![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 15 Dec 1932, p.5
Editorial.
Cina Semenanjung Salah Faham Atas Kedatangan Sir Samuel Wilson.
Atas nama Persekutuan Saudagar-Saudagar Cina Semenanjung, sepucuk surat persembahan telah diserahkan di Singapura kepada Brigadier General Sir Samuel Wilson pada hari Jumaat 9 December, iaitu sehari terlebih dahulu dari Tuan Yang Terutama itu bertolak ke Hong Kong meninggalkan Tanah Melayu.
Di banding kepada banyaknya surat-surat peringatan dari kaum Cina merata-rata tempat, bolehlah dikatakan bahwa Sir Samuel Wilson barangkali telah "kenyang" menerima surat-surat persembahan Cina, lebih kenyang lagi apabila Tuan itu menerima surat persembahan yang penyudah itu atas nama Cina Semenanjung yang buah butirnya rasanya tidak menepati kehendak kedatangannya ke Semenanjung sebagai utusan kerajaan England yang maha besar itu. Atas ini, barangkali kaum Cina memang telah salah faham.
Apakah buah butir surat persembahan Cina itu?
Tidak lain melainkan mengadukan hal meminta persamaan dengan anak negeri. Terangnya mereka mengadukan policy kerajaan yang memperbezakan bangsa mereka itu dengan bangsa anak negeri yang sepah disusun oleh mereka itu satu persatunya seperti di bawah ini.
1. Ingin memberikan tanah sawah untuk Cina bertanam padi.
2. Ingin mendirikan sekolah-sekolah kerajaan pelajaran bahasa Cina atau menyediakan pelajaran rendah Inggeris diberi percuma kepada bangsa Cina.
3. Ingin mengangkat seorang Cina menjadi member Majlis Executive Council Kerajaan Selat.
4. Mengecualikan Cina dari dipecat kerajaan di dalam jawatan kerajaan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu.
5. Mengecualikan dari jawatan Malayan Civil Service dan penyudah sekali mereka meminta bahwa undang-undang pendaftaran bangsa dagang yang baru diluluskan itu ditarik balik.
Jika tuntutan mereka itu diluluskan, tak syak lagi bahwa Semenanjung Tanah Melayu ini terus akan menjadi Jajahan Cina yang kesembilan belas; tetapi mujurnya siapakah yang akan ingin menyamakan anaknya dengan beruk?
Sesungguhnya surat persembahan itu pada zahirnya surat permohonan, tetapi pada hakikatnya hendak bertitah.
Cuba kita perhatikan bagaimana kaum-kaum Cina itu membajai tuntutan mereka dari sedikit ke sedikit umpama Belanda dapat tanah.
Sebahagian besar jika tidak semua sekali Cina-Cina itu mula-mula datang ke sini semuanya Singkek. Tetapi setelah bersalin kulit, kerana disepuh oleh kemakmuran negeri Melayu ini, mereka lupakan Singkeknya, terus katanya Kami Malayan!
Di dalam masa mereka mengaku berbangsa Malayan dan mengaku negeri ini negeri mereka, tidak siapa menghalang atau mengganggu lidah mereka itu. Sekarang mereka akan bertitah pula.
Sungguh pun mereka belum berani berterus terang mengaku negeri ini milik kepunyaan pemoyang mereka, tetapi mereka telah berani bertitah katanya:
1. Jangan beza-bezakan kami di sini. ((Kalau tidak dibezakan kelak, terang sahaja mereka minta dilebihkan dari anak negeri!)).
2. Beri kami tanah sawah ((Kalau diberi kelak, kata mereka mengapa bangsa kami tidak diangkat menjadi Penghulu!)).
3. Diberikan sekolah untuk bangsa kami ((Kalau diturut kelak, terang sahaja mereka meminta bahasa kerajaan mesti dipakai bangsa Cina kerana kata mereka kelak bangsa kami ramai dan perniagaan, perusahaan, pertukangan, persawahan, semuanya di tangan kami!)).
4. Angkat segera satu Cina menjadi Member Executive Council sekarang! ((Kalau sudah ada satu kelak, terang pula mereka akan mengadu mengatakan satu orang tak cukup)).
5. Jangan dikecualikan Cina dari jawatan-jawatan kerajaan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ((Lihat! Cina memang tidak terkecuali dituduhnya terkecuali! Adakah hairan kelak kata mereka semua jawatan mesti diserahkan ke tangan kami, sebab kami yang banyak mendatangkan keuntungan negeri?))
