Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 15 Dec 1932, p.7

General Article.

Malang kita Melayu selalu dipermalang-malang: Tidakkah boleh dipertuah-tuah pula?

Oleh Amsal ((Talu)).

Seperti perkataan yang kita suntingkan di atas ini agaknya tidaklah ia menjadi kehairanan bagi sesiapa-sesiapa pun ((bangsa kita Melayu)) kerana apa?

Ialah yang dia yang dipercermin di muka kita hari-hari, iaitu malang kita Melayu memang selalu dipermalang-malang, artinya belum sejengkal malang itu sudah disangkakan sedepa, terus merayu-rayu, Diriku Malang! Nasibku Celaka! Itu ini; macam-macamlah lagi kata-katanya.

Dalam pada itu, oleh galak disebut-sebut malang celaka itu sudahlah beransur-ansur lemah lentuk tulang yang tegap-tegap sedikit. Sudahlah tempuh pintu fikiran. Sudahlah bertambah-tambah tebal gebar pemalas lumus badan diri kita dibuatnya sebagai turun salji ((di negeri-negeri yang bersalji)), lama-lama, lama-lama, apa-apa jadi?

Jadilah ia malang yang sungguh-sungguh, bukankah malang dipermalang itu namanya? Saya fikir begitu orang kita ada banyak yang begini halnya. Apa tidakkah boleh dipertuah-tuahkan pula?

Saya fikir bagi yang belum sedar eloklah sedar dari hari ini, malang sedikit itu biarlah ia tinggal mereka itu jua, jalan menyahkannya itu ialah: jangan dirayu-rayukan juga untung sebagai yang telah sudah kerana sudah tentu rayuan yang sebagai itulah membawa ke sebetul-betul malang kelak. Melemahkan tulang bekerja menutup pintu cita-cita dari mencari jalan-jalan kehidupan, betapa hendak mempertuah-tuahnya atau hendak membesarkan malang kecil tinggal kecil?

Nah! Keringkanlah tulang bekerja, lebih-lebihnya pandanglah orang-orang yang bersepah bilangannya lebih malang, lebih bangsat dari kita, pesan orang tua-tua, kalau engkau kaya pandang ke atas-atas ((orang yang lebih kaya)), kalau engkau miskin, pandang ke bawah-bawah ((orang yang lebih miskin)), kalau ada perasaan begitu kelak, selamatlah hidup engkau, inilah pesan yang amat patut selalu dikenang serta dipakai jadi amalan hidup.

Begitu juga beberapa banyak pintunya lagi malang yang dipermalang-malang itu. Setengahnya bertanah dekat-dekat pekan ada orang hendak membeli terus dijalankan, awak lari masuk hutan atau ke paya ke gunung, apa beruntungkah kita itu?

Tidak hanya malang sudah terang sebab tanah yang telah dijual tadi sekarang berganda-ganda lipat sudah naik harganya dari yang kita jualkan itu.

Begitu pula wang kita tadi semuanya hilang lenyap begitu sahaja jadi habu angin, maklumlah duit punya fasal satu pula bukankah malang lagi namanya?

Sungguh pun awak kaya dengan duit tadi, dan telah dapat pula membeli hutan paya gunung buat kebun lagi, tetapi awak sudah tinggal diceruk-ceruk sana tak tahu keadaan pekan-pekan lagi kalau ada pula beranak pinak alangkah payahnya hendak mengukuhkannya! Ha! Banyak macamnya lagi kalau disebut, tetapi padalah sedaya yang sedikit itu buat puncanya bagi siapa-siapa yang belum mendapat punca.

Lihat pula setengahnya malang yang dipermalang-malang! Ada pulak bangsa Melayu sama-samanya dipersisih-sisih, dipersebelah-belahkan anak dagang anak jati konon!

Saya percaya kata-kata yang tersua selalu di dalam suratkhabar-suratkhabar itu kerana biasa juga kedengaran perkataan yang keluar dari setengahnya, iaitu setengah daripada setengahnya anak negeri jati itu memang telah menjadi pakaiannya bencikan anak Melayu dagang itu. Fasal apa?

Wallahualam!

Tak kata orang dagang ((Melayu Sumatera atau Jawa)) takut merebut peluang-peluang mereka, tak patut, kerana bangsa asing yang terganda-ganda melebihi Melayu mendiami di sini lebih-lebih pandai dari orang dagang ((Melayu)) itu tidak bencikan, bukankah semata-mata malang yang dipermalang?

Ah! Ah! Ah! Sudah terang orang yang berhati perut begitu belum sedarkan langit yang tinggi, bermimpi agaknya oleh tidur sedap sangat.

Akhirnya, berserulah amsal lagi supaya malang yang dipermalang-malang itu terhapus sama sekali dari diri Melayu kita semua, dah tentu!

Tapi tengahnya di antara Melayu dengan bangsa asing, kita sekarang sedang perang, tetapi bukan perang senjata hanyalah perang fikiran, kalau kita bersibuk-sibuk bersebelah-sebelah bersisih-sisih juga terang sahaja tewasnya.

Janganlah macam Cina perang sendiri sama sendiri pula, orang dagang ((Melayu Sumatera dan Jawa)) itu sudah sedarah sedaging ia dengan Melayu Semenanjung ini, kalau tak percaya bukalah mata luas-luas sedikit nak senang hati.

Janganlah Tuan-Tuan lekas merah telinga sahaja, sebab mendengar kata amsal ini, tetapi fikirlah baik-baik.

Sekarang, terimalah salam dari amsal, assalamualaikum!!