Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 7 Feb 1931, p.1

Leader Article.

Kedudukan Kaum Melayu dari Sehari ke Sehari Dan bergerak dari selangkah ke selangkah ke hadapan dan ke belakang.

Apakah "Malayan Civil Service" itu? Malayan Civil Service ialah suatu scheme jawatan kerajaan di antara beberapa scheme yang dipandang tinggi sekali dalam Semenanjung Tanah Melayu -- jawatan-jawatan dalam scheme itu terbuka kepada orang-orang British sahaja yang jati dan pekat darah British dari kedua belah pihak ibu bapanya. Orang-orang yang memegang jawatan itulah yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah dari pun pangkat "Cadet" hingga kepada setinggi-tinggi pangkat dalam Semenanjung bahkan hingga boleh sampai jadi Gabenur dan bertukar-tukar pula memerintah dalam negeri-negeri takluk jajahan Inggeris seperti di Ceylon, Nigeria ((Afrika)), Hong Kong, Trinidad dan lain-lain sebelum mereka sampai kepada jawatan-jawatan yang tinggi sekali seperti British Resident, Penasihat British, Resident Councillor, Chief Secretary, Colonial Secretary, dan lain-lain beberapa banyak daripadanya yang bekerja dalam berbagai pejabat yang memerintah seperti pejabat tanah dan serta pejabat mahkamah iaitu seperti menjadi Magistrate, Registrar, Lawyer Kerajaan ((DPP)), pejabat kuli, pejabat orang-orang Cina, pejabat wang, pejabat audit dan lain-lain, iaitu lain daripada pejabat-pejabat hutan, tanam-tanaman, hutan-hutanan, kesihatan, kastam, pelajaran, keretapi, surat-surat, polis, dan lain-lain orang-orang yang hendak masuk ke dalam scheme Malayan Civil Service itu terpaksa masuk peperiksaan di London, iaitu sama seperti orang-orang yang hendak masuk kepada dalam jawatan Indian Civil Service, ataupun Home Civil Service, dan lain-lain.

Mereka yang datang ke Semenanjung ini diangkatkan dan dibenarkan jawatannya oleh Secretary Bagi Jajahan-Jajahan Luar di England. Mereka itu boleh bertukar-tukar dari Straits Settlements hingga ke Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan jua boleh dipinjamkan kepada negeri-negeri Melayu yang tiada Bersekutu, seperti Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Dalam beberapa tahun yang lalu, beberapa orang anak-anak Melayu dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu yang bekerja dalam jawatan pemerintah telah dipilih dan dinaikkan oleh kerajaan dengan persetujuan Yang Amat Berhormat Menteri Bagi Jajahan Luar di England masuk ke dalam jawatan Malayan Civil Service itu dan mereka itu dikhaskan membuat pekerjaan-pekerjaan memerintah di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu sahaja.

Lain daripada itu, beberapa banyak anak-anak Melayu yang masih bekerja dalam jawatan pemerintah itu telah diberi dan dipercayai dengan pekerjaan-pekerjaan yang dahulunya dijalankan oleh pegawai-pegawai orang putih iaitu seperti menjadi Magistrate-Magistrate, Penolong Pegawai-pegawai Jajahan dan lain-lainnya.

Beberapa orang pula daripada pegawai-pegawai Melayu itu telah dihantar belajar ke England dan telah balik dengan mendapat nama kepujian bukannya sahaja bagi dirinya, tetapi jua bagi kaumnya sekalian pegawai-pegawai Melayu jawatan memerintah yang belum masuk ke dalam jawatan Malayan Civil Service itu dikehendaki lulus di dalam peperiksaan undang-undang seperti yang dijalankan di atas Cadet-Cadet yang bekerja di dalam Malayan Civil Service dan dengan sukacita kita menyatakan kebanyakan mereka itu oleh sebab taat dan rajinnya boleh mereka itu lulus dalam peperiksaan itu.

Dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Tiada Bersekutu seperti di Johor dan Kedah masing-masing negeri itu ada mempunyai Civil Servicenya yang khas bagi anak-anak Melayu siapa boleh naik memegang jawatan dan gaji yang tinggi lebih kurang seperti pegawai-pegawai yang di dalam Malayan Civil Service jua.

Sekarang ini Malayan Civil Service seperti yang tersebut di atas ada dipandang oleh anak-anak Cina, Keling dan Eurasian Peranakan Semenanjung ini seperti setangkai buah yang masak ranum, yang sangat diidam-idam oleh mereka itu. Beberapa kali wakil-wakil bangsa mereka itu telah bersuara di dalam Majlis Mesyuarat Straits Legislative Council di Singapura meminta supaya dibukakan jawatan itu kepada anak-anak bangsanya tetapi telah beberapa kali pula kuasa yang memegang teraju pemerintahan Negeri Selat itu telah menjawab mengatakan bahwa orang-orang yang di dalam jawatan Malayan Civil Service itu bukannya sahaja untuk negeri Straits tetapi jua boleh bertukar-tukar ke Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan Tiada Bersekutu.

Dalam negeri-negeri Melayu itu katanya, Raja-Raja Melayu, anak-anak bangsa lain dari British dan Melayu menjadi pegawai-pegawai pemerintah. Tetapi bangsa-bangsa asing itu tidak jua puashati bahkan ketika Tuan Yang Terutama Sir Cecil Clementi ((Gabenur Negeri Selat dan High Commissioner Negeri-Negeri Melayu)) hendak balik bercuti dahulu, wakil-wakil bangsa mereka itu telah pergi mengadap Tuan itu dengan maksud minta sampaikan permintaan dan cita-citanya kepada Yang Amat Berhormat Lord Passfield, Menteri Bagi Jajahan-Jajahan Luar di Pejabatnya di Downing Street, London.

Dalam Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu, belum ada dan kita bilang belum berani wakil-wakil bangsa mereka itu mengeluarkan suara seperti di Straits kerana mereka itu tahu keadaan di negeri-negeri Melayu itu berlainan daripada keadaan di Negeri Straits.

Di Negeri-Negeri Melayu itu sungguh pun orang-orang Cina dan Keling ramai terutama di negeri Selangor tetapi maruah Melayu ((termasuklah anak-anak Melayu keturunan dari Jawa dan Sumatera)) masih dipandang tinggi dan mereka itu tampaknya telah sedar dan sedang berpegang kuat menahankan hak-haknya.

Raja-Raja Melayu dan Orang-Orang Besarnya sangat bersetuju dengan pegawai-pegawai kerajaan Inggeris dan mereka itu tampaknya cukup sedar akan kedudukan dan keselamatan bangsanya. Maka pegawai-pegawai Inggeris yang di dalam negeri-negeri Melayu itu pula tampaknya sangat mengambil berat kepada anak-anak Melayu sehingga dalam hal baik tentang jawatan atau pelajaran maka anak-anak Melayu itulah yang dilebihkan.

Peluang-peluang bagi anak-anak Melayu ada dibukakan dengan cukup luas dan terpulanglah kepada anak-anak Melayu sendiri menunjukkan dan mengusahakan dirinya buat mencapai dan mengambil peluang-peluang yang tersebut itu.

Anak-anak Melayu wajib berusaha belajar bukannya sahaja bagi memenuhi jawatan-jawatan dalam jawatan memerintah yang tersebut tetapi jua guna buat memenuhi jawatan-jawatan lain yang tinggi seperti di dalam pejabat ubat-ubatan, pejabat hutan, tanam-tanaman, keretapi, pejabat surat dan pejabat raya. Anak-anak Melayu yang belajar dalam Kolej Ubat-Ubatan dan Raffles College dan jua dalam sekolah tanam-tanaman ada bertambah dan semakin bertambah ramai. Diharapkan ibu bapa Melayu yang belum menghantar anak-anaknya ke tempat-tempat itu akan tidak membuangkan peluang yang boleh mendatangkan faedah bagi anak-anaknya dan negerinya dalam masa yang akan datang.