6. Terima kami masuk di dalam jawatan Malayan Civil Service. ((Kalau sudah diterima kelak mereka akan bertanya, mengapa bangsa kami yang taatkan undang-undang negeri tidak diangkat menjadi Resident? Kami layak dan kami yang membuka negeri ini. Kalau kami pulang, keuntungan katanya negeri-negeri Melayu ini akan kembali jadi hutan!)).
Kita hairan; lupakah mereka itu yang diri mereka itu berada di dalam negeri Melayu atau tidakkah tahu yang negeri-negeri Melayu ini memang beraja, berkerajaan dan berpayung pernaungan?
Dan lebih hairan lagi bahwa kepala-kepala bangsa Cina itulah mereka-mereka yang terpelajar dan tahukan tawarikh dan undang-undang hingga pada masa meminta tanah sawah tidaklah mereka tersilap mengemukakan bandingan luas tanah Semenanjung dengan tanah Jawa dan bandingan penduduk Semenanjung dengan tanah Jawa, yang katanya di Semenanjung masih berganda-ganda luas tanah yang kosong boleh diberikan kepada Cina. Tetapi mereka lupa membanding jika tuntutan mereka dikabulkan, apakah perbezaan Semenanjung kelak dengan benua Cina kepada Cina?
Sekiranya Cina pura-pura tak tahu, tetapi kita percaya bahwa Sir Samuel Wilson dan kerajaan tak akan lupa.
Kita percaya juga bahwa tidak sekali-kali akan tersembunyi kepada pengetahuan kerajaan akan budi pekerti Cina-Cina itu menentang undang-undang pendaftaran bangsa dagang yang berlaku di Singapura dan di Johor ((barangkali akan berlaku di tempat lain)) iaitu pada masa mereka tidak berhak sama sekali.
Jika pada masa mereka telah berhak dan berkukuh*, mustahilkah kelak Cina-Cina itu memberontak meminta segala undang-undang yang akan dijalankan di negeri ini mesti disahkan oleh Lembaga Yuan di Tongsan, ataupun Lembaga Kuomintang?
Sekalipun Cina telah memberontak, tetapi perjalanan undang-undang pendaftaran bangsa dagang itu tidak akan terhalang kerana jika terhalang sedikit sahaja, tak syak lagi kaum-kaum Cina itu akan berbesar hati dan akan menyangka bahwa membangkitkan huru hara itu sangat-sangat berfaedah bagi bangsa mereka.
Tidak mustahil yang Cina-Cina itu kelak akan meminta persamaan. Dengan jalan yang demikian itu juga, lepas satu, ke satu hal. Oleh itu, tidaklah kita akan berdosa jika kita Melayu meminta supaya Cina-Cina itu dilarang masuk sama sekali. Kemudian di dalam masa negeri kita berkehendakan kuli, patutlah kerajaan berikhtiar mendatangkan kaum kuli yang lebih aman ke Semenanjung.
Barangkali tidak akan silap jika didatangkan dari tanah Jawa, kuli Jawa memang terpuji dan belum pernah terkeji di mana-mana negeri seperti Cina di Manila, di Indonesia, di Afrika, dan di Mexico.
Kaum kuli yang berasal dari Jawa bukan sedikit di Semenanjung; tetapi tak pernah kedengaran membawa riwayat hina.
Pada zaman purbakala, orang-orang Jawa dibawa oleh Belanda sampai ke Ceylon dan Afrika Selatan. Tetapi hingga hari ini tetap sebagai satu bangsa yang sebenar taatkan undang-undang negeri. Mereka di Ceylon telah bersalin kulit juga; tetapi bangsa mereka tetap Melayu bukannya Ceylonese.
Undang-undang pendaftaran bangsa dagang akan membawa cerita yang ganjil-ganjil. Mula-mulanya penganjur-penganjur Cina yang mengaku Malayan dan taatkan undang-undang negeri itu membantah dengan lidah dan kalam culi-culi mereka di luar mengadakan huru hara.
Barangkali kita akan mendengar kepala-kepala Cina itu keluar dengan nama menolong kerajaan mengamankan negeri.
Setelah aman, mereka akan menerima surat pujian dari kerajaan dan setengahnya barangkali akan menerima JP. Pada hakikatnya, bahwa keamanan itu telah dibeli oleh polis dengan menyabung nyawa.
Kita tidak percaya Cina-Cina yang mengadakan huru hara itu akan menerima nasihat kepala-kepala Cina itu. Jika mereka tidak gentar kepada muncung senjata polis!
top |