Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Jun 1931, p.8

General Article.

Majulah Tanah Melayu Bercucuk Tanam dan Hidup-Hidupan.

Oleh Penulis Sungai Lalang.

Masa ini beratus rasanya wang ringgit dan terpandang kemajuannya tidak semacam yang telah lalu hingga seorang boleh menghabiskan beringgit-ringgit di dalam sehari tidak tampak yang dibelinya, masa kini tiap-tiap suatu telah berubah.

Lebih-lebih pengkerasan masing-masing telah menilik kepada keperluan yang mesti baginya, bertambah-tambah mewah, maju suburnya, lihatlah bukankah negeri Jepun dahulu tak cukup keperluan negerinya, berkehendakan bantuan beras dari luar?

Sekarang sama-sama kita ketahui yang ia telah menghantarkan kelebihan keperluannya beras ke pulau-pulau Melayu, dan demikian jua negeri Cina tentangan makanan, atau Siam, Annam, India dan Burma.

Berdoalah kita pula kepada Allah mencucuri rahmatnya bertambah-tambah di dalam Semenanjung ini serta hendaknya bertambah-tambah rajin mereka negeri kita berusaha bercucuk-tanam kemauan kebatinan masing-masing khusus mereka yang berhaluan peladang dan pesawah, katalah orang-orang kampung barang yang patut kiranya jangan bercita pertolongan dari luar. Pada hal, kita sendiri boleh menanamnya dan boleh subur dengan sempurnanya.

Selama ini ialah disebabkan atau disebabkannya hati kaya ((sombong hati)). Padahal, keadaan negeri kita miskin tanaman barang-barang makanan oleh kemalasan kita sendiri. Padahal kerajaan kita yang maha adil tidak ketinggalan sesuatu jua buat mengasuh rakyatnya khususnya Melayu, bercucuk tanam-tanaman ((Agriculture Officer)) mengeluar satu majalah khasnya bagi hal bercucuk tanam keperluan yang ditentu sekali oleh kemestian.

Jika kita perhatikan serta dikerjakan dengan anggota kita bertolong-tolongan, misalnya bermuafakat satu-satu kumpulan sepuluh orang bergilir-gilir bekerja umpamanya hari Selasa ke sawah A, dan besok ke sawah Bangsa, maka lusanya ke sawah C, demikianlah berpusing-pusing lepas daripada sawah seseorang kepada sawah seseorang pula, sebarang pekerjaan yang bertentu, sedangkannya bertolong-tolongan tidak terkeluar daripada yang sangat-sangat disuruh Tuhan kita, Quran al-Karim, maksudnya, tertentulah tidak tersembunyi. Oleh orang-orang masa kini pun jua tiap-tiap sebuah rumah Melayu selain daripada orang yang tertentu pekerjaannya seperti kerani dan lainnya.

Bukankah seelok-eloknya berfardhuan buat mencapai keperluan isi rumah daripada barang-barang makanannya yang dia mesti boleh jadi buat jangan berharapkan mesti mengeluarkan jua wang dari koceknya atau peti.

Maka tanamlah lada, cili, bawang, ubi kentang, terung, kelapa, pinang, kekabu-kekabu dan berternak ayam itik atau membuat tebat di mana yang boleh jadi di dalam kawasannya masing-masing; maka semuanya ini tidak berkehendakan modal yang berpuluh ringgit.

Jika difikirkan dalam-dalam dibuat tiap-tiap rumah kampung tak usahlah berkiraan berjual dahulu lepas kewajipan rumah masing-masing pun jadilah!

Apa kata?

Bahwa ini penulis sangat-sangat bergirang hati membaca suratkhabar Saudara bilangan .... Perihal Kampung Dacing di dalam Negeri Sembilan mereka-mereka mendapat padi dari sawahnya beribu-ribu atau tak kurang daripada beratus-ratus gantang pada tahun yang baru lalu! Alhamdulillah, diucapkan tentangan dia telah membanyakkan keperluan isi rumahnya buat beras yang tentu habis dimakan seorang menjelang tahun hadapan waktu menuai lagi diterbitkannya dari tanahnya sendiri.

Maka Melayu-Melayu kampung yang lain di dalam Semenanjung ini apa pula fikiran hendak menantikan beras dari kedai Cina juakah?

Sabar! Sabar! Sabar!

Bukankah memang begini celoteh dalam suratkhabar bukan menurut perumpamaan orang putih: Let courage be proven by deeds not by words.

