Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 17 Mar 1932, p.6

General Article.

Beserta Dengan Payah itu Mudah: Tiap-tiap Bersungguh-Sungguh itu Dapat.

Sedikit daripada bangsa Melayu telah sedar yang bangsanya sehina-hina dalam dunia. Oleh demikian bergopoh-gopoh melaung teriak terpekik-pekik, terjerit-jerit, menyeru, memanggil saudara sama-sama sebangsanya melepaskan segala tabiat yang menyebabkan kehinaan itu.

Serta berusaha berlari-lari menuju ke medan kemajuan. Sungguh pun demikian, kita tertunggu-tunggu nanti-nanti tiadalah terlihat pada pemandangan sesuatu pergerakan yang melayakkan bangsa Melayu akan mendapat kemajuan yang dituntut oleh bangsa kemanusiaan dunia sekarang. Sama ada cawangan siasat ((Politik)), walimah golongan ekonomi, ataupun bagi galangan agama. Apa sebabnya?

Sebabnya bangsa Melayu sehabis-habis miskin dalam dunia. Bukannya miskin wang ringgit sahaja miskin akal, miskin ilmu, miskin kepandaian, miskin kitabnya, buku-buku bacaan, yang berguna berfaedah, miskin sekolah-sekolah, tempat-tempat pelajaran, bagaimana kehendak zaman sekarang. Miskin guru-guru yang memberi manfaat, miskin rajin, miskin usaha, miskin tekun, miskin sabar, miskin berani, miskin keras hati, miskin muafakat, miskin setia, miskin berkasih-kasihan, miskin tolong-menolong, miskin pimpinan, miskin penganjur, miskin pemuka, miskin penghulu, miskin penjaga, miskin pemelihara dan pembela, miskin imam, miskin agama Islam. Adapun perkataan Islam itu bahasa Arab artinya Bahasa Melayu "Sejahtera".

Maka keadaan kita Melayu Semenanjung yang ada sekarang berakal belumlah boleh dikatakan telah sejahtera; masih jauh sangat lagi dengan sejahtera. Hanya keadaan kita Melayu Semenanjung sekarang terapung-apung di tengah-tengah lautan lara, merempuh perahu tiada bersauh, tiada berlayar, ketiadaan dayung, tiada berkemudi.

Inilah penyakit sebesar-besar mengenai bangsa Melayu telah meresap menjelar segenap darah daging.

Kalau begitu, apa ubatnya penyakit yang tersebut ini?

Jawabnya, "lautan itu" bagaimanakah kita mendapat ubatnya?

Soal ini senang, jawabnya susah memperbuatnya.

Apa sebab begitu?

Sebabnya syarat hendak mendapatkan ubat ini bergantung dengan belanja wang pada jalannya Melayu sehabis-habis miskin wang. Bukannya tiada wang tetapi dibelanja wangnya kepada tempat sia-sia atau tempat yang memberi mudarat akan dia, jadilah miskin wang yang hendak digunakan kepada tempat yang berfaedah kepadanya. Di sinilah tempatnya terhenti penulis beberapa lama kerana memikirkan mencari jalan mendapat perbantuan wang perbelanjaannya.

Sungguh pun terhenti sebegitu lama jalan mencari fikiran. Tidak jua mendapat jalan yang terang. Hanya terpandang sayup-sayup dan samar-samar sahaja. Tetapi oleh sebab lemah penulis memperdapatkan jalan terlebih elok. Maka penulis gagahi jua bentangkan ke hadapan Tuan-Tuan yang budiman jalan yang penulis nampak samar-samar dan sayup-sayup itu supaya jangan sia-sia sahaja penulis berusaha memikirkan menghabiskan masa begitu lama.

Maka inilah penulis berseru, Aduhai bangsaku Melayu yang dikasihi! Marilah kita beramai-ramai mengeraskan hati dan menahankan sabar bersungguh-sungguh kita berhentikanlah dari mengisap rokok, bahwasanya mengisap rokok itu semata-mata menghabiskan wang sia-sia tidak mendapat faedah apa pun wang dibelanja kerana rokok bukannya sedikit dibuang hilang percuma-percuma sekiranya wang ini dikumpulkan buat pergunaan kebangsaan Melayu dan agama dan negeri kita bukannya sedikit kekuatan mendapat ketolongan pergunaan dan faedah. Dan bukannya pula wang terbuang percuma-percuma sahaja serta mendatangkan penyakit lagi mengikut kenyataan doktor-doktor Quran dan Hadith menegah tiada diri membuat pekerjaan mendatangkan mudarat akan manusia terlebih-lebih lagi kepada diri sendiri dan tegah tidak beri membazir akan harta kalau banyak sekalipun.

Tidakkah wajib orang-orang yang berugama Islam taat akan dia?

Kita berkehendak akan baik, tetapi kita malas hendak memperbuat baik kita benci kepada jahat. Tetapi kita berahi sangat memperbuat jahat. Tidakkah kita menganiayai akan diri kita sendiri? Kalau kita menganiayai kepada diri kita, siapa boleh menolong kita lagi? Cuba kita palingkan muka kita berhadap kepada American; terpandanglah kepada kita American telah berhenti dari minum minuman yang memabuk, iaitu minuman keras. Pada halnya, American kaya maka minuman itu kebiasaan menjadi adat kelaziman kepadanya beribu-ribu tahun telah menjadi daging darah daripada Datuk neneknya turun-temurun, sampai kepada orang yang ada sekarang ini.

Betapa kita Melayu tidak boleh berhenti dari mengisap rokok?

Pada halnya kita miskin terlebih-lebih lagi wajib kita mencermat akan wang supaya yang dibelanja diboros dan membazir itu kita boleh membelanjakan kewajipan kita mesti taat kepada Tuhan kita. Kita mesti menyelamatkan diri kita, bangsa kita, negeri kita, ugama kita, adakah American itu bangsa terlebih suci daripada bangsa manusia?

Kalau American itu bangsa manusia seperti bangsa Melayu jua kenapa American boleh melepaskan dirinya dari celaka arak?

Buat apa kita Melayu tidak boleh melepaskan diri kita daripada kecelakaan rokok?