Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Dec 1932, p.5

Editorial.

Menyambut Ulang Tahun Hari Sulung Majlis.

Dengan sukacita diucapkan setinggi-tinggi terima kasih kita bagi Tuan-Tuan Pembaca, Tuan-Tuan Langganan serta tukaran kita di Semenanjung dan Indonesia yang telah nyata menyokong perjalanan Majlis dengan mana dapatlah Majlis melangkahi ulang-tahun hari sulungnya yang pertama, iaitu pada hari Khamis 17 Disember 1931.

Dan dari hari ini dapatlah pula Majlis berhadap kepada ulang tahun hari sulungnya yang kedua.

Tuan-Tuan Pembaca serta Tuan-Tuan Langganan telah sedia maklum dan kita pun sedia mengaku bahwa perjalanan kita masih di dalam umur yang berbendung oleh mana sangat-sangatlah kita berharap akan sokongan dan pertolongan Tuan-Tuan Pembaca dan Langganan, bukannya sahaja sebagaimana tahun yang pertama itu, tetapi diharapkan berganda-ganda supaya dapatlah kiranya kita membawa suatu perubahan lagi menambah perubahan kita dari enam ke delapan muka, dengan tidak bertambah bayarannya.

Bagi kesenangan Tuan-Tuan Pembaca, serta Langganan kita, kita wartakan bahwa bilangan Pembaca dan Langganan kita mudah-mudahan adalah di dalam perjalanan kepada bertambah dari sehari ke sehari, walau akan beransur sedikit-sedikit, tetapi telah nyata lebih dari sangkaan kita pada masa mula-mula diterbitkan dia.

Dengan mana diharap sekiranya kekal bertambah tak lama lagi dapatlah pula kita membawa riwayat yang baru dan menyenangkan hati Tuan-Tuan Pembaca dan Langganan yang dikasihi.

Kita tidak akan menyebut bagaimana perjalanan atau haluan kita, kerana yang demikian itu memang telah terbentang.

Oleh itu, kita sudahi sahaja dengan mengucapkan was-salamualaikum wa-rahmatullahi wa-barakatuh!

Dari Anggota Majlis.