Kita tidak memandang kepada pejabat-pejabat Polis di negeri-negeri Melayu itu melainkan dengan perasaan suka dan besar hati iaitu apabila melihatkan pejabat-pejabat itu ramai menggunakan anak-anak Melayu dari pun pangkat Mata-Mata hingga kepada pegawai-pegawainya yang tinggi seperti Inspector dan Assistant Commissioner of Police, pegawai-pegawai Inggeris dalam pejabat itu memang wajib dikehendaki buat menunjukkan contoh-contoh peraturan yang sempurna yang dikehendaki bagi menjaga keamanan dan keselamatan negeri.

Sungguh pun di negeri-negeri Melayu itu dalam beberapa masa yang akan datang terpaksa menggunakan kuli-kuli, orang pekerja dan ahli-ahli perniagaan daripada bangsa Cina dan Indian, tetapi sangat wajib diingat bahwa semangat dan nyawa pemerintahan negeri itu dalam segala cawangan patut diisi dan dipenuhi oleh anak-anak Melayu, dan bila kita sebut Melayu, maka termasuklah sekalian anak putera bumi Indonesia yang telah kekal berumahtangga dan berkediaman dalam negeri-negeri Melayu itu.

Memberikan Tanah Sawah kepada Cina.

Perbahasan dan Majlis Mesyuarat Negeri Perak.

Seorang penulis dari Ipoh kepada akhbar Straits Times telah menulis pada 25 Januari yang lalu, katanya: perkara memberikan tanah-tanah yang luas buat bertanam padi kepada orang-orang yang bukan Melayu telah dibahaskan dalam State Council Perak. Perkara itu terbitnya daripada permintaan Mr. Lim Chong Guan ((Pulau Pinang)) kerana tanah hendak bertanam padi. Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak tiada bersetuju, katanya permintaan itu patut dipandang dengan timbangan atas kesusahan mendapat tanah dalam masa 50 tahun yang akan datang.

Orang-orang Melayu itu tidak lagi menjadi Tuan tanah yang luas, melainkan hanya tentang sawah padi sahaja, sangat patut yang tanah-tanah bagi perusahaan bertanam cucuk yang telah perbuat oleh mereka dari nenek moyangnya itu dikhaskan bagi pergunaan dalam masa akan datang lebih susah hendak mendapat tanah bendang daripada tanah getah atau lombong. Barangkali berfaedah pas masa ini memperoleh padi ((beras-beras dalam negeri ini tetapi sangat wajib seseorang memandang jauh ke hadapan dalam perkara ini buat menyelamatkan bangsa Melayu yang akan datang.

Mr. Chong Ah Meng ((Wakil Cina)) bersetuju yang tanah sawah itu patut diasingkan ((dikhaskan)) bagi orang-orang Melayu tetapi ia menyatakan yang orang Cina itu lebih pandai dan mengerti membuka tanah-tanah yang luas secara aturan yang moden. Ia percaya yang orang-orang Melayu akan dipakai buat membuka tanah itu. Negeri Perak akan mendapat faedah daripada wang yang akan terpakai dalam negeri itu tidak diberikan wang itu keluar kepada negeri lain buat membeli beras.

Yang Maha Mulia Sultan telah menyatakan apabila ditimbangkannya hal makanan dalam negeri ini, sangat berat dan semua bangsa dalam negeri ini makan beras. Ia bersetuju mengeluarkan tanah-tanah yang luas bagi bertanam padi dengan syarat kerja-kerja di tanah itu diberikan kepada Melayu dan jua dengan syarat tanah itu tidak diberikan selama-lamanya.

Yang Berhormat Tuan British Resident Perak berkata sangat perlu diberikan tanah-tanah yang tiada boleh dibuka oleh anak-anak Melayu itu kepada orang-orang yang tiada bermodal membuka sawah bendang dengan menggunakan peraturan yang moden, iaitu apabila telah diasingkan tanah-tanah yang cukup bagi anak-anak negeri. Keputusan Mesyuarat itu lebih ramai membenarkan permintaan itu buat selama 50 tahun.

