Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 11 Jan 1930, p.8

Editorial.

Orang-Orang Asing Meminta Hak Berjawatan di dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu Malayan Civil Service.

Berulang-ulang kita telah dengar dan bacai di dalam suratkhabar-suratkhabar perihal maksud orang-orang Timur asing ((bangsa Asiatik)) di dalam negeri-negeri Melayu ini meminta supaya diberi peluang mereka itu di dalam jawatan pemerintahan negeri atas kerajaan Tanah Melayu ini.

Sebetulnya mereka itu telah diberi berhak dan banyak menjadi pegawai-pegawai iaitu kerani-kerani di dalam pejabat-pejabat pihak kerajaan di negeri-negeri Melayu terutama di dalam negeri-negeri Selat ini, akan tetapi yang demikian itu tidaklah memuaskan bagi perhatian mereka itu di mana ia berkehendak pula mendapati peluang supaya berhak berjawatan di dalam pemerintahan negeri seperti menjadi Magistrate atau District Officer dan lain-lain seumpamanya di dalam kerajaan negeri-negeri Melayu ini.

Demikianlah pada waktu yang akhir ini permintaan yang tersebut telah bertubi-tubi datangnya ke dalam Majlis Mesyuarat Legislative Council di Singapura itu, yang dimajukan oleh ahli-ahli mesyuarat pihaknya, sebagaimana yang diwartakan oleh Majalah Guru bahwa di dalam Majlis Mesyuarat yang telah diadakan pada 9 Disember yang lepas, Yang Berhormat Mister Lim Cheang Ean telah mendesak lagi atas tuntutan yang tersebut dengan permintaan katanya: supaya perkara ini ditimbangkan benar-benar dan peraturan yang telah diperbuat dengan tidak dipersetujui oleh kemajuan dan kehendak orang-orang negeri ini patutlah diubah.

Ini permintaan! Akan tetapi adakah sesuatu permintaan itu patut terkabul atau tidak? Ketika yang demikian patutlah kita tilik kepada siapa-siapa yang berhak atas permintaan itu.

Tidak dapat dibantah lagi bahwa tilikan yang demikian ini memanglah bersetuju dengan peraturan umum atau yang dinamakan peraturan yang dikuatkan dan diakui oleh alam dunia!

Kita ketahui sebagaimana diketahui juga oleh orang-orang asing itu bahwa di dalam Tanah Melayu ini dan di dalam kurun yang kedua puluh ini, yang patut berhak di dalam jawatan pemerintahan negeri atau kerajaannya ialah bangsa-bangsa anak negeri yakni anak tanahair Melayu ini dan bangsa pemerintahannya yakni bangsa penaung dan pemimpinnya orang-orang Inggeris belaka. Mengapa dan bagaimana kerana begitu, kita fikir tiadalah patut menjadi sesuatu soal lagi kerana mengambil telah demikian kehendak yang sebenar-benarnya, bahwa tiap-tiap seorang yang masih diakui mempunyai rumah tangganya sendiri itu. Maka ialah sahaja yang mesti berhak dan patut atau layak bersama dengan pemimpinnya bagi mengatur dan menyelenggarakan rumah tangga itu terlebih dahulu atau terkemudian daripada ia menerima tamu-tamu atau orang-orang datang ke dalam rumahtangganya itu.

Patutkah orang-orang asing diberi berhak sama bersusah-payah memegang punca peraturan dan pemerintahan di dalam rumah tangga itu?

Tidak! Tidak! Oleh yang demikian itu ialah menjadi suatu kemaluan bagi pihak pimpinan dan Tuan punya rumah tangga itu, kerana bukanlah sahaja tiada pernah berlaku bagi rumah-rumah tangga lain, akan tetapi tiadalah sayogianya seseorang yang berhak atas haknya itu akan meringankan kewajipannya kerana [...*]