Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 14 Feb 1931, p.8

Editorial.

Anak Negeri atau Orang Melayu.

Tak kurang dari seratus tahun bumi Selat ini telah menjadi jajahan Inggeris, tak kurang pula dari seratus tahun anak negeri atau Orang Melayu itu hidup umpama lukut di luar gantang; jika dibandingkan kepada perhimpunan bangsa asing yang berkemakmuran itu, tetapi tidaklah pernah perkataan "anak negeri" atau "Orang Melayu" itu menjadi saraan bahas melainkan pada zaman kita ini.

Apakah sebabnya?

Anak Negeri atau Orang Melayu patutlah sedar bahwa sebab-sebab yang tunggal sekali ialah kerana anak negeri atau Orang Melayu itu telah mulai sedarkan kejatuhan mereka dan boleh juga dikatakan bahwa "pohon" anak negeri atau Orang Melayu itu telah keletihan mulai bertunas.

Suburkanlah hidupannya wahai Tuhan!

Mr. Lim Cheang Ean ianya pada meneruskan pidatonya di dalam rumah Ho Boo Siew pada malam 7 Februari yang lalu berhubung dengan "Peranakan Cina Selat" berkata: negeri ini bukanlah negeri Melayu dan di antara lain-lain perkataan Mr. Ean berkata: Siapa kata negeri ini negeri Orang Melayu?

Katanya: sewaktu Kapitan Francis Light datang ke sini adakah didapati orang-orang Melayu dan kampung-kampung Melayu? Tok nenek kita telah datang ke sini dan bekerja keras sebagai kuli -- tak malu bekerja sebagai kuli, katanya, tetapi mereka tidak menghantar wang mereka balik ((ke Tongsan)). Mereka berkahwin di sini dan membelanjakan wangnya di sini hingga dapatlah kerajaan menjadikan negeri ini negeri yang bertamadun.

Begitulah kata Mr. itu serta lain-lain perkataan lagi maksudnya supaya dapat sama rata darjah Cina itu dengan darjah orang Inggeris dan hak Cina sama dengan hak anak negeri.