Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 28 Feb 1931, p.6

Local News.

Orang-orang Melayu Zaman Ini.

Sambungan Saudara 123.

Kita telah jemu sekali mendengar ejekan iaitu orang-orang Melayu itu malas. Kita telah ketahui dan ada ketahui, akan tetapi kita tiada hendak hal itu senantiasa diingatkan kepada kita.

Kita ada mencuba dan akan menceraikan diri kita daripada tabiat itu akan tetapi niat di dalam hati kita sahaja tiada boleh mendapatkan pencarian itu, hendaklah kita mendapat pertolongan bekerjasama dan timbang-rasa daripada bangsa-bangsa itu supaya dapatlah kita melihat apa yang ada kepada kita dan apa yang tiada.

Persahabatan dan percampuran di antara kita dan bangsa lain itu akan menjadi dapatlah kita menghapuskan kecelaan itu dan itulah sebabnya saya berfikir iaitu Rotary boleh dan akan berguna di dalam Tanah Melayu.

Saya telah menyebut iaitu orang-orang Melayu zaman ini ada meruntuhkan adat-adat dan fikiran-fikiran lama. Sekarang saya akan menyatakan daripada perhatian saya akan sedikit daripadanya.

Terutama dan pertama sekali adalah perkara pelajaran itu. Habislah masanya di mana bangsa dan kebesaran itu menjadi perkara-perkara yang terbilang. Sekarang kita ada sedar iaitu pelajaran itu sangat-sangat mustahak, dan kita ada mencuba dengan seberapa daya upaya mendapati seberapa banyak yang boleh, sungguh pun dengan malangnya ada juga sedikit daripada sahabat-sahabat kita daripada bangsa Cina yang telah berfikir iaitu kita ada dapat terlalu banyak.

Kita ada merobohkan sekatan yang telah melingkungi kaum perempuan kita. Kita ada mengantar mereka itu ke sekolah bila-bila boleh dan seberapa yang boleh diterima oleh sekolah-sekolah Melayu itu.

Ada pula di antara kita yang telah membuat lebih lagi. Kita telah mengambil peluang yang dibuka oleh sekolah-sekolah saudagar supaya mengantar saudara-saudara dan anak-anak perempuan kita mempelajari bahasa Inggeris di sana.

Kita ada memberanikan diri menerima kemarahan dan pandangan yang keji daripada sedikit daripada orang-orang yang seugama dengan kita pada memberi lebih kebebasan kepada kaum perempuan kita itu.

Sekarang ini kita sifatkan mereka itu sahabat kepada kita dan bukannya hamba kita di dalam perkara rumah tangga dan jimat-cermat pun ada ternyata perubahan.

Kita telah sedar iaitu sedikit daripada adat-adat kita itu telah menjadi suatu tanggungan yang berat sekali kepada kita terutama sekali berkenaan dalam nikah kahwin. Terkadang-kadang kita telah ketahui iaitu dengan sebenar-benarnya kita tiada termampu akan tetapi adat itu berkehendak demikian dan dengan suka ria kita telah menanggung perbelanjaan besar-besar dan kemudian kelak menyesal dengan secukup-cukupnya.

Akan tetapi semua hal itu ada berubah sekarang. Kita telah sedar akan kebodohan kita akan tetapi kita tiada mahu jadi bodoh lagi. Ternyata ada suatu suara riuh rendah berkehendakan menghapuskan semua perbelanjaan yang sia-sia itu tujuannya akan membawa kepada istiadat yang lebih senang dan kekurangan sibuk di dalam hal ini saudara-saudara perempuan kita yang telah pergi ke sekolah akan menjadi bantuan yang besar kepada kita; saya percaya fikiran mereka itu akan bersetuju dengan fikiran saudara laki-laki itu.

Orang-orang Melayu berkasih-kasihan dengan bersungguh-sungguh hati akan tetapi orang-orang Melayu zaman ini tiada lagi mempercayai akan ubat guna atau serbuk pawang dan bomoh kita sifatkan seperti orang-orang yang telah habis masanya.

Sekarang ini kita berharap semata-matanya kepada diri kita sendiri dan kesombongan kita.

Demikianlah juga tentang ubat-ubat kita tiada khuatir lagi sekarang ini meminum ubat-ubat cara bangsa Eropah ataupun diubati oleh tabib-tabib yang berakuan kita tahu iaitu seteguk air quinine ada menjadi lebih baik daripada setalam sirih.

Perangai berjimat itu bolehlah dikatakan tiada diketahui oleh datuk nenek kita akan tetapi dari ketibaan persekutuan bekerja-kerja sama itu bahwa orang-orang Melayu zaman sekarang ada mengetahui akan harga berjimat-cermat itu.

Sungguh pun orang-orang bangsa Melayu terlalu kasih sayang kepada anak-anaknya, akan tetapi kita tiada pernah berfikir layak hendak mengadakan untuknya setelah kita mati. Barangkali pula yang sebenarnya ialah kerana keadaan kehidupan kita bersama-sama bersaudara daging itu ada menjadi suatu galangan kepada berjimat-cermat.

Dengan pendapatan lebih pengetahuan kita ada mendapat nafkah yang boleh baik, bukannya pula saya berkata iaitu kita telah dapat setinggi-tinggi nafkah yang boleh; akan tetapi tujuan berboros itu masih ada di dalam darah kita lagi.

Kita masih berkehendak memakai baju yang molek-molek dan mengikut gaji dan perangai orang-orang bangsa asing dengan tidak pula kita mendatangkan tabiat berhemat yang ada kepada bangsa asing itu ke dalam kehidupan kita. Itulah suatu comot yang besar di dalam suatu pandangan yang berharapan.

Pepatah Melayu tua-tua iaitu "biar mati anak jangan mati adat", di dalam sedikit tahan lagi saya percaya akan tertinggal dengan percakapan sahaja dan tiada akan jadi sebenar-benarnya.

Setelah Encik Onn duduk maka Yang Berhormat Doktor H.L. Hops [?] pun bangun mengucapkan terima kasih kepada Encik Onn dan berkata iaitu betullah kata Encik Onn itu iaitu orang-orang Melayu zaman itu bolehlah dikatakan yang diperanakkan di dalam kurun ini atau sedikit terlebih dahulu. Benarlah iaitu orang-orang Melayu telah bercampur di dalam perubahan dunia yang telah berlaku semenjak peperangan besar ia semua mengetahui juga iaitu orang-orang Melayu ada banyak adat-adat yang mendatangkan cacat kepadanya; akan tetapi ada satu adat yang difikirkannya orang-orang Melayu tiada akan hapuskan iaitu taat kepada raja dan ketua-ketuanya dan bolehlah ia berkata lagi kepada Great Britain.

Tentang orang-orang perempuan Melayu pula, maka masa ia di Kedah ia telah dapati iaitu sungguh pun mereka itu tiada berpelajaran akan tetapi mereka ada memerintah di rumah, sebagaimana akan jadinya apabila mereka itu telah dapat pelajaran, maka ia tiadalah tahu. Tampaknya orang-orang Melayu telah terkurang maju daripada bangsa-bangsa lain di dalam negeri itu akan tetapi biar lambat asal selamat katanya!