Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 25 Jul 1931, p.6

Editorial.

Peranakan Arab Dengan Settlement Melayu di Singapura.

Adalah bangsa keturunan seseorang itu ialah suatu daripada sifat yang muqaddis, artinya seperti yang maha suci, bagi seseorang tiada dapat dijual atau dibeli dan tiada dapat disobat buang dengan apa jalan jua pun, kerana ialah suatu daripada sifat yang dikehendaki oleh Allah di dalam azalinya bagi kejadian tiap-tiap seseorang daripada hambanya.

Maka dengan sebab ini sangatlah hairan di dalam hati kita mendengar perkhabaran di dalam Singapura ada konon peranakan Arab yang hasad dengki akan bangsa Melayu mendapat settlement itu. Maka mereka hendak membuang bangsanya masuk mengaku akan dirinya bangsa Melayu.

Ajaib! Siapakah-siapakah orang yang anak bapanya ini mencita-cita kehendak yang demikian ini? Hairan! Hairan! Hairan!!

Bukanlah sekali-kali hairan kita yang demikian ini menghinakan bangsa Melayu, sekali-kali tidak! Kerana kita ini demikian juga sekalian peranakan Arab telah menjadi kaum Melayu dengan tidak payah membuang bangsanya lagi, oleh sebab peranakan Arab ini kebanyakannya telah masuk 76 persen atau 50 persen darah Melayu di dalam badannya dan mereka itu Melayu, diperanakkan di dalam Tanah Melayu, memakan khairat Tanah Melayu, menerima beberapa banyak kebajikan Melayu yang wajib mereka itu membuang nyawa kerana muslihat Melayu selain daripada kerana persaudaraan Islam yang telah dipersaudarakan oleh Tuhan di dalam agamanya.

Tetapi sampai hendak membuang bangsa yang asli sebab berkehendak secebis tanah yang ditentukan oleh kerajaan khasnya di Singapura sahaja bagi peranakan Jawa, Boyan, dan yang lainnya yang diakui oleh setengah daripada orang yang menjadi ketuanya bangsa Melayu konon, tidaklah patut sekali-kali kerana bangsa keturunan yang telah ditetapkan oleh Tuan Pengarang Warta Malaya ialah menurut keturunan sebelah bapa sahaja.

Tidak apa kita peranakan Arab ini tiada mempunyai hak boleh mendapat tanah settlement Melayu yang di dalam Singapura itu, tetapi memadailah bagi kita ada mempunyai hak boleh mendapat sama dengan saudara-saudara kita di luar daripada kawasan Singapura di mana-mana ada tanah yang dinamakan Malay Reserve shingga ke Pulau Pinang dengan tidak payah kita membuang bangsa kita yang asli.

Kita sekalian peranakan Arab sekali-kali tiada menaruh dengki hasad apa-apa juga kelebihan yang didapati oleh sekalian saudara-saudara kita bangsa Melayu ini, hanyalah kita merasa tiap-tiap suatu kelebihan yang didapati oleh kaum kita yang dikasihi ini kemegahan bagi kita juga, kerana kita tidak dapat bercerai dengan mereka itu jikalau pun mereka itu menolak dan membuang kita daripada perhimpunan bangsanya.

Satu sahaja dengan dukacita di hati kita memikirkan sehingga masa ini belum kita dapat keputusan atau ketetapan yang mana betulnya, iaitu pencarian yang baru ini diadakan dengan mengasingkan perkumpulan bangsa Melayu daripada sekalian saudaranya peranakan muslimin Arabnya dan lainnya juga atau pun katalah mengasingkan bangsa Melayu ini daripada perhimpunan tali perikatan persaudaraan Islam ini, sebelah pihak manakah yang rugi?

Apa muslimin yang ramai dan peranakan lain-lain bangsakah ataupun bangsa Melayu?

Kita percaya sekalian ahli-ahli akal daripada bangsa Melayu ini tidak boleh terlintas di dalam hatinya sekalian bahwa peranakan Tanah Melayu ini hendak merebut atau ada berniat hendak menjadi President Republic of Malaya atau King of Malaya, jikalau Tanah Melayu ini mendapat kebebasannya kelak daripada kerajaan Inggeris dengan usaha kebijakan anak-anak bangsa Melayu yang akan datang! Tetapi hanyalah yang boleh dipercayai oleh mereka itu sekalian putera buminya kelak bersemuka kerana dengan pendapatan mereka itu dan bermegah-megah dengan kebijakan dan kelayakan kaum dan saudaranya sahaja.