Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Jun 1931, p.1

Leader Article.

Pergerakan Melayu di Negeri-Negeri Semenanjung Tanah Melayu.

Apabila dikehendaki memperbuat tarikh bagi pergerakan umat Melayu di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu ini, maka setidak-tidaknya dua perkara yang berlaku pada masa akhir ini harus diambil daripada sebab-sebab yang telah memberi kesedaran di atas mereka itu, iaitu:

Pertama: hujah pergaulan am yang mendesak kehidupan ramai yang berlaku oleh keadaan kesukaran musim ini dan,

Kedua: hajat-hajat bangsa asing khusus orang-orang Cina dan Indian yang bermaksud akan menyamakan dirinya sebagaimana anak-anak negeri Melayu yang berhak di atas negerinya sendiri ini.

Sesungguhnya kedua-dua perkara ini bukanlah hal yang patut dipermudah-mudahkan sahaja ataupun yang patut terpikul oleh bahu seseorang atau sesuatu puak daripada umat Melayu itu, kerana bekasnya yang akan terjadi kelak iaitulah mengenai ke atas mengambil bangsa Melayu dan negeri atau kerajaannya sama.

Sebagaimana kita telah maklumi, pada hari ini bahwa kedua-dua sebab itu telah tumbuh di mana-mana dan telah dapat dirasa dan dilihati oleh siapa-siapa yang hendak merasa dan melihatkannya di negeri-negeri Melayu ini. Kita tidak upaya hendak memperkatakan sebab yang pertama itu kerana iaitulah sesuatu hal yang telah umum dirasai oleh seluruh alam dunia pada masa ini, bagaimana kesukaran-kesukaran penghidupan dan pencarian yang telah berlaku itu.

Akan tetapi, "sebab yang kedua" ini tiadalah patut dilakukan dengan begitu sahaja: kerana ia mengenai segenap hak dan kewajipannya umat Melayu yang mereka itu pada hari ini masih ada mempunyai bangsa dan negerinya lagi.

Cuba mari kita selidiki hal-hal yang boleh menumbuhkan sebab itu.

Terutamanya kita dapati perdirian orang-orang Cina dan Indian itu di negeri-negeri Melayu sekarang ini telah teguh dan kuat. Hal ini bukanlah kerana keramaian mereka itu atau kekayaan dan kepandaian yang telah diperolehnya di dalam negeri-negeri ini sendiri, ataupun oleh kerana beberapa perusahaan dan perniagaan-perniagaan telah sama-sama terpegang di tangan mereka-mereka yang tersebut itu sahaja, akan tetapi harus diperhatikan jua kepada yang selapis lagi iaitu bangsa-bangsa yang tersebut telah terlangsung diberi berhak dengan luas memegang beberapa pekerjaan di dalam jawatan-jawatan kerajaan negeri Melayu ini sungguh pun bukan di dalam jawatan-jawatan pemerintahan dan kehakiman negeri, bahkan lain daripada itu di dalam segenap pekerjaan menjadi pegawai atau yang dinamakan kerani-kerani itu bagi jawatan pemerintahan, pelajaran, perbendaharaan, pengawalan, pengadilan dan lain-lain seumpamanya kita dapatilah bangsa-bangsa itu berkuasa dan bekerja dengan jumlah yang terlebih banyak dan besar daripada yang ada sebanyak sedikitnya dipegang oleh anak-anak Melayu sendiri.

Maka daripada itu tumbuhlah benih yang telah menerbitkan buahnya kepada sebab yang tersebut dan sebagaimana adat kelaziman, jika pada hari ini mereka itu jadi pegawai kecil tidak dapat tiada esok atau lusa ia berkehendak atau menunggu akan jadi pegawai-pegawai besar menurut pangkat kenaikannya yang patut. Demikian jualah di atas hak-hak tanah ia berkehendak jua kepada pertambahan dan perluasan lagi daripada yang telah ada dimiliki oleh mereka itu pada hari ini dengan tidak hirau apakah akan menyamai atau melebihi hak-hak anak negeri yang asli sekalipun.

