Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Apr 1931, p.1

Leader Article.

Surat Terbuka Kepada Raja-Raja dan Orang-Orang Besar Serta segala bangsa Melayu.

Oleh Raja Salim bin Abdul Salam.

Ada seorang Melayu telah mengarang suatu kitab di dalam bahasa Inggeris, namanya kita itu "Bangsa Melayu di Negeri Melayu". Maka di dalam beberapa kisah dan rundingan yang dihuraikannya di dalam kitab itu ada tertulis suatu perkataan yang saya suka sekarang mengingatkan di sini iaitu pada tentang ia berkata: "Orang-orang Melayu menakuti dengan kedatangan bangsa Cina yang terlalu banyak ke negeri Melayu itu kelak di dalam dua tiga puluh tahun lagi tenggelamlah bangsa Melayu dihimpit oleh Cina sama ada pada sisi kerajaan dan pada nisbah perniagaan sekaliannya".

Sebab pun saya kata di atas rencana ini "Surat Terbuka Kepada Raja-Raja dan Orang-Orang Besar serta segala Bangsa Melayu" iaitulah supaya sekaliannya yang tersebut itu mengambil peduli darihal keadaan dan bangsa Melayu, mudah-mudahan dapat kemajuan dari masa ini hingga zaman berzaman pada hari yang dihadapan adanya.

Yang pertama kita mesti ingat bahwa bilangan bangsa Melayu tiap-tiap waktu ada bertambah, Insha allah, begitulah selama-lamanya. Maka sungguh pun kerajaan telah menyimpankan ((Reserve)) beberapa luas tanah untuk anak-anak Melayu sahaja, akan tetapi orang-orang yang pandang memandang yakni yang berharapkan kerajaan Inggeris itu menaungi negeri-negeri Melayu selagi ada peredaran matahari dan bulan mengikut teriti perjanjian mereka itu tentulah terfikir bahwa tanah-tanah ((Malay Reserve)) itu tiada mencukupi bangsa Melayu khusus jika dihimpit pula oleh bangsa Cina seperti yang ditakutkan di atas itu.

Yang kedua, maka dari sebab-sebab yang tersebut itu, eloklah kita berkira panjang dan dari waktu ini juga kita semuanya yakni Raja-Raja dan orang besar-besar dan rakyat-rakyat Melayu sebulat kata meminta kepada kerajaan supaya tiada dibenarkan lagi bangsa lain daripada Melayu mengambil tanah, dan tanah yang sekarang pada tangan bangsa Cina itu kita mesti beli balik daripadanya dengan perlahan-lahan. Pendeknya, tanah Melayu bagi bangsa Melayu!

Inilah tujuan kita dan sekali-kali tidak boleh bangsa yang lain daripada Melayu itu mempunyai atau memiliki melainkan yang telah sudah itu sudahlah.

Yang ketiga, permintaan kita ini bukannya suatu perkara yang pelik dan belum pernah jadi pada daerah-daerah yang lain-lain di dalam dunia ini umpamanya di Tanah Jawa, hanya orang Jawa sahaja yang boleh mengambil tanah dan Cina sama sekali tiada dibenarkan; hatta orang Belanda sekalipun iaitu bangsa yang memerintah mereka itu hanya dibenarkan akan dia. Jika sudah mengaku anak negeri mengatakan boleh dia ambil kerana mereka sendiri tidak mahu. Demikian juga di negeri ((Pulau)) New Zealand, sungguh pun negeri itu takluk kepada Inggeris tetapi tanahnya semuanya dimiliki oleh anak negeri bangsa Maori itu hanya boleh bangsa Inggeris itu bertanah. Jika disewanya daripada bangsa anak negeri itu.

Yang keempat, negeri kita Melayu bukan kalah perang ditakluki oleh Inggeris seperti tanah Jawa oleh Belanda atau Pulau New Zealand itu oleh Inggeris. Hanya kita bernaungkan diri kepada kerajaan Inggeris dengan yang demikian tentulah ada hak bagi kita bersuara mengatakan kita tidak suka bangsa Cina memiliki tanah di dalam negeri kita kerana jika kita halus-halusi tentu kita mengetahui bahwa orang Cina itu pun jauhlah panggang dari api; dia sukakan bangsa Melayu memiliki tanah negeri di negeri Cina itu. Padahal, kita junjung mereka itu kita jadikan orang besar di negeri kita seperti jadi Member Federal Council dan jadi Datuk seperti di Pahang dan Selangor.

Yang kelima, saya hairan mengapa Melayu tidak suka menghormatkan bangsa Melayu walau dia pandai bagaimana pun melainkan jika dia berbangsa pada hal jika orang Cina memilih hormatnya walau dia tahu Cina itu keturunan daripada penarik beca atau pengangkat tahi, asalkan dia itu ada wang boleh dia pinjam-pinjam daripadanya. Demikian juga saya hairan tidak juga orang-orang Melayu tahu tiap-tiap kali Cina itu memberi pinjam kepada Melayu adalah faedah atau keuntungan atau kebesaran yang dijeratnya daripada Melayu, pada hal sebaik-baik Cina dan sejahat-jahat Melayu ada juga lebihnya berbaik sama-sama Melayu.

Yang keenam, saya dengar-dengar angin di Kedah sudah ada perasaan seperti yang kedua di atas ini, Alhamdulillah!

Bravo! Majulah begitu sampaikanlah maksud kononnya akan dibuat ((Malay Reserve)) semuanya tanah kerajaan yang segala lagi sekarang iaitu supaya bangsa asing tidak boleh memiliki tanah di Kedah melainkan bangsa Melayu.

Yang ketujuh, saya harap Raja-Raja di negeri lain di Tanah Melayu ini jangan malu pada meniru pergerakan baik seperti yang telah diteladankan oleh Kedah itu; sungguh saya hairan bangsa Melayu tidak-tidak berfasal malu itulah sebab kita keciciran!

Ajaib-ajaib ada seorang Raja jika ada hamba rakyat mengadap kepadanya dan menyembahkan sesuatu syor yang boleh berfaedah kepada bangsa dan negeri maka dijawabnya: "Kita pun sudah terfikir tiga tahun dahulu, seperti syor itu. Hanya dia mengatakan, kita banyak-banyak terima kasih, Insha allah kita jalankan sungguh pun syor itu mudah-mudahan berfaedah kepada ramai".

Pendeknya, Raja Melayu ada lagi yang seperti Raja Singapura yang membunuh budak tatakala Singapura dilanggar todak. Ajaib! ((Tujuh Kali!)).

Penyudah kata: saya bukan minta puji dan bukan minta terima kasih dan bukan karangan ini boleh dipanjang-panjangkan dan perkataannya difikir-fikirkan dan syor-syornya diperbaik-baikkan sehingga hasil maksud seperti yang dihuraikan di sini, mudah-mudahan terpelihara kita daripada himpitan Cina dan kesenanganlah anak cucu kita pada masa yang akan datang kekal selama-lamanya di bawah naungan Inggeris yang telah menyebabkan kita terbuka mata kepada segala nikmat-nikmat dunia yang terhias di Barat itu dengan segala kebebasan dan kemerdekaan adanya, sehingga ((bukan sakan)) inilah sahaja berleter, harap maaf. Was-salam.