Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 24 May 1930, p.6

General Article.

Nasib Melayu Yang Akan Datang. Bagaimana ikhtiar mengelakkannya.

Oleh Melayu Semenanjung.

Ya, jika kita perhatikan Tanah Melayu sekarang ini dapatlah kita mengagak bagaimana kelak nasibnya yang akan datang:

1. Bagi mereka yang ada mempunyai 2 ekar tanah pada masa ini, tidak lama lagi akan dipusakai oleh lima enam orang anak. Dan akan berpindah pula kepada lima enam belas orang cucu, hingga akhirnya hendak membuat tapak rumah pun tak cukup di dalam tanah itu ... di manakah lagi tanahnya yang hendak dijadikan tempat bertanam? Dan apakah lagi ikhtiar mereka mencari makan? ... Padahal mereka itu berganda-ganda ramainya daripadanya yang ada sekarang ini?

2. Tanah yang subur ditanami sekarang ini, tidak lama lagi akan bertambang usang, dan tanam-tanaman pun tidak mau jadi, anak cucu semakin bertambah ramai ... ke manalah lagi tempat hendak mencari makan? .... Dan bagaimanalah lagi keadaan hidup bangsa kita pada masa itu?

3. Harga barang-barang yang boleh taham mahalnya pada masa ini tentulah akan bertambah-tambah mahal juga ((kerana benda-benda itu semakin lama semakin susah mencarinya, dan manusia semakin bertambah-tambah ramai juga daripada yang ada sekarang ini)) oleh yang demikian apalah daya anak Melayu ini hendak membelinya? Sedangkan pada masa sekarang ini pun orang kita sudah kempis-kempis hidungnya oleh kemiskinan?

4. Kayu, sayur, ikan, beras, padi yang memang wajib digunakan tiap-tiap hari itu pun sudah mulai susah mendapatinya, dan mahal harganya. Betapa lagi pada masa yang akan datang, tentulah bertambah-tambah susah dan mahal juga lagi ... oleh itu apalah daya anak-anak bangsa kita hendak mengadakannya? Dan bagaimana ikhtiar hendak membeli benda-benda yang tersebut itu?

((Puah! ... dijauhkan Allah kiranya!)) Beras yang kita makan sekarang ini jika tidak dihantar lagi oleh orang-orang lain negeri ke mari ((kerana mereka itu sudah kekurangan pula oleh kerana keramaiannya, ataupun ditahannya oleh berlaku sesuatu sebab)) apalah lagi yang akan kita makan?

Jika bergolot-golot sekalipun kita menanam padi pada masa itu, bolehkah tahan nyawa kita menantikan padi yang ditanam itu sampai masuk dan boleh dimakan?

5. Pendeknya, jika perangai orang-orang kita ((Melayu)) gemar juga lagi duduk diam, dan jika bekerja ((seumpama memotong getah)) sekejap bekerja sekejap berhenti. Atau pun jika memelihara itik ayam sekadar digunakan untuk ditutung kerana kenduri arwah sahaja. Dan bagi pemuda-pemudanya suka melawa dan berbual-bual di kedai kopi seperti yang telah lalu juga ... haruslah tidak lama lagi kaum Melayu kita akan jatuh nasibnya kepada darjah semiskin-miskin manusia di dalam alam ini.

6. Betapa lagi jika setengah daripada tok-tok alim kita berkuat dan bertegang urat menyerah juga menyatakan dunia ini tiada berguna, dan bukannya tempat kita ((Cuma akhirat sahaja yang jadi negerinya itu)) serta selalu pula ia mengemukakan Hadis yang diartikan ke dalam Bahasa Melayu ((yang dunia ini penjara segala mukmin dan syurga bagi kafir itu)) dengan menambah kata lagi kepada murid-muridnya "macam manalah kita tak kaya ... dan tak senang?" Kerana Nabi kita sendiri sudah mengata "dunia penjara bagi kita ... dan ... dan ...", banyak yang lain-lain lagi perkataannya yang melemahkan hati kepada orang yang suka berusaha di dalam dunia ini.

Jika didengar juga fikiran dan ajaran yang seumpama itu, haruslah anak-anak bangsa kita akan bertambah-tambah hanyut juga lagi daripada yang ada sekarang ini. Lihatlah contohnya Pak-Pak Lebai yang cuma mempunyai kopiah putih dan berkaki ayam sekarang ini ... jika sudah jadi begitu semuanya anak-anak bangsa kita ... apalah gunanya hidup di dalam dunia ini lagi?

Sungguh pun mereka itu hidup tetapi akalnya sudah mati ((tidak mau berfikir apa-apa lagi)).

Ada Sambungan.