Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 24 Jan 1931, p.1

Leader Article.

Kemajuan Suratkhabar Melayu: Fikiran dan Pemandangan Putera Melayu.

Bahwa menulis saya akan karangan yang berkepala seperti di atas ini bukannya dengan tujuan hendak memecat atau menggalang akan kemajuan akhbar-akhbar bangsa kita melainkan semata-mata dengan tujuan hendak membentangkan pandangan saya yang sedikit di atas kemajuannya. Sesungguhnya suratkhabar-suratkhabar bangsa kita tersangat maju dan bilangannya pun makin sehari semakin bertambah hingga pada dewasa ini. Jika dijumlahkan akhbar yang keluar di bandar Singapura, di Johor, di Negeri Sembilan dan dan lain-lain negeri seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini adalah lebih kurang. Jika saya tiada salah dua puluh buah. Maka di antara yang dua puluh itu ada yang keluar harian, ada yang majalah mingguan dan yang lain itu majalah bulanan. Maka yang telah berhenti daripada keluarannya tiada jua ketinggalan.

Sekarang pada fikiran saya kemajuan sesuatu suratkhabar itu bergantung kepada banyak langganannya, yakni banyak orang yang suka membacanya dan kebanyakan langganan itu bergantung kepada keadaan suratkhabar itu iaitu suratkhabar itu elok kandungannya dan murah harganya.

Tetapi sungguh pun suratkhabar-suratkhabar Melayu begitu maju keluarannya, mengapakah kebanyakan anak-anak Melayu itu tiada suka membacanya? Jika kita periksa dengan halus nescaya kita dapati tak sampai tiga puluh persen di antara anak-anak Melayu tiada pencarian dan tahu membaca dan menulis di dalam bahasanya yang berlangganan dengan suratkhabar bangsanya. Agaknya jika anak-anak kita yang ada daya upaya hendak berlangganan haruslah kemajuan suratkhabar-suratkhabar bangsa kita tiada mahu bertambah dan kesudahannya yang kerap.

Tetapi pada pandangan saya dan di dalam pengetahuan saya bukannya sebab anak-anak kita itu tiada gemar membaca akhbar-akhbar bangsanya dari kerana mereka itu pandai bahasa Inggeris kerana kita dapati anak-anak kita yang tiada tahu bahasa Inggeris pada hal tahu membaca di dalam bahasanya jarang juga yang gemar sahaja dan bukannya juga anak-anak kita itu tiada suka akan kemajuan dan tiada mahu tolong menolong akan bangsanya melainkan adalah sebab-sebab yang lain yang mendatangkan mereka itu tiada gemar membaca akhbar-akhbar bangsanya.

Maka di sinilah baru saya mula membentangkan pandangan saya di atas kemajuan akhbar-akhbar Melayu dan sebab-sebabnya yang menyebabkan bangsa kita tiada suka membaca akhbarnya.

Adapun sebab-sebab suratkhabar Melayu tidak begitu digemari oleh bangsanya apabila kita bandingkan bangsa lain dengan akhbar-akhbarnya ialah kerana suratkhabar-suratkhabar Melayu itu terlalu mahal harganya apabila kita bandingkan dengan suratkhabar-suratkhabar bahasa Inggeris dan lain, misalnya ambillah majalah bulanan Melayu "Majalah Guru" atau lain-lain; bandingkan dengan suatu majalah bulanan bangsa Inggeris, misalnya majalah "Wide World Magazine". Atau lain-lain isi atau kandungan Majalah Guru itu tidak begitu banyak dikata-kata empat kali ganda kurangnya apabila dibandingkan dengan majalah Inggeris itu tetapi harganya dekat-dekat sama.

Sekarang kita bandingkan pula suatu majalah mingguan Melayu dengan suatu majalah mingguan Inggeris, misalnya, "Warta Negeri" dengan suratkhabar mingguan yang bernama "Malayan Saturday Post". Harga satu naskah Warta Negeri itu sepuluh sen dan harga sebuah "Saturday Post" itu dua puluh sen tetapi apabila dibandingkan kandungannya kedua-dua suratkhabar itu nyatalah lebih elok kandungan suratkhabar yang kemudian itu, dan sekarang jika bandingkan pula sesuatu suratkhabar Melayu yang keluar hari-hari dengan sesuatu suratkhabar harian bangsa Inggeris tidak dapat tiada daripada elok kandungannya dan banyak mukanya yakni banyak isinya suratkhabar Inggeris itu terlebih murah daripada suratkhabar Melayu. Oleh itu macam mana pula anak-anak Melayu hendak suka akan suratkhabar-suratkhabar bangsanya? Kerana siapa pula yang hendakkan keuntungan sekarang pada hal mereka itu rugi sekali.

Bandingan ini tentu sahaja tidak sesuai dengan fikiran kebanyakan Melayu yang masih berhati Melayu kerana meski sebenarnya lebih banyak isi suratkhabar-suratkhabar orang Putih itu tetapi hanya penuh dengan hal yang berhubung dengan bukan faedah Melayu.

Suratkhabar-suratkhabar Melayu itu penuh mengandung bahas dan juga akhbar-akhbar yang berkepentingan bagi umat Melayu. Dan di sini patutlah dibanding kepentingan isinya untuk kita dengan kepentingan untuk orang-orang lain dan tidaklah rasanya patut kita adu banyak isinya sahaja ((Pengarang)).

