Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 27 Jun 1931, p.7

General Article.

Hak Kaum Melayu.

Di dalam suratkhabar Malayan Tribune Singapura yang bertarikh 18 Jun ada tertulis suatu rencana menjawab karangan Malayan Chinese yang telah terbit di dalam akhbar itu juga pada 2 haribulan Jun.

Malayan Chinese telah menerangkan bagaimana orang-orang Cina peranakan Tanah Melayu ini beroleh hak meminta daripada kerajaan pangkat-pangkat Civil Service yang diberi oleh kerajaan kepada anak-anak bangsa Melayu sekarang ini.

Rencana bertarikh 18 Jun yang menjawab karangan Malayan Chinese itu kita salinkan di sini setengah daripadanya dahulu, demikian bunyinya:

Saya tiada bersetuju dengan fikiran Malayan Chinese di atas perkara membuka pintu Civil Service kepada anak-anak bangsa Cina. Barangkali patut saya memberi sedikit keterangan bagaimana raja-raja Melayu yang telah dengan suka hati mereka itu meminta kerajaan Inggeris membantu mereka itu di dalam perkara mengawal negeri-negeri Melayu ini.

Oleh sebab terlalu banyak bencana daripada luar negeri raja-raja Melayu telah membuat perjanjian dengan kerajaan Inggeris supaya kerajaan Inggeris boleh menetapkan keamanan di dalam Tanah Melayu, dan di dalam perjanjian itu ada tersebut darihal kewajipan kerajaan Inggeris kepada kaum Melayu iaitu hendaklah kerajaan Inggeris peliharakan bangsa Melayu ini. Maka itulah sebabnya diperbuat oleh kerajaan Inggeris beberapa undang-undang supaya lain-lain bangsa tiada dapat masuk ke dalam Civil Service bukannya kerana hasad dengki kerajaan Inggeris, hanyalah kerana hendak mengikut perjanjian dengan raja-raja Melayu.

Maka dengan maksud itu juga, yang pulau-pulau Selat seperti Singapura dan Pulau Pinang itu dijual kepada kerajaan Inggeris.

((Saudara)) artinya jual beli di sini agaknya ialah jual beli kekuasaan raja yang memerintah bukannya jual beli hak kepunyaan umat Melayu yang semula jadi bagi watannya; kerana hak kepunyaan umat itu tidak boleh dijual dan tidak boleh dibeli sebab ialah hak yang maha suci.

Tidak dapat diceraikan dan berkuasa tiap-tiap umat itu mengambil balik haknya bila-bila difikirkannya telah berkuasa dan layak ia menyedari negerinya dan suka ia menjalankan kerja-kerja negerinya itu dengan kekuasaan dan kelayakan perhimpunannya.

Demikianlah yang telah berlaku di dalam tiap-tiap negeri yang telah berpindah kekuasaan raja itu kepada kekuasaan umat yang dikuli oleh segala kerajaan dunia yang bermoden. Dan demikianlah juga tujuan bangsa Cina yang telah membuang rajanya dan berebut-rebut akan kekuasaan itu sehingga masa ini di dalam peperangan sama sendiri. Dan demikianlah juga perjalanan kerajaan Inggeris jikalau pun kerajaannya masih memakai raja juga lagi. ((Pengarang))

Orang-orang Melayu ketahui bahwa Tanah Melayu ini telah menjadi kaya dan makmur dengan perusahaan orang-orang Cina. Akan tetapi orang-orang Cina tiada boleh berkata mereka itu ada hal di dalam Tanah Melayu ini semata-mata kerana Tanah Melayu ini telah menjadi makmur kerana perusahaan mereka itu.

Jikalau diberi kepada mereka itu apa-apa yang diminta itu, patutlah juga diberi kepada ceti-ceti di dalam Tanah Melayu ini sedikit pangkat-pangkat Civil Service itu kerana mereka itu pun berusaha juga meramai dan mengkayakan Tanah Melayu ini.

Malayan Chinese berkata orang-orang Cina telah memberi pinjam beberapa banyak wang kepada kerajaan apabila hendak dibuka jalan keretapi. Ya! Betul benar! Tetapi wang itu semuanya telah dibayar balik dengan bunganya.

Orang-orang Melayu Bumiputera Tanah Melayu ini beroleh hak lebih daripada orang-orang Cina yang datang menumpang di sini kerana wang ((Tanah Melayu ini juga)). Jikalau sekiranya orang-orang Cina akan mendapat segala permintaannya itu, tentulah sekalian kaum Melayu di dalam Semenanjung ini akan bangkit dan bersuara dengan satu suara mendakwa akan kerajaan Inggeris dengan perdakwaan pecah amanah ((Breach of Trust)).