Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 May 1931, p.1-2

Leader Article.

Tanah-Tanah Kampung Melayu Boleh Mengeluarkan Berbagai-bagai Hasil Yang Lain Daripada Getah.

Dari semenjak beberapa bulan yang lalu "Saudara" ini telah berturut-turut mengeluarkan fikiran yang mengingatkan anak-anak Melayu pada serata Semenanjung di atas bahaya-bahaya bangsa asing yang lain dari bangsa pemerintah. Dan agaknya tiap-tiap Tuan Pembaca yang bijaksana tentulah telah mengerti betul bagaimana kedudukan bangsa kita Melayu pada masa ini.

Maka sekarang patutlah pula kita mencari-cari jalan dan ikhtiar bagaimana kita boleh menolong dan menjadikan orang-orang Melayu kita yang ramai dalam kampung-kampung itu lebih makmur kehidupannya. Orang-orang kita Melayu itu yang ramai sekali ialah tinggal di kampung-kampung dan ke kampung-kampung mereka itulah kita wajib menghalakan pemandangan kita.

Jika kita ambil pemandangan di atas seluruh Tanah Melayu sekarang ini iaitu pada tentang-tentang bahagiannya yang telah dibuka oleh manusia sahaja ((tolaklah dahulu hutan rimba yang masih luas dan tanah-tanah lombong yang tentu tidak akan tinggal menjadi lombong selama-lamanya)).

Maka tampaklah oleh kita bahwa Tanah Melayu sekarang telah menjadi negeri getah yang masyhur pada seluruh dunia. Barang di mana kita berjalan atau bermotokar ataupun naik keretapi, maka tampaklah oleh kita kebun getah, getah, getah sahaja! Pada serata-rata tempat. Empat puluh tahun dahulu tiada siapa ataupun sedikit sangat bilangannya yang menyangkakan negeri ini boleh menjadi seperti demikian.

Dalam tempoh yang tidak sampai setengah kurun orang-orang sekalian daripada serba bangsa telah menjadi gila oleh getah sahaja dan dengan sebab itu telah lupa mereka itu akan tanam-tanaman yang lain. Sekarang ini pelayaran kehidupan kita di dalam lautan getah telah sampai ke tengah ruangan yang dalam di mana kita boleh dikatakan seperti telah kematian angin pantai harapan di kiri, di kanan, di hadapan dan di belakang tiada sedikit pun ada menunjukkan baiknya. Tidak ada lain yang kelihatan melainkan kaki langit yang hitam yang menderam-deram dengan bahana guruh kedukaan, kebun getah yang bermillion-million ekar yang telah memandikan sekalian orang basah kuyup dengan kemakmuran dan wang ringgit dahulu, sekarang ini telah menjadi terlalu luas sehingga seluruh dunia pun tengah menderita dengan kemunduran perniagaan tiada berdaya lagi nampaknya hendak membeli getah-getah itu dengan harga yang boleh tahan kepada orang-orang yang menanam dan mengeluarkannya.

Sungguh pun orang-orang yang berkebun getah belum mahu menang akan getahnya ((dan barangkali tidak akan menebang pokok-pokok getahnya)) tetapi harus jua kebanyakannya tidak mahu lagi hendak menambah dan meluaskan tanah-tanah getahnya. Pada masa ini tiap-tiap orang ((terutama anak-anak Melayu yang sangat terasa pedih oleh kesusahan kerana kejatuhan harga getah itu)) patut melayangkan pemandangannya kepada perusahaan dan tanam-tanