Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 18 Oct 1930, p.8

Editorial.

Perusahaan Padi di Semenanjung.

Dari pihak yang berkuasa atau dari punca pemerintah Semenanjung, kita perhatikan bahwa pergerakan menghidupkan atau meluaskan perusahaan padi itu sangat-sangat ditunjang ((disokong)) dan yang demikian itu besarlah harapan Semenanjung bahwa kemelesetan ((kesusahan)) timah dan getah yang menimpa bumi ini dapat dipulihkan dengan kemakmuran perusahaan padi di dalam masa yang tidak berapa jauh dihadapan kita.

Di dalam khutbahnya di dalam Persidangan Raja-Raja Melayu di Singapura itu, Tuan Yang Terutama Sir Cecil Clementi telah mengemukakan haluan yang sangat-sangat dikehendaki itu, yang demikian itu kita terjemahkan lebih kurangnya dan adalah seperti berikut:

Persidangan Raja-Raja Melayu.

Persidangan Durbar bagi Raja-Raja Semenanjung telah diadakan pada hari Sabtu 11 haribulan ini di Rumah Kerajaan di Singapura bagi kali yang pertama sekali di dalam tarikh Semenanjung.

Dihadiri Oleh:

Duli-Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Regent Kedah, Sultan Selangor, Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Raja Perlis dan Tengku Mahkota Johor.

Beramah-ramahan dikehendaki.

Tuan Yang Terutama Sir Cecil Clementi di dalam khutbah pembukaannya berkata:

Duli-Duli Yang Maha Mulia serta sekalian bangsawan,

Tuan-Tuan sangat disambut, inilah suatu kerayaan yang maha besar bagi saya bahwa semua Tuan-Tuan hadir pada hari ini di Singapura di dalam persidangan Durbar yang pertama sekali dari wakil tiap-tiap kerajaan yang memerintah di dalam Semenanjung Tanah Melayu. Saya khas sekali terhutang kepada mereka-mereka di antara Tuan-Tuan yang telah memfardhukan perjalanan yang jauh dan penat kerana akan hadir.

Tujuan kita bertemu di sini hari ini ialah pertama-tama sekali supaya memberi tanda dengan kesungguhan dari perhimpunan yang demikian itu bahwa sesungguhnya kita esa pada pihak ketaatan kepada King. Dan saya akan mensyorkan di dalam masa yang kemudian kelak bahwa pekerjaan kita yang terutama sekali ialah bersatu menghantar suatu utusan dari adab kehormatan kepada Duli Yang Maha Berbahagia King di dalam masa perintahannya yang berkesejahteraan, itulah Tanah Melayu ini telah memperoleh rahmat keamanan di tengah-tengah perlumbaan alam ini hingga telah berkejayaan serta berkemakmuran seluas-luasnya.

Di dalam hal yang lain daripada itu, tujuan kita ialah akan mendirikan beramah-ramahan yang akrab di antara kita supaya dapatlah kita memperoleh faham yang benar di antara satu sama lain dari kesusahan dan kehendak kita. Saya tetap berkeyakinan dari faedah mau pun kewajipan bertolong-tolongan dan dari fikiran yang berterang terus berhadapan muka akan hal-hal yang menyekat kita.

Jiran yang berhampiran.

Kita semua jiran yang berhampiran serta bertuan baik, dan kita berkehendak kepada bantu membantu di antara satu sama lain. Tetapi adalah rakan permulaannya itu mahulah mempunyai pengetahuan yang sah dari kehendak-kehendak satu sama lain dan tiadalah suatu jalan memperoleh pengetahuan yang demikian itu terlebih utama dari barang yang akan diperdapat dengan mengadakan suatu persidangan.

Yang Ketiga: kita tuju di dalam persidangan ini, akan memperoleh pemandangan yang luas dari kehendak-kehendak dan kemahuan Tanah Melayu umumnya. Banyaklah keperluan-keperluan di dalam Semenanjung ini yang biasa bagi dua buah negeri atau lebih.

Misalnya, keperluan bagaimana menahan bah dari Sungai Muda itu biasa kepada Province Wellesley dan kepada negeri Kedah, keperluan yang lain umpama barang yang berhubung dengan keretapi, iaitulah hal keperluan negeri-negeri yang dilalui keretapi itu.

Ada juga hal-hal yang lain lagi umpama barang yang berhubung dengan kuli-kuli dan tiada berpekerjaan, post dan telegraf, kesihatan ramai, kawalan negeri, pelajaran dan perkebunan yang biasa diketahui serata-rata Semenanjung.

Faedah Persidangan ini ialah supaya kemudahan bagi kita akan mempersamakan kemahuan tiap-tiap bahagian negeri itu di dalam suatu pergerakan yang biasa menyelamatkan hal ini dengan jalan yang sehabis-habis molek menurut patutan dan yang demikian itu adalah mengembangkan kebajikan bagi penduduk Tanah Melayu seumumnya.

Ini hal tersangatlah wajibnya bagi kemajuan dan kemakmuran negeri di dalam masa yang akan datang memperolehnya dan apabila diperoleh tetaplah akan menyelamatkan pemandangan yang luas ini di atas seumum Semenanjung.

Oleh itu dengan ikhlasnya saya berharap akan mengadakan suatu Persidangan seumpama ini sekali dalam tiap-tiap tahun. Perjumpaan-perjumpaan yang demikian ini menjadi sebahagian dari perkakas yang terdiri dari perintahan Tanah Melayu.

Di dalam pemberita ((Report)) Tuan Omsgore berkenaan dengan lawatannya ke Tanah Melayu ini, telah disebutkan bahwa nilaian perniagaan Tanah Melayu ini melebihi jumlah nilaian perniagaan semua jajahan takluk yang lain di kumpul sekali.

Dengan malangnya telah hilang kemegahan ini dari kita tersebab dari kejatuhan harga yang tidak disangka di dalam harga dua perkara barang-barang keluar yang utama sekali, iaitu timah dan getah: tidaklah saya dengan cukupnya tampak akan berharap bahwa kita dengan segeranya akan memperoleh dia ((kemegahan)) itu balik semula.

Tetapi saya cukup tampak dan percaya iaitu dengan sama-sama mesyuarat dan sama-sama bertolong-tolongan bolehlah kita memperbuat banyak perkara akan membaiki tadbir serta membaiki urusan yang luas dari segala pejabat-pejabat kerajaan dan akan memperoleh suatu barisan hadapan yang bersatu di dalam semua perhubungan kita serta perlumbaan dengan dunia luar.

Menurut keadaan zaman ini, bahwa perhubungan semua bahagian dunia itu tersangatlah bersangkutan di antara satu sama lain dan di dalam masa kesusahan umum dunia, terutama sekali sebagaimana barang yang kita ketahui pada masa ini, perlumbaan itu tersangatlah berkedalaman hingga tidaklah kelak sebahagian kecil dari perhimpunan Tanah Melayu, maupun Tanah Melayu seumumnya sekali.