Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 24 Jan 1931, p.6

Local News.

Pergerakan Umat Semenanjung. Oh! Marilah Kehadapan Biarlah Dari Selangkah Ke Selangkah

Sambungan Saudara Bilangan 119.

3. Pukul 4 sekalian ahli panggilan itu bermohon diri pergi ke madrasah kerana membayar hutang atau sembahyang Asar, lepas dari sembahyang itu sekalian orang-orang pun balik semula bersedia ke rumah perkahwinan itu, semuanya orang membuat apa yang telah dilazimkan pada ketika duduk.

Pukul empat setengah Yang Mulia Tuan Kadhi Lenggong membacakan ucapan: selamat bagi ahli-ahli yang menghadiri jamuan tiada seperti ini dan berbanyak-banyak puji kepada ibu dan bapak yang menjalankan adat perkahwinan yang ringkas ini yang tidak menaruh bersusah payah yang banyak. Dan suka meninggalkan adat-adat tok nenek yang mendatangkan berbagai-bagai azab sengsara itu dengan menghabiskan wang ringgit kerana membazir sahaja tidak memberi faedah.

4. Pukul 5 diadakan jamuan nasi bagi ahli-ahli panggilan lepas daripada itu maka segala ahli panggilan pun pulanglah ke rumah masing-masing.

Dan dilangsungkan perkahwinan ini pukul lima setengah. Hal nikah kahwin secara ini penulis sangat suka dan perkenan melihatnya kerana tiada mendatangkan bersusah payah menghabiskan hari berminggu-minggu dan tiada membanyakkan belanja; inilah dia yang patut sekali ditiru dan tauladan oleh ibu bapa kaum kita bagi jalan menyenangkan pekerjaan dan menyedikitkan belanjaan dengan tiada payah mengedaikan harta benda, siapakah dia lagi yang akan membuat secara ini ataupun lebih senang dan ringkas daripada ini?

Tetapi sayang sedikit bagi ahli-ahli yang pandai bertindik serta menari dan yang pandai bergitar serta berdendang sayang dan berentak kuda tampaknya mereka itu tidaklah dapat ia hendak beserta dan megah-megahkan kepandaian itu kerana kepandaian yang seperti itu telah dipandang sebagai tidak berguna "tidaklah laku", tersangatlah menyesal mereka itu datang dan lagu-lagu dan kepandaian ini tersangatlah mulia dan masyhur di dalam Kampung Ulu Beranang masa yang belum berapa lama lagi sekarang sudahlah dikebelakangkan "tidak pakai", apakah sebabnya?

Fikiran penulis ialah disebabkan oleh Tuan Pengarang Saudara yang telah bertalu-talu mengeluarkan nasihat di dalam khabar Saudara yang lalu buat menerangi jalan bagi kaumnya yang Muslimin di dalam seluruh alam ini; dan jua telah mendapat pengajaran daripada Tuan Haji Muhammad Khatib yang telah bersedia mengajar di dalam Kampung Lenggong dan Ulu Beranang. Oleh sebab itu berbanyak-banyak puji pada Tuan Pengarang Saudara dan terima kasih banyak-banyak kepada Tuan Haji Muhammad Khatib yang berapa tenaganya menjalankan kewajipannya buat mengajar kami sekalian di dalam Kampung Ulu Beranang. Dapatlah kami melanjutkan pemandangan memilih di antara baik daripada yang tak baik dan dapatlah kami meninggalkan segala pekerjaan yang diperdapat daripada tok nenek moyang yang melawan bagi kehendak ugama Islam.

Was-salam pada Tuan Pengarang Saudara kerana ruangannya.

Penulis:

Muhammad Safar, Ulu Beranang.