupa selalu mendengar perkataan-perkataan penganjur-penganjur Cina itu mengatakan bahwa bangsa mereka ((Law Abiding People)) yakni bangsa yang taatkan undang-undang negeri, tetapi apakala dibanding kepada peratusan orang-orang yang disambutkan ke dalam penjara kedapatan angka Cinalah yang di atas sekali.

Kita boleh bayangkan keterangan yang agak dalam sedikit. Apabila kita mendengar kisah penyamun misalnya tak usah diperiksa tentu sahaja penyamun itu bangsa Cina, tetapi penganjur-penganjur mereka mengagakkan bahawasanya mereka bangsa yang taatkan undang-undang negeri.

Jika kita mendengar cerita orang-orang membawa masuk candu gelap, arak, memasuk samsu, melarikan orang ke dalam hutan, bahkan hingga jika kita mendengar tembak-menembak berlaku di jalan raya, tak usahlah syak yang perbuatan itu bukannya dilakukan oleh Cina, anehnya Cina masih bermegah-megah mengaku yang mereka bangsa yang taatkan undang-undang negeri.

Jangan susah memeriksa perdakwaan pecah-amanah, dan rupa-rupa perdakwaan yang sampai ke dalam mahkamah di mana sahaja Cinalah tersusun pada barisan yang di sebelah atas sekali, begitu pun kata mereka, mereka bangsa yang taatkan undang-undang negeri!

Jangan disebut dalam hal mendirikan kongsi gelap, menghasut, menaburkan benih Communist yang beracun, apa yang tidak? Hingga berjudi, menjalankan loteri capjiki, menipu dacing timbangan, menipu tanda perniagaan "trademark", anehnya kepala-kepala mereka masih berani mengaku bangsa mereka bangsa yang taatkan undang-undang negeri, undang-undang negeri mana tidaklah kita ketahui.

Bukannya hari ini sahaja yang kita baru tahu tong budu kaum Cina itu, kita hanya masih segan membukakan tong budu mereka itu, tetapi setelah kita mendengar bahwa kaum Cina di Singapura telah ada yang berniat akan mengadakan keributan menentang atau membantah undang-undang yang telah diluluskan pun, kita merasa berkewajipan menyampaikan rencana ini di dalam ruangan suratkhabar kita untuk peringatan yang akan datang yang barangkali dapat ditokok jika suara-suara bangsa Malayan itu masih besar.

Apabila kita ketahui bahwa pada masa Cina-Cina itu boleh dikata bermaharaja-lela melakukan kesalahan khianat ((Criminal)) pada masa itulah juga kepala-kepala mereka bermegah berkata bahwa bangsa mereka ialah bangsa yang taatkan undang-undang negeri; beratkah lidah mereka mengaku bernegerikan negeri Semenanjung?

Tinggal lagi siapakah yang akan percaya?

Orang-orang Melayu sepanjang pengetahuan kita tersangat berbesar hati atas adanya undang-undang pendaftaran bangsa dagang masuk ke Semenanjung itu. Tak seorang jua pun yang gusar hingga jika tidak akan dibenarkan bangsa dagang masuk sekalipun.

Orang-orang Melayu tahu bahawa makna bangsa dagang itu bukan sahaja Cina dan India, tetapi ialah juga meliputi Indonesia dan kepulauan Melayu yang lain hingga Patani tidak terkecuali.

Orang-orang Melayu bukannya berbesar hati kerana bangsa dagang selamanya mendesak penghidupan mereka akan tersekat masuk pada zaman meleset ini, tetapi banyak pula di antara orang-orang Melayu yang berbesar hati kerana akan tersekat sama huma-huma Communist yang benihnya ghalib dibawa oleh orang-orang dagang itu dari benua Cina dan jua dari Indonesia.

Kita sangat-sangat khuatirkan huma-huma Communist itu merebak kepada bangsa kita dengan perantaraan bangsa-bangsa dagang yang memang telah dirasuk oleh penyakit kita yang tak akan sembuh itu kerana sepanjang pengetahuan kita bahwa huma Communist itu bertubuh halus dan mudah berjangkit.

Kerajaan menghukumkan tiap-tiap anak mesti ditanam cacar kerana hendak menaungi rakyat dari huma ketumbuhan tidakkan wajib bagai kerajaan menaungi rakyat dari huma Communist?

Menyekat kedatangan bangsa dagang itu boleh jadi pada satu pihak dapat menaungi rakyat dari huma yang berbahaya itu, tetapi janganlah lupa bahwa huma yang demikian itu tidak terhalang biak di dalam negeri, meski bangsa dagang tersekat kerana bangsa dagang itu memang bukan sedikit tertinggal di dalam negeri ini.

Kita patut memberi ingat bahwa saudagar-saudagar Cina yang ada di dalam negeri ini dengan tidak disedari rupanya menyemai benih yang celaka itu. Kita pernah mendengar pada masa setengah tauke itu menawarkan barangnya kepada Melayu dengan mahal; katanya sebab dicukai mahal oleh kerajaan, bukan kesalahan kita katanya, itu semuanya orang Melayu sendiri salah, membiarkan orang putih mengatakan cukai yang tinggi.

Cuba menungkan adakah tidak tauke itu mencuba hendak menanam satu benih yang celaka kalau bukannya benih Communist sekali pun, tetapi sekurang-kurangnya benih menghasut mesti ada.

Apa yang kita minta ialah sebaik-baiknya undang-undang yang keras patutlah dikarang dan dijalankan di atas orang-orang yang menghasut dan segala perkataan sama ada di dalam suratkhabar-suratkhabar atau lain-lainnya yang mengandungi benih tak puas hati di atas kerajaan itu wajib dilarang keras supaya rakyat dapat dinaungi dari jangkitan huma yang berbahaya itu sebagaimana kerajaan menaungi rakyat dari huma penyakit cacar.