Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Jul 1931, p.7

General Article.

Layakkah Melayu?

Bahwa pada malam Isnin 18 haribulan Jun 1931, ini telah terjadi bertikam tumbuk dan luka sebelah-menyembelah di antara dua orang perempuan Melayu kerana berebut batang tubuh Tok Pek ((Cina)) ialah di tempat yang diketahui oleh semua ahli-ahli bandar Kota Baru iaitu di Lorong Encik Su, Lorong Kabur, Ha!

Dari zaman berzaman lagi belumlah pernah kita mendengar kejadian yang demikian ((luarbiasanya)).

Setahu kita bahwa ketua-ketua ugama kita ((Melayu Islam)) sangat menyelidiki dan mengambil berat di dalam perkara perempuan-perempuan sundal itu sehingga diadakannya beberapa pegawai-pegawai bagi menangkap segala kelawar-kelawar itu dan diberinya gaji serta allowance bulan-bulan kepada mereka itu, tetapi sebelum terjadi atau berlaku hal-hal yang demikian itu mengapa tidak ditangkap?

Padahal rimpitan-rimpitan orang berkenaan dengan perkara kejadian kelawar-kelawar jahanam itu tidaklah tersembunyi di pengetahuan penangkap-penangkap itu dan apakah pula tujuannya yang penangkap-penangkap itu menjaga dan mengendap-endap di serata simpang dan di segenap rumah-rumah, berek-berek kediaman kelawar-kelawar jahanam itu?

Padahal ingin penangkap itu pada menangkap kelawar-kelawar yang sedang bermain dengan bangsa-bangsa asing seperti Cina, Jaffna, sayang-boyang! Tetapi kalau sama kita ((Melayu)) jika bercakap-cakap di tengah jalan pun ditangkapnya dan diadunya dengan macam-macam aduan sehingga didenda atau dijel?

Senampak kita bahwa penangkap-penangkap itu telah memakan serbuk kopi bangsa-bangsa asing agaknya, oleh sebab itu engganlah penangkap-penangkap itu hendak mengambil ganggu di atas apa-apa kejadian yang berlaku di antara bangsa asing dengan bangsanya sendiri.

Kita selalu mendengar rimpitan-rimpitan orang di atas kebengisan bangsa-bangsa Cina di sini ((Kelantan)) di dalam hal kelawar-kelawar jahanam itu, bahkan kita sendiri pun pernah juga mendengarnya dan dikatanya demikian: gua banyak suka bermain dengan orang Melayu dan orang perempuan Melayu pun banyak suka sama bangsa gua!

Ha! Beginikah kita seorang yang berkuasa? Memberi peluang kepada orang-orang apatah lagi bangsa-bangsa Cina, Jaffna itu? Dan beginikah ketua-ketua agama itu memberi perintah kepada pegawai-pegawai yang di bawah jagaannya?

Kita percaya dan berani berkata: bahwa kebengisan bangsa-bangsa Cina bermain dengan perempuan Melayu itu disokong oleh segala penangkap-penangkap ialah kerana .... Masuk poket!

Dan jua percaya benar-benar kita yang boleh jadi bersatu atau berkendak di antara perempuan-perempuan baruah daripada bangsa Melayu juga jika tidak bagaimana boleh berhampir perempuan dengan laki-laki, tambahan pula bangsa-bangsa asing, seperti Cina Jaffna itu? Kita mengetahui benar-benar bahwa di dalam bandar Kota Baru sekarang sangatlah banyak bilangannya, jika dihitung satu-satunya yang jadi berukar-baruah kelawar-kelawar jahanam itu kepada bangsa-bangsa asing, iaitu daripada anak-anak bandar, laki-laki perempuan, tua, muda, bukanlah daripada orang-orang darat sahaja.

Ya tak ya lagi, bini menjadi baruah tolong kira kepada bangsa-bangsa asing itu kerana pendapatan hadiah ((commissionnya)) sangat lebih bezanya daripada orang-orang Melayu iaitu dapat sebelah-menyebelah. Maka bagaimanakah penangkap-penangkap itu tidak menangkap?

Padahal perkara bukan sulit? Jika tidak penangkap-penangkap itu telah memakan serbuk!

Kita dengan harapan yang besar bahwa sayogianyalah bagi ketua-ketua agama ((ketua bagi penangkap-penangkap itu)) mengadakan seorang pembesar yang khas bagi menjaga penangkap-penangkap itu bagaimana dan apakah perjalanannya yang boleh jadi berkacau-bilau demikian itu. Tetapi jangan pula diberi jawatan pembesar itu kepada yang bukan-bukan ((seperti penangkap-penangkap yang telah ada)), mudah-mudahan tidaklah berlaku sangat kejadian yang luar biasanya itu.

Had inilah sahaja kita berharap dan merebahkan kalam dengan memohon beribu-ribu maaf daripada pembaca-pembaca yang bijaksana dan mengucap dengan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan Pengarang Saudara kerana ruangannya. Was-salam adanya.

Anak Watan.