![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 15 Dec 1932, p.7
General Article.
Nasib Anak Negeri Pahang Masa Akan Datang Kata-Kata A.N.P.
Adapun kata-kata A.N.P. beberapa kali di Majlis di dalam sepanjang tahun 1932 ini. Bolehlah dikatakan banyak bilangan pembaca-pembaca telah kenal akan buah fikiran kita, barangkali ada yang berkata, sungguhlah rajin dan usaha A.N.P. mengarang .... Ya! Hadiah perkataan begitu tidak sangat menyukakan hati kita.
Tetapi yang kita lebih-lebih gemar kalau-kalau Tuan-Tuan Pembaca atau Anak Negeri Pahang berlebih-lebih kerja anggota daripada memuji-muji di belakang kita istimewa pula puji dihadapan kita tidak ada faedahnya bagi kita, apatah lagi kepada Anak Negeri Pahang.
Pada masa yang akhir ini berseru hendaklah kita Anak Negeri mengenal betul-betul anak negeri dan negeri atas makna tujuan anak negeri dan negeri sendiri, utamakanlah kasih sayang di atas kerajaan kita yang telah menunjukkan beberapa peluang di atas kita.
Bahwa kita telah merasa kemanisan dan kelimpahan rahim kerajaan ke atas kita pada memberi pelajaran yang sekadar-kadar cukup luas kuasanya kepada kita. Oleh yang demikian itu patutlah kita membalas beribu-ribu terima kasih kepadanya.
Adapun terima kasih yang kita hendak balaskan itu bukanlah dengan wang ringgit atau mencerca orang-orang besar kita tak mahu memberi pelajaran itu ini melainkan kita ucapkan ialah dengan pekerjaan dan usaha kita pada membaiki nasib anak negeri yang duduk gelap di bawah dunia tempurung itu. Berilah nasihat pengajaran yang tidak arti penat dan letih berusaha memajukan bangsa sendiri dan kampung halaman sendiri.
Biarlah orang yang gelap itu mengatakan kita berbagai-bagai kata nista atau pula dikarangkan ke dalam suratkhabar disebabkan berusaha memberi nasihat dan pengajaran di atas anak-anaknya itu. Tak akan berasa Hairan bin Pelik lagi di atas buah fikiran mereka itu kerana mereka itu diseluputi oleh kejahilannya sendiri. Samalah juga dengan kita tatakala masih di dalam didikkan kelmarin tak akan menampak apa-apa amaran dan nasihat orang-orang yang berakal itu, itulah misalnya.
Maka sekarang yang kita hendak serukan lagi kepada umat Melayu kenallah baik-baik bangsa dan negeri kamu. Kenallah arti perubahan masa dari sehari ke sehari itu, bukan boleh hidup dengan secuma-cuma menurut baka atau bangsa atau keturunan yang dimegah-megahkan oleh orang yang bingung itu. Lebih jauh kita katakan sekarang.
Misalnya, kita berjawatan guru masa ini, kita tidak boleh berharap yang anak kita boleh mendapat "Guru" pula! Atau begitu pula kita sekarang berpangkat "Datuk Penghulu", kita tak usahlah bercadang-cadangkan sangat di atas pangkat atau nama itu, lebih dalam lagi diibaratkan kepada diri A.N.P. sendiri. Sekarang A.N.P. bolehlah mengarang ke dalam suratkhabar, tetapi di zaman anak A.N.P. atau cucu A.N.P. belum boleh dikatakan lagi. Dengan sebab itulah janganlah kiranya seseorang itu bererti tawar membaca karangan-karangan A.N.P. atau Tuan Encik atau lain-lainnya.
Petik sahajalah isinya yang penting-penting buat menegas banyak ucap Tuan-Tuan sekalian mujur-mujur ada faedahnya di hari kemudian.
Sungguh pun kita bekerja memuatkan beberapa buah karangan ke dalam suratkhabar ini.
Bahwa inilah tanda kita berkhidmatkan tanah anak negeri sendiri, sedangkan kulit kuning berani membangkang mengatakan negeri ini negeri datuk neneknya; dan bersuara di dalam Majlis Mesyuarat.
Maka kita apalah pula salahnya atau tidak berdosa kalau anak negeri menulis sekadar patut dan jangan terkeluar daripada adab sopan kepada pembesar-pembesar negeri kerana meluaskan fikiran ahli-ahli pembaca ini.
Mudah-mudahan mereka lebih-lebih berusaha di dalam pekerjaan otak dan tangan buat memajukan tanahairnya dan berkhidmatkan kerajinannya. Kita minta selamatkan kerajaan kita yang maha besar buat menaungi kita serta dikekalkan ugama, bahasa dan bangsa ((Melayu)) sehingga hari kiamat.
Supaya anak-anak yang berdarah keMelayuan tidak berkecil hati dan terhina daripada bangsa di muka bumi ini.
Takut kalau-kalau menjadi seperti orang-orang Sakai di hutan-hutan rimba negeri ini semakin berkurangan dan undur ke balik-balik gunung dengan membawa nasibnya masing-masing sahaja.
Pada halnya zaman dahulu mereka-merekalah sahabat dan kawan orang-orang Melayu di dalam sebarang pekerjaan pada mencari kehidupan.
Maka tatakala negeri ini dikerumuni oleh orang-orang Cina sahabat yang lama sudah menjadi renggang-renggang dan jauh.
Padahalnya, diakui mereka itu orang-orang asli yang diam di dalam negeri ini buat semula jadinya. Tidakkah ada perasaan yang menarik hati belas kasihan orang-orang yang berpengetahuan ((berpangkat)); tatakala mereka menaruh belas kasihan kepada kaum Cina dan Keling serta berani menawarkan pangkat JP, atau menggelar Datuk anu Datuk itu?
Orang-orang Sakai dan Anak Negeri yang asli tidak ditolongi dan tidak diberi pengajaran yang membuka matanya atau dijaga secukup-cukupnya supaya mendatangkan hasil negeri ini; dan menambahkan keramaian bangsa Melayu yang asli.
Inilah suatu soal yang terhadap di Padang Mashyar kelak? Cubalah kita fikirkan ramai-ramai buah fikiran saya ini buat membaikkan nasib anak negeri kita yang akan datang.
Sebelum Tuan-Tuan menerangkan kata-kata A.N.P. ini janganlah kiranya menarik senyum dahulu sebelum berfikir.
top |