Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 22 Dec 1932, p.4

General Article.

Perbahasan di Sultan Sulaiman Club. Melayu lebih baik berniaga daripada berkebun.

Pencadang: Encik Marah Abas. Penyokong: Ramli bin Haji Muhammad Tahir. Pembahas: Encik Muhammad Yusuf bin Ahmad. Penyokong: Tuan Haji Muhammad Sidin.

Perbahasan Semakin Ramai.

Atau pun perbahasan Melayu Lebih Baik Berniaga daripada Berkebun, dan lawannya Melayu Lebih Baik Berkebun daripada Berniaga, telah dilangsungkan di rumah Persekutuan Sultan Sulaiman Club pada malam minggu yang lalu; dihadiri oleh kira-kira 60 orang; di antaranya Tuan-Tuan Tambi Ali, Asfakirin, Haji Zainuddin, Kajai Abdul Rahim, Bodeng, Abdul Manaf ((Group Teacher)), Cikgu Mahmudin, Muhammad Amin bin Haji Muhammad Yusuf, Jalaluddin Agriculture, Lope Ahmad, Amir Sutan Imam, Haji Abdul Majid Audit Office, dan lain-lain. Encik Fateh Akhir telah diangkat menjadi Pengerusi. Perbahasan dimulakan dari pukul 8, ditamatkan pukul 10.15.

Perbahasan mulut selama dua jam lebih tak berhenti-henti tentu sahaja panjang. Oleh itu memadailah jika kita wartakan sahaja bahwa Encik-Encik Pencadang yang memang saudagar ((bukan kita pangkatkan kelabnya)), tetapi kedua-dua Pencadang memang hidup dengan haluan berniaga berniaga dan tetap sahaja keduanya yakin bahwa berniaga itu lebih baik daripada berkebun. Tidaklah hairan Encik-Encik Pencadang telah menghuraikan lazat keuntungan, tak kurang pihak Pencadang mencontohkan bahwa orang-orang yang kaya-raya ((milyuner)) di dunia adalah daripada kaum perniagaan seperti Rockefeller, Henry Ford, Raja Minyak, Raja Keretapi, Raja Sepatu ((Mr. Bata)), semua ahli berniaga hingga ugama Islam pun sedia mengatur dan menghalalkan perniagaan.

Semuanya diterangkan supaya menjadi hujah bahwa orang-orang Melayu itu lebih baik berniaga daripada berkebun, hingga Encik Pencadang berakta bahwa orang-orang yang berkebun itu selamanya di bawah kuit telunjuk ahli perniagaan.

Encik-Encik Pembahas tidak pula kurang segaknya mengemukakan hujah-hujah menentang huraian Encik Pencadang: bolehlah dikumpulkan seperti berikut.

Atau pun makna berkebun itu sangat luas dan termasuklah di dalamnya segala hal bercucuk tanam dari pun yang sehabis kecil, hingga kepada yang sehabis besar, di dalam dunia.

Tuan-Tuan yang hadir jangan lupa bahwa pohon perbahasan dalam ini bukannya, sebahagian orang Melayu itu patut berniaga, tetapi ialah Melayu lebih baik berniaga daripada berkebun.

Berniaga atau berkebun itu memang perkara yang baik, tetapi Tuan-Tuan yang hadir mesti menimbangkan mana yang lebih baik diutamakan oleh sekalian Orang Melayu.

Berkebun atau berusaha kepada tanah itu lebih asal dan lebih dahulu daripada berniaga; bahkan daripada ialah baru bangkit perniagaan dan ialah jua yang lebih kemudian dan akhir sekali mesti dibuat apabila perniagaan seorang atau sesuatu kaum itu telah hapus atau hilang.

Sebelum sesuatu bangsa berniaga wajib mereka berusaha kepada tanah semasa mereka berniaga wajib benar memajukan perusahaan-perusahaan tanam-tanaman. Dan kemudian daripada perniagaan mereka telah jatuh terpaksalah jua mereka balik kepada tanah. Jikalau mereka tidak mahu hapus terhilang sekali dari muka bumi ini.

Orang Melayu kita ialah zaman dahulu bukannya tidak berniaga. Tetapi kalah perniagaannya oleh aturan perniagaan yang lebih baik. Maka jikalau mereka itu semata-mata mengutamakan perniagaan dengan tidak mengutamakan kepada tanah dahulu tentulah telah lama bangsa Melayu kita ini hapus dibuat oleh bangsa-bangsa lain; sebab orang-orang Melayu kita ini malah ada dan masih mengata perdirian dan kedudukannya di negeri ini.

Selama ini sungguh pun negerinya telah didatangi oleh kaum yang lebih pintar dan pandai dan kuat bekerja ialah tidak lain lagi melainkan sebab mereka itu mengutamakan pekerjaan tanah negerinya; tanah dan perusahaan tanah itulah tapak dan asas perdirian yang tegak dan kuat bagi sesuatu bangsa.

Walaupun hodoh dan tiada elok aturan bercucuk tanam mereka itu tetapi tidak dapat dengan senang mereka itu diajak atau dikisut daripada negerinya. Satu daripada dalil yang lebih kuat lagi menunjukkan perusahaan di atas tanah ((atau berkebun)) itu lebih baik daripada berniaga ialah kita selama ini tidak berapa risau membiarkan segala bangsa berniaga di negeri ini.

Tetapi apabila bangsa-bangsa asing itu telah mula meminta tanah sawah atau lain-lain tanah untuk berkebun, maka kita berasa bimbang; dan dengan satu suara kita telah bangkit menahankan kehendak-kehendak mereka itu!