Setelah penulis percayakan, tetapi adalah pula yang termusykil rasanya nasihat kesilapan Tuan A.B. Dacing Lalu, sebagaimana tercatat di dalam suratkhabar Saudara itu, kepada mereka itu, Dacing itu disuruh menebang pokok-pokok getah buat letak ampang bolehkah?

Dicuitkan begitu besar umurnya lebih 12 tahun dengan dipukul masuk ke dalam tanah, lebih-lebih lagi menebang pokok getah itu bukankah merosakkan namanya kita yang dimaksud hendak menambah kemakmuran negeri kita! Tuan yang berpandangan lebar fikirkanlah yang terjadi sebelum getah selam ((slump)) mereka kait beberapa pokok-pokok durian, macang, mangga, kelapa, kekabu-kekabu, dan lain-lain lagi dan saujana mata memandang sawah kita ((tak jadi)).

Saya juga tidak lupa di dalam kampung yang Tuan huraikan itu berpuluh-puluh telah disaman oleh kerajaan mereka yang meninggalkan sawahnya dan berhati tidak mau menerima perintah penghulunya turun ke sawah.

Mana tahu Tuan! Allah ta`ala kaya sungguh sangat kuasa barangkali boleh jadi mahal getah belakang hari, bukankah penyesalan yang tidak berguna seperti sesalnya yang telah kita rasai kini buat mengenangkan kelapa dan pokok durian kita yang telah ditebang lama itu. Astaghfirullah! Di harap maaf jua sudah jauh benar leretnya kalam saya terkeluar daripada yang dimaksud, maka baliklah pula ke pangkal jalan.

Maka setelah lepas diri kita masing-masing ((pesawah)) buat makanan dengan usaha bertanam serba sedikit dinamakanlah itu orang yang menolong diri ((self-help)).

Maka wang ringgit yang tersebut di atas tadi bolehlah digayakannya buat keperluan lorong lain pula. Adapun bercucuk tanam itu semulia-mulia pekerjaan. Penulis percaya walaupun orang yang beribu-ribu ringgit mesti terjun ke sawah, jika tidak diperolehinya membeli beras takdirnya!

Maka yang tersebut serumpun atau sebatang atau seekar memperbuat tiap-tiap seorang yang berkuasa padanya serata-rata orang kampung di dalam Semenanjung ini bukankah boleh menahan wang ringgit negeri kita mengelungsor ke seberang lautan ((negeri asing)) dan makmurlah negeri kita. Sebagai lagi, dalam mana ada tanah yang dicadangkan oleh kerajaan bagi Melayu mintalah bagi lain pertanaman daripada getah yang telah sedia melaut-laut itu.

Kerajaan terentulah tidak menyekat bahkan berlebih kesukaan lagi asalkan kita mau memulakan dan menghargakan asuhannya itu yang telah kita ketahui memang ((warta perusahaan)) barangkali jua ada kerajaan sediakan tanah khas bagi padang kerbau di mana-mana jajahan patutlah pula kita memakai padang itu peliharalah kerbau jika tak cukup wang pembelinya. Barangkali jika kita pohonkan pertolongan kepada kerajaan berhasil jua permintaan kita, penulis juga belum lupa di dalam negeri Pahang sesudah dihujani oleh bah besar dahulu, setelah kerbau lenyap dihanyutkan oleh bah, kerajaan telah memberi pinjam kepada mereka wang sekadar buat membeli kerbau balik semula.

Dengan jalan memberi balik beransur-ansur, maka kerajaan takkanlah menyuapkan serba-serbi kemelut kita, malahan kitalah memulakan memperbuat pekerjaan. Maka barang mana tak sampai kita mencapaikan sebab kepentingan, barulah patut kita meminta pertolongan kepadanya, kerana tiap-tiap yang datang jika tidak hati-hati, atau sungguh-sungguh, orang yang ditolong alamat kerja itu tidak akan maju, maka percaya sungguh yang anak-anak Melayu boleh buat dijayakan dengan tidak malas lebih-lebih lagi telah ada yang lain dihebohkannya.

Tetapi berdosa besar barangkali pembelanya seperti lembaga-lembaga dan datuk-datuk empat dan datuk dagang lebih-lebih Tuan Penghulu serta alim-alim yang masin lidah yang turut sebarang katanya itu mereka tidak menghiraukan mengajar sama ada dengan lidah atau dengan anggota sekali kepada murid yang dibawahnya pada memperbuat perusahaan.