Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 22 Dec 1932, p.5

Editorial.

Malayan Nak Menaja Melayu Dagang Jadi Perisai.

Kaum Cina di Selat menerusi lidah penganjur mereka telah mencuba menarik satu langkah yang baru menuntut persamaan di dalam hal yang berhubung dengan pelajaran percuma. Di dalam itu, Melayu dagang jadi perisai.

Anak yang zahir di Selat dari dua ibu bapa bangsa Jawa misalnya, akan berhak mendapat pelajaran percuma di sekolah-sekolah Melayu sama dengan anak-anak Melayu asli. Tetapi anak yang zahir di Selat juga dari dua ibu bapa yang datang dari Tongsan tidak! Mengapa tidak disediakan pula sekolah-sekolah kerajaan mengajar bahasa Cina datuk nenek percuma sebagaimana persediaannya kerajaan bagi anak-anak Jawa itu? Kata penganjur Cina.

Kita tidak akan menjawab soal tauke-tauke Cina di Pulau Pinang itu, tetapi kita khuatir tuntutan yang demikian itu tidak mustahil menjalar ke Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu kerana kita tahu bahwa Towkay Lim Cheang Ean di Pulau Pinang, Towkay Tan Cheng Lock di Melaka, atau Towkay Lai Tet Loke di Selangor, memang Cina sama-sama setali tiga wang. Bukan tak kerap apa yang diminta oleh Cina di Selat itulah pula diminta oleh Cina di Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu. Oleh itu tidaklah kita akan terlanjur jika kita cemburu.

Memberi pelajaran rendah dengan percuma kepada rakyat itu memang kewajipan satu-satu negeri di dunia. Tetapi pelajaran itu hanya dihadkan kepada rakyat dan bahasa rakyat yang diaku oleh kerajaan sebagai rakyat yang berhak, bukannya sekali-kali rakyat yang diaku sekadar pernaungan sahaja, meski mereka telah mengaku menjadi rakyat sekalipun, sebagai mana cita-cita dan lain-lain bangsa dagang di Semenanjung.

Semenanjung Tanah Melayu ini bukannya hanya sebuah negeri di dunia yang pernah Cina berdagang dan beranak pinak di dalamnya. Tetapi kedapatan juga beribu-ribu Cina berdagang dan beranak pinak di Filipina, di Indonesia, bahkan hingga di Amerika Syarikat.

Kita belum lupa pernah mendengar bahwa satu daripada hujah Cina minta persamaan hak siasat di Semenanjung ini ialah Amerika Syarikat di mana kononnya kaum Cina yang bermastautin di sana ((American Citizenship)) telah mendapat hak siasat negeri.

Mengapa di Semenanjung tidak, kata mereka itu! Tetapi di negeri yang mereka telah mendapat hak siasat kedapatan bahwa kerajaan negeri itu tidak berkewajipan menyediakan sekolah-sekolah bahasa Cina percuma, mengapa pula mereka meminta sekolah yang tidak ada di negeri yang mereka pangkatkan itu di sini?

Anak-anak Jawa memang diterima masuk di dalam sekolah-sekolah kerajaan, bahkan undang-undang pelajaran paksa yang dijalankan di atas anak negeri itu, dijalankan juga di atas anak-anak Jawa atau Banjar dengan tidak berbeza; tetapi tidak sekali-kali dijalankan di atas anak Cina.

Orang-orang dagang terutamanya Cina, patutlah mengerti bahwa orang-orang Melayu berasal dari gugusan pulau-pulau Melayu itu, memang sepupu rakyat kerajaan yang asli di Semenanjung ini. Apabila mereka sampai di Semenanjung, tidaklah mereka akan mengaku Malayan dan tidak pula kerajaan telah menyediakan Pejabat Protectorate bagi mereka itu melainkan di mana mereka bermastautin di situlah rajanya disembah dan ditaati dan hingga sampai ajal mereka tidaklah mereka lupa pepatah moyangnya, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah! Dengan lidah dan anggota mereka!

Boleh dipastikan mudah-mudahan bangsa Melayu dagang itu belum pernah membawa riwayat yang mengasingkan diri mereka itu dari pergaulan rakyat asli, hingga masa kerajaan membuka kantungnya bermillion ringgit untuk belanja Cina-Cina yang mati angin di Semenanjung ini balik ke Tongsan, tidak kedapatan satu sen pun diuntukkan bagi belanja Jawa pulang ke Indonesia, oleh kerana bersangatan hampir mereka itu kepada hal-ehwal anak negeri asli.

Bukannya tidak kedapatan orang-orang Jawa atau Minangkabau, Banjar dan Bugis yang undur dari Semenanjung oleh kerana kesempitan penghidupan mereka itu di sini. Tetapi tidaklah mereka pernah menyusahkan kerajaan. Apa yang kita sebut di atas barangkali tidak tersembunyi kepada pengetahuan penganjur-penganjur bangsa dagang di sini, dan memadai bagi pengetahuan mereka untuk mengenal siapa diri mereka di Semenanjung dan siapa Melayu dagang dan siapa pula Melayu asli.

Jika kerajaan di Hong Kong menyediakan sekolah-sekolah bahasa Cina dengan percuma, tentulah anak-anak Cina dari Swatow atau Amoy ada diterima sama dengan anak-anak Hong Kong. Tetapi anak-anak India yang bukan sedikit di sana tentulah tidak berhak meminta sekolah bahasa Hindustan di Hong Kong; meski anak-anak India di sana boleh juga bermegah menyebut yang bapa atau moyang mereka sepah dibawa oleh kerajaan Inggeris ke sana sebagai soldadu yang tentu sahaja tak dapat dianugerahkan jasanya membuka dan mengamankan negeri.

Undang-undang pendaftaran bangsa dagang akan berjalan kuat kuasanya tiga kali tulat sahaja lagi. Tak usahlah Cina cemburu kerana bangsa Indonesia juga akan menerima nasib yang sama dengan negeri nasib Cina. Bagaimana dagang Cina begitulah dagang Indonesia kelak di sini.

Cina tahu bahwa di dalam masa yang telah lalu, Melayu Indonesia di sini telah mendapat hak; berhak di dalam tanah kawasan Melayu, berhak mendapat pelajaran, berhak diterima sebagai Melayu asli, hingga di dalam jawatan Malay Officer. Tetapi ukurlah ketaatan Melayu dagang itu; adakah seorang Melayu dagang telah membantah undang-undang pendaftaran bangsa dagang yang juga akan menyekat kedatangan anak-anak bangsa mereka? jika Melayu dagang runsing hingga memberontak sekalipun, barangkali banyak pihaknya yang mengatakan patut, maklum! Bukan sedikit peluang mereka tersekat.

Tetapi mudah-mudahan tak seorang jua pun runsing. Tiba-tiba kaum Cina yang memang tidak mendapat hak seperseratus pun dari hak Melayu dagang itu; lalu memberontak dan lalu pula mengaku bangsa mereka bangsa yang taatkan undang-undang negeri. La-hawla wa-la qu-wata billahi!