Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 28 Feb 1931, p.6

Editorial.

Kebahagian Melayu Pulau Pinang.

Dari suatu punca yang harus dipercayai, kita mendapat khabar bahwa mulai dari bulan mac yang akan datang ini, kelas Inggeris ((cawangan pelajaran Inggeris)) akan dilanjutkan di dalam setengah-setengah sekolah Melayu di bandar ini di dalam masa sebelah petangnya dari pukul tiga ke pukul empat, khas untuk anak-anak Melayu yang masih belajar di dalam sekolah Melayu itu.

Setengah dari sekolah-sekolah yang akan berbahagia itu ialah sekolah-sekolah Chowrasta, Macalister Road, Jelutong, dan lain-lain lagi yang telah tetap akan didatangkan baginya guru-guru dari sekolah Inggeris atas perbelanjaan kerajaan sedang pelajaran itu akan diberi percuma pula.

Umat Melayu, khususnya Melayu bandar ini yang sememang dahaga kepada pelajaran, tentulah akan menyusun jari mengucap syukur kepada limpah kurnia kerajaan yang tidak ternilai itu. Tetapi apakah yang barang kali tidak akan menyenangkan kebanyakan hati Melayu itu ialah sekatan atau ketetapan umur yang akan dijalankan di dalam tiap-tiap sekolah itu, iaitu jika benar perkhabaran yang kita terima yang mengatakan bahwa anak-anak yang akan diberi peluang menuntut di dalam cawangan ini ialah anak-anak yang telah lalu Darjah Tiga atau sedang di dalam Darjah Empat dengan syarat hendaklah anak-anak itu berumur tak lebih dari 10 tahun.

Yang demikian itu tentulah akan tersisih padanya anak-anak yang berumur lebih daripada jangka yang dihadkan dan tak dapat tiada akan dipandang oleh setengah-setengah Melayu sebagai wujud padanya sekatan yang boleh jadi kelak berlaku di dalamnya seakan-akan ada beranak isteri dan beranak kandung -- jelasnya bahagian pelajaran ini seakan-akan tidak terbuka kepada umum.

Kita tak dapat mengatakan adakah adanya cawangan pelajaran ini sekadar akan menjadikan dia suatu percubaan sahaja yang akan diberhentikan kelak dengan kepotongan "tak jaya" atau "tak boleh maju"?

Tetapi kita percaya bahwa umat Melayu pada zaman ini berharap kepadanya dengan suatu pengharapan yang tak dapat diartikan dengan kalam dan lidah yang mana kita berani berkata bahwa umat Melayu seumumnya berharap cawangan itu berkekalan dan berubah dari suatu darjah ke suatu darjah hingga dapat mencapai darjah yang dikehendaki zaman.

Cita-cita atau niat bangsa ini bukan sahaja termeterai di dalam hati tiap-tiap bapa yang mempunyai anak yang termasuk di dalam umur yang dibenarkan, tetapi tak syak lagi mestilah melangkah perasaan itu ke dalam hati tiap-tiap siapa yang mempunyai anak yang terkeluar dari lingkungan umur yang dihadkan itu dan pihak bapa-bapa yang akhir inilah yang kelak akan mengidap musykil atau jauh hati kerana anak-anak mereka terkecuali.

Sekiranya cawangan ini akan dikekalkan dan bukannya sahaja bagi suatu masa yang singkat dan meski sekian umur itu berkemuslihatan bagi ibu bapa supaya ingat menyegerakan menghantar anaknya ke sekolah.

Tetapi rasanya tidaklah begitu pantas jika peraturan sekatan umur itu dijalankan dengan serta merta sahaja.

Maka apa yang patut kita berkata inilah memberi peluang umum kepada kanak-kanak Melayu tidak dikecualikan umurnya asal jangan melebihi sangat. Katalah di dalam masa tiga atau empat tahun di belakang hingga kaum bapa ini mengerti dan sedar akan kewajipannya mesti menghantar anaknya di dalam masa umur yang tertentu supaya jangan terkecuali anaknya dari utusan had. Kemudian daripada masa yang patut bolehlah peraturan itu dijalankan dengan tidak berkecuali.

Kita berkata sekali lagi sekiranya peraturan itu dijalankan dengan serta merta sahaja, pada masa ini nescaya tidaklah begitu insaf menjatuhkan hukum ke atas anak-anak yang malang itu sekadar kerana kesalahan bapanya lalai menghantarnya ke sekolah.

Pada fikiran dan sangka-sangka kita, bukan kelak kurang insaf sahaja, tetapi ialah jua boleh jadi sangat sedikit yang akan dijadikan murid di dalam cawangan pelajaran Inggeris yang dicadangkan itu.