Sebagai lagi kebanyakan suratkhabar-suratkhabar kita itu kandungannya tidak memberi puas hati yang cukup kepada ahli-ahli langganannya kerana isinya tiada lain daripada bahas membahas di antara satu dengan lain berteki-teki dan sebagainya karangan yang disukai oleh .... Dan dibenci oleh orang yang dalam pengetahuan; jika belum lagi kita jumpa suatu suratkhabar Melayu yang berisi dengan karangan yang elok dan senang difaham yang berkenaan dengan ilmu alam, ilmu kesihatan, ilmu perniagaan, ilmu pertukangan, ilmu kejadian binatang dan tumbuhan, ilmu tawarikh, karang mengarang dan sebagainya yang berguna dan mendatangkan faedah kepada bangsa kita yang belum banyak ilmu pengetahuan dan belum ada juga dalam pendapatan saya sesuatu suratkhabar Melayu mengadakan perlawanan karang-mengarang daripada apa perkara jawapan dan mengeluarkan hadiah yang layak kepada siapa karangannya yang menang dan demikian juga memberi hadiah kepada siapa-siapa yang menghantar jenaka yang pelik.

Agaknya jika karangan-karangan yang terkandung di dalam suratkhabar-suratkhabar kita bertukar kepada elok daripada yang seperti sekarang ini nescaya tertariklah mereka itu daripada benci dan datanglah gemar mereka itu membaca suratkhabar bangsanya sendiri. Penerbit-penerbit suratkhabar tentu sekali tidak bersetuju dengan perkataan saya itu, iaitu perkataan saya mengatakan isi suratkhabar-suratkhabar kita kurang elok sehingga mendatangkan gemar bangsa kita kepadanya. Itu sebenar-benarnya tetapi bukan semua suratkhabar-suratkhabar yang terbit di Semenanjung Tanah Melayu isinya tiada elok, misalnya seperti "Majalah Jasa", "Majalah Guru" dan ada dua tiga lagi contoh suratkhabar kita yang kandungannya boleh dikatakan elok.

Maka sebab pun karangan yang terkandung di dalam suratkhabar-suratkhabar kita itu jarang yang elok -- adapun yang dikatakan elok itu bukannya keelokan susun karangan melainkan yang dikatakan elok itu ialah karangan yang berkenaan dengan ilmu-ilmu yang tinggi dan berguna seperti ilmu yang saya sebutkan di atas itu; ialah bukannya dari kerana tiada ahli-ahli pengarang yang pandai dan bukannya tiada di antara kita yang seramai yang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi ialah disebabkan penganjur-penganjur.

Dan penerbit-penerbit suratkhabar itu tidak mengadakan penolong yang di luar-luar negeri yang dibagi komisen atau gaji ((journalist)) seperti yang dibuat oleh penerbit-penerbit suratkhabar bangsa Inggeris dan lain-lain jua kerana apatah gunanya kepada seseorang membuang masa dengan berjaga malam dan mengeringkan minyak lampunya dan menipiskan "Rating Feed"nya dan menghabiskan dakwatnya kerana menulis karangan-karangan kepada suratkhabar-suratkhabar padahal satu sen tak dapat.

Jika penerbit-penerbit suratkhabar-suratkhabar Melayu memberi komisen kepada siapa-siapa yang menghantar karangan yang difikirkan elok tentulah banyak karangan yang elok-elok yang boleh dimuatkan ke dalam akhbar-akhbarnya selain daripada "Perbahasan" antara kaum muda dan kaum tua itu, dan dengan jalan ini boleh anak-anak kita yang tiada dapat apa-apa pekerjaan padahal mereka itu ada kepandaiannya mencari kehidupannya dengan jalan karang-mengarang yakni menjadi ahli penulis ((journalist)). Dan demikian juga jika ada suatu company Melayu yang membeli naskah-naskah kitab atau buku-buku cerita dengan harga yang patut nescaya banyaklah buku-buku Melayu daripada jenis ilmu akan terbit dan yang demikian bahasa kita pun akan bertambah-tambah majulah. Demikianlah adanya.

Ishak bin Haji Muhammad, Penuntut Kuala Kangsar.

Sebenarnya suratkhabar-suratkhabar itu tidak mempunyai pembantu atau penulis di luar negeri dengan bayaran. Tetapi yang demikian itu bukanlah bermakna bahwa suratkhabar-suratkhabar itu tiada mempunyai penulis sama sekali, bahkan sifat keadaan suratkhabar-suratkhabar kita itu bolehlah dikatakan berpadanan dengan keadaan zamannya. Kita harus berharap bahwa zaman kita akan menarik hal kita kepada yang terlebih banyak.

Adapun tentang hal yang berhubung dengan karangan-karangan kita belum berani mengaku bahwa putera bumi kita telah sampai kepada darjah yang boleh mendatangkan harga bagi karangan-karangan mereka itu oleh kesingkatan pemandangan kita sendiri.

Bahkan jika ada satu atau dua, sekalipun karangan-karangannya mengandung bahas atau pelajaran yang tinggi tetapi yang demikian itu pula belum zamannya menjadi makanan untuk pembaca kita. Kerapkali tulisan-tulisan yang berguna itu dicememehkan orang dan tak salah lagi jika dikatakan hanya umpama menaburkan mutiara kepada ayam. Oleh itu tak hairan sekiranya tidak diperoleh pengarang-pengarang yang jempul di antara umat kita ataupun tidak diperoleh syarikat membeli karangan. Pengarang.