Inilah hal-hal yang telah terpunyai sekarang ini sebagai suara-suara yang terzahir daripada akhbar-akhbar dan majlis-majlis yang dipimpin dan dianjurkan oleh ketua-ketua mereka itu bagaimana yang kita katakan telah memberi kesedaran garangan di atas anak-anak Melayu ini.

Sekarang kita bertanya: adakah kesedaran anak-anak Melayu kita ini boleh menolak akan apa-apa sesuatu bahaya yang akan mengenai di atas hak kaum dan negerinya itu? ... tidak sekali-kali melainkan dengan melakukan ikhtiar dan usahanya jua kepada tiap-tiap jalan yang baik dan sempurna, iaitulah jalan yang diredhai oleh kekuasaan-kekuasaan kerajaannya, bahkan dengan pemimpin dan anjuran ketua-ketuanya jua siapa yang tidak akan terluput daripada dikenai oleh bayang-bayangan atau bahaya-bahaya itu sama pada kemudian kelaknya.

Di Tanah Melayu agaknya tidak terupa kepada akal akan mendapati kaum kita yang boleh diharapkan memimpin dan menganjurkan imannya kepada maksud-maksud kebajikan am bangsa dan negerinya itu, yang berbetulan dengan nama dan mengena atau kewajipannya mereka-mereka yang dikatakan pemimpin atau penganjur kaum, melainkan daripada mereka-mereka yang ada berjawatan di dalam kerajaan itu.

Sungguhlah jua kerajaan telah mengambil daripada bangsa-bangsa asing itu bagi jadi pegawai-pegawai pekerjaannya, ialah disebabkan kerana kekurangan anak-anak Melayu sendiri yang pandai dan bijaksana bagi menjalankan dan mengatur pekerjaan-pekerjaan negeri itu, istimewa pula bagi memimpin dan mengatur pergerakan di atas ikhtiar dan usaha kaumnya pada menuntut dan memelihara hak-hak bangsa dan negerinya mengikut jalan dan hak-hak yang halal, yakni yang diredhai oleh kerajaan itu.

Oleh yang demikian, jika sekiranya berbetulan apa-apa yang kita sangka ini, maka kira-kiranya tiadalah akan upaya anak-anak Melayu itu buat menolak dan menjauhkan sesuatu apa jua bahaya atau kesempitan yang akan menimpa dan mendesak ke atas hak miliknya yang asli, jika tidak dengan perbantuan dan pimpinan anak-anak bangsanya daripada pegawai-pegawai kerajaannya itu, kerana lain daripada yang tersebut tiadalah akan dapat mereka itu bergerak untuk menjalankan sesuatu ikhtiar dan usaha walaupun berhak ia di atasnya, bahkan tertinggal bagaimana hal yang telah lalu, demikianlah jua mereka itu akan mendiamkan dirinya pada hari ini sehingga besok lusa atau masa-masa yang akan datang sampai mereka tiada berhak sesuatu apa di atas negerinya menurut hak-hak yang layak disebut ia berbangsa dengan dia.

Lagi kita berharap: bahwa sangka-sangka itu biarlah tinggal jadi suatu teka-teki belaka, dan yang sebetulnya dengan seberapa segera kita akan melihat di antara pegawai-pegawai kerajaan Melayu yang sememangnya kasih akan bangsa dan kerajaannya itu, patutlah tampil dan maju ke hadapan bagi memimpin dan menganjurkan kaumnya kepada menyempurnakan dan memenuhkan apa-apa hak yang diredhai dan diuntukkan oleh kerajaan di atas mereka itu anak negeri yang asli, sebagaimana sebutan yang berhak mereka itu dipandang dan dipanggilkan: suatu rakyat yang masih mempunyai negeri dan kerajaannya sendiri.