Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 14 Feb 1931, p.7

Surat Kiriman.

Perangai Yang Umum.

1. Harap saya minta fikirkan di atas anak-anak kita Melayu sekalian; iaitu apa? Pertama, adakah patut bagi tentang pada zaman sekarang iaitu di atas bangsa kita Melayu ini dikeji oleh bangsa yang lain? Pada halnya bangsa kita Melayu inilah yang tinggi sekali ugamanya serta darjatnya dan pangkatnya dan lain-lain juga. Tetapi apakah sebabnya anak-anak kita Melayu pada zaman ini tiada mahu menunjukkan pangkat yang dikata tadi. Melainkan yang tampaknya pada zaman ini anak-anak kita Melayu kebanyakan menunjukkan kaya dia lawa dia dan gaya dia serta pangkat dia lebih daripada yang lain itu. Kepada siapa yang ditunjukkannya itu? Ialah kepada bangsa dia jua muslim-muslim Melayu. Patutnya sama kita Melayu itulah kita mahu tegur dan sapa mana-mana kawan-kawan yang kenal itu.

2. Dan lagi, fasal menunjukkan tanda kita ini bangsa Islam tak usahlah tanda Melayu itu jadi malu pula kepada dia. Apa-apa yang dikata semua tadi? Iaitu pertamanya sekali memakai songkok, jadi boleh dikenal oleh bangsa kita Melayu juga yang baru datang daripada tempat hendak bertanya kepada dia di mana masjid dan lain. Cubalah fikir sendiri pergi berjalan di pekan itu dengan tiada memakai songkok cuma memakai kot dan pantaloon sahaja jadi sudah serupa sahaja Melayu dengan Cina. Tetapi harus juga mahal harga songkok itu daripada kopiah "Henley Hat".

3. Tentang pada masa di dalam bulan ini iaitu bulan Ramadhan, bukankah bulan ini semua kita orang-orang Islam mesti Puasa di dalam hukum kitab, tetapi kebanyakan anak-anak kita Melayu sekarang Puasa di rumah raya di pekan. Apa sebab dikatakan puasa di rumah raya di pekan? Lain daripada pekan Kuala Kangsar iaitu seperti Taiping dan Ipoh dan lain-lain boleh dikatakan banyak anak-anak Melayu makan kopi di pekan merata-rata di belakang kedai kopi itu. Jadi pada fikiran saya tentulah kurang baik dan seperti kita buat sahaja Puasa itu. Selalu bangsa Cina mengenakan seperti kata ini: apa olang Malayu cakap sama kawan-kawan Puasa, tetapi lu pegi pekan makan malakang kadai.

Itu semua bukankah ini merosakkan darjat kita Melayu adanya.

Samnun bin Sameon. Ipoh.