![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 19 Dec 1932, p.5
General Article.
Ikhtiar Memulihkan Harga Getah.
Di dalam keluaran ini, kita wartakan kisah Mesyuarat Ramai yang diadakan di Dewan Bandaran Town Hall kota ini pada hari Ahad yang lalu, atas perkara mencari ikhtiar hendak memulihkan harga getah.
Tidak siapa yang tak sukakan harga getah itu mahal, walaukan orang-orang yang tiada mempunyai sebatang getah pun; kerana seisi negeri tahu bahwa satu daripada punca kemakmuran negeri ((bahkan barangkali punca kemakmuran dunia)) ialah getah.
Tetapi bagaimana jalannya harga itu dapat dipulihkan tidaklah pernah kedengaran terbit dari peladang-peladang getah kebun kecil terutama sekali orang-orang Melayu.
Tidak hairan jika kita katakan bahwa orang-orang Melayu itu selamanya suka menanti-nanti nasib dan kita percaya jika keputusan ramai itu dibentangkan di hadapan mereka itu, tidaklah barangkali seorang pun yang tidak suka menyertainya.
Ringkasan keputusan ikhtiar itu adalah seperti berikut:
1. Tiada diganggu orang mengores getah.
2. Getah yang dikeluar akan dikurangkan dengan dihad getah yang boleh dibawa keluar negeri.
3. Getah yang dikeluar negeri boleh ditahan dengan jalan dikutip cukai yang akan dibayar dengan getah.
4. Getah pembayar cukai itu akan dibayar selama masa yang akan ditetapkan.
5. Duit pembayar harga getah itu akan didapat daripada cukai yang khas di atas getah yang dikeluar negeri di dalam masa yang akan datang.
6. Getah yang tiada dibenarkan keluar negeri akan dijadikan minyak atau lain-lain barang yang boleh laku.
7. Syarikat itu akan dijalankan itulah suatu syarikat campuran yang diperkenankan oleh kerajaan.
8. Orang-orang akan terganggu daripada membuat kebun getah baru sebab getah yang boleh keluar negeri hanyalah getah daripada kebun-kebun yang ada sekarang sahaja, selagi getah itu cukup bagi pergunaan dunia.
Manakala cadangan-cadangan itu bergantung kepada persetujuan negeri-negeri lain yang mengeluarkan getah seperti Indonesia dan Ceylon, tidaklah kita dapat menyebut apa-apa pada masa ini.
Kita hanya berharap mudah-mudahan akan sampai kepada suatu persetujuan am dan akhirnya kita minta orang-orang Melayu yang berkebun getah menyertai segala pakatan yang baik itu.
top |