Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 29 Dec 1932, p.7

General Article.

Nasib Umat Semenanjung.

Oleh Asmara.

Di dalam beberapa abad yang lalu, Semenanjung sebuah negeri yang kaya raya dengan hasil buminya. Di dalam abad yang kedua waktu orang-orang Hindu telah menduduki Tanah Jawa, Semenanjung telah diketahui orang. Kedah telah menjadi maju di dalam abad yang kelima dan keenam dengan sebab dibuka Singapura di dalam kurun yang ketiga belas menambahkan kemajuan Semenanjung. Pada tahun 1400 Melaka telah menjadi bandar yang ramai disinggahi oleh segala dagang, bandar Melaka menjadi pusat perniagaan dan ibu negeri. Dengan beransur-ansur Melaka telah meluaskan jajahan takluknya ke pulau-pulau Melayu, orang-orang Melayu masa itu termashyur di dalam pertukangan mendirikan kota, istana, yang tegap dan teguh, perhubungan dagangan keluar negeri tidak berputusan, ilmu pelayaran telah diketahui mereka, sehingga mereka telah melayarkan perahu pejajabnya sehingga negeri Cina, sirukan Parsi, ke Pulau Madagascar, berniaga. Segala hal itu dibuktikan oleh tawarikh.

Pendek kata, orang-orang Melayu pada masa itu samalah kemajuannya dengan ukuran kemajuan dunia Barat pada zaman itu juga.

Kedatangan bangsa Barat ke Tanah Melayu inilah yang merosakkan nasibnya umat Semenanjung orang-orang Portugis telah mengalahkan Melaka di dalam tahun 1511, kemudian berganti-ganti bangsa-bangsa yang datang itu, ialah puak-puak saudagar yang haloba dan tamak hendak membolot segala perbendaharaan di Semenanjung ini. Berbagai-bagai kekejaman, kedahsyatan, yang melewati batas kesopanan dilakukan mereka dengan tidak sekali mengendahkan nasib anak negeri yang telah ditunduknya dengan kekuasaan soldadu dan senjata itu. Umat yang ditaklukkan dengan kuasa ubat bedil atau lain-lain senjata-senjata itu ialah umat yang sorok-sorok nasibnya kekuasaan kompeni yang kejam terhadap kepada umat itu tidak memberi peluang bagi rakyat pada menambah kepandaian mereka. Bahkan, cuma disuruh mengerjakan pekerjaan yang memberi keuntungan kepada kompeni sahaja dari sehari ke sehari kemajuan rakyat bertambah mundur dan akhirnya hilang.

Zaman yang lalu tak guna diulang-ulang, bahkan tawarikh akan mengingatkan dia sekarang patut diingat di waktu kekuasaan kompeni telah lalu zamannya. Sekarang kita telah ada di bawah panji-panji tiga warna yang senantiasa menimbang dan kasihan kepada nasib rakyatnya yang telah rosak itu.

Kita sekarang ada di bawah didikkan kerajaan Inggeris yang pemurah itu dengan mengadakan berbagai-bagai sekolah yang menunjuk-mengajar kita kepada jalan membaiki nasib kita supaya bersama-sama bertamadun. Yang demikian hendaklah kita jangan lengah melepaskan peluang; rebutlah segera, kejarlah kemajuan, yang telah beberapa jauh meninggalkan kita; hari pagi jangan dibuang-buang, hari petang jangan dikejar-kejar.

Di masa inilah ketikanya kita mesti menghambat dan mengejar apa yang telah ketinggalan, apa yang kurang ditambah, yang rosak dibaiki, dan bersama-sama bersekutu bagi meningkatkan mutu Semenanjung kita ini dengan panduan dan asuhan kerajaan Inggeris. Begitu juga kita mesti bersama-sama memohonkan kepada kerajaan Inggeris soal tuntutan bangsa-bangsa Malayan itu, sungguh pun kita percaya yang kerajaan kita tidak enggan menjaga hak-hak kita, tetapi tentu sekali kerajaan lebih suka mendengar daripada mulut kita sendiri mengatakan kita sekali-kali tidak suka menerima Malayan itu berhak di tanahair kita.

Salam dan ingatan yang ikhlas kepada kaum bangsaku!