((Kita penuh harap anak-anak Melayu akan dipakai membuat pekerjaan sawah itu supaya mereka itu tahu bagaimana peraturan yang dikatakan moden itu. Jikalau Melayu tidak dapat bekerja di situ, kita percaya tanah bendang bukit itu tidak akan dibenarkan dibuka dan janganlah kiranya oleh kerana niat hendak memakai bangsa asing itu dikatakan Melayu tidak layak! Pengarang)).

Sahutan kritik atas Federal Council.

Dalam Mesyuarat Federal Council yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 19 haribulan Januari yang lalu, beberapa undang-undang telah diluluskan termasuk sekali undang-undang fasal hendak memberi pertolongan kepada orang-orang yang bertanah kecil supaya jangan dilelong tanahnya oleh Chetty dan jua undang-undang memberhentikan rumah-rumah persundalan di negeri-negeri Melayu.

Buat menyokong undang-undang yang pertama itu, Yang Berhormat Tuan British Resident Perak telah bercakap dengan panjang dan dalam ucapan itu telah berkata bahwa undang-undang itu telah disyorkan oleh Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan syor itu mula-mula terbitnya daripada Yang Maha Mulia Sultan Perak. Hal itu katanya telah dimesyuaratkan dalam Majlis Mesyuarat Negeri Perak dan ia telah dititahkan oleh Yang Maha Mulia itu supaya menyatakan fikiran kerajaan negerinya.

Yang Berhormat Tuan British Resident Selangor pula masa menyokong undang-undang memberhentikan rumah persundalan itu telah berkata yang negeri-negeri itu ialah negeri Islam. Ia telah dititahkan oleh Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyatakan bahwa Yang Maha Mulia itu memikirkan rumah-rumah persundalan itu seperti suatu kecemaran kepada negerinya dan tidak patut dibenarkan oleh kerajaan.

Akhbar Malay Mail telah menyatakan perbahasan seperti yang dijalankan dalam Majlis Mesyuarat seperti itu nama-nama Yang Maha Mulia Sultan itu tidak patut disebutkan kerana katanya dalam perbahasan seperti di dalam House of Commons di England, nama Yang Maha Mulia King itu tidak pernah ditarik di dalam perbahasan.

Ia memikirkan Yang Maha Mulia Sultan-Sultan itu patut difikirkan seperti Yang Maha Mulia King jua dalam perkara-perkara bahas, iaitu King tiada boleh berat sebelah.

Akhbar Malayan Tribune Singapura telah menyahut pula menyokong fikiran, "Malay Mail", itu dengan katanya, tiada patut nama Yang Maha Mulia Sultan-Sultan itu dibawa ke dalam perbahasan, iaitu menjadikan ahli-ahli Mesyuarat yang bukan jawatan itu ((yang jangkanya boleh melawan fikiran itu)) seolah-olah kurang mengendahkan fikiran Yang Maha Mulia Sultan-Sultan itu.

Katanya lagi, wakil-wakil Melayu yang bukan jawatan itu telah dilantik semata-mata dengan tujuan mengeluakan fikiran orang-orang Melayu dan barangkali tidak jadi mengapa jikalau Yang Maha Mulia Sultan-Sultan itu memberi fikirannya dengan sulit sungguh pun kebetulan yang demikian itu boleh jua dipertengkarkan.

Menyalahi Peraturan?

Kita cenderung mengatakan yang demikian harus membawa kepada menyalahi peraturan: kata Malayan Tribune: peraturan yang mana Raja-Raja yang mulia itu telah bersetuju menerima nasihat-nasihat pegawai-pegawai British melainkan dalam perkara ugama.

Sebagaimanapun yang demikian itu kurang molek kata akhbar itu.

((Kita sebagai umat Melayu tentulah bersetuju mengatakan tidak molek sekiranya fikiran Yang Maha Mulia Sultan-Sultan itu terbuka bagi perbahasan Ahli Mesyuarat yang bukan jawatan tetapi umat Melayu tentulah lebih suka sekiranya perkataan Yang Maha Mulia Sultan-Sultan itu dijadikan titah yang wajib ditaati. Pengarang)).