Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 Mar 1931, p.8

Editorial.

Lintasan Fikiran Atas Perjalanan Pelajaran Anak-Anak Melayu di Sekolah-Sekolah Melayu.

Agaknya tentulah telah puas Tuan-Tuan Pembaca membaca perihal perubahan pelajaran anak-anak Melayu di sekolah-sekolah Melayu yang akan ditambah pelajaran Inggeris bagaimana yang tertulis di dalam Saudara dan teguran orang serta perjawapan Tuan Nazir Sekolah dan fikiran Saudara juga.

Oleh sebab perkara ini ialah sesuatu daripada perkara yang patut dikatakan roh kehidupan kaum Melayu ini, maka tidaklah apa agaknya jikalau kita menuliskan lagi apa yang terlintas kepada fikiran kita jikalau pun ada tersangka oleh yang menyangka lintasan fikiran kita ini perkara yang mustahil boleh jadinya, kerana pada iktiqad kita lafaz mustahil tidak ada tersebut lagi di dalam kamus rahmat rahim kerajaan yang maha tinggi ini.

Di dalam sekolah Melayu sekarang ada dua macam tulisan yang mesti dipelajari oleh anak-anak yang di dalamnya, satu pelajaran tulis menulis dan baca membaca tulisan Melayu dan kedua pelajaran tulisan menulis dan baca membaca huruf Rumi di dalam kedua-dua pelajaran ini, jikalau tidak boleh dikatakan masa pelajaran rumi itu terlebih panjang dan banyak, maka tentulah sekali tidak dapat dikatakan ia itu terlebih kurang daripada pelajaran tulis menulis Melayu.

Apa kata! Jikalau kita meminta daripada kerajaan menggantikan pelajaran Rumi itu dengan pelajaran bahasa Inggeris dan tulis menulis bahasanya sekali bukankah boleh didapati oleh anak-anak itu Rumi dan bahasa Inggeris sama sekali?

Barangkali kata oleh orang anak-anak yang kecil-kecil di dalam sekolah-sekolah Melayu itu tiada boleh tertanggung mereka itu belajar dua bahasa di dalam satu masa.

Baiklah! Barangkali adalah juga seakan-akan benar perkataan ini. Maka usahlah kita minta pelajaran bahasa Inggeris ini diajar daripada darjah satu ((1)) kerana anak-anak di dalam darjah-darjah ((1)) ((2)) ini ghalibnya banyak yang kecil, tetapi jikalau dimulakan pelajaran itu daripada darjah tiga dan empat, apakah salahnya pula, mustahil anak-anak yang di dalam dua darjah itu pun tidak tertanggung pelajaran bahasa itu kemudian daripada mereka itu telah berlatih belajar huruf Rumi sekurang-kurangnya dua tahun sudah.

Tinggal lagi ada satu musykil pula! Iaitu payah mendapat guru-guru dan banyak belanja gaji-gaji yang mesti bertambah daripada estimate yang ada sekarang ini.

Adapun musykil yang pertama, iaitu kepayahan mendapat guru-guru itu agaknya jikalau kerajaan berkehendak menjualkan dia maka tentulah boleh dapat peluang besar sekalian anak-anak yang pas peperiksaan Senior dan Junior yang tiada dapat pekerjaan masa sekarang ini beberapa banyak orang yang suka pergi belajar sedikit masa segala faedah-faedah mengajar di Tanjung Malim kemudian daripada diadakan suatu peraturan yang khas di dalamnya dan anak-anak inilah sangat-sangat patut dan layak mengedari sekolah-sekolah Melayu ini dengan memegang pengajaran Inggeris ini di dalam darjah ((3)) dan ((4)) ataupun darjah ((4)) sahaja, kerana kita lihat guru besar sekolah-sekolah Melayu sekarang ini di dalam masa ia memegang kelas anak-anak yang kecil-kecil di dalam darjah satu atau dua itu, maka tiadalah ia meninggalkan kewajipannya dengan sifat ia guru besar yang mengedari sekolah itu.

Adapun musykil yang kedua iaitu banyak belanja lebih daripada estimate yang ada sekarang ini, maka pada fikiran kita jikalau gaji guru besar sekolah Melayu itu berpindah kepada guru-guru besar yang akan diangkat daripada orang yang layak mengajar Inggeris di dalamnya serta ditambah pula dengan gaji yang akan dikeluarkan oleh kerajaan kerana guru-guru yang akan mengajar sebelah petang ini, maka tentulah tidak berapa banyak tambahan yang akan ditambah lagi, jikalau kita campurkan hak kuasa kerajaan dengan kebenaran ugama Islam kerana muslihat anak-anak orang Islam mengambil daripada hasil waktu Islam yang di dalam jagaan Muhammadan Endowment Board itu.

Kita tidak terfikir sekali-kali jikalau ada pun tambahan yang mesti ditambah oleh kerajaan kerana belanja pelajaran anak-anak Melayu ini susah mendapat pas majlis mesyuarat kerajaan kerana banyak member-membernya daripada bangsa Cina yang kerapkali juga membangkit-bankit Melayu ini oleh kesalahan mereka itu mempusakai dan menjadi bangsa tuan punya negeri yang asal kerana kerajaan itu maha kuasa dan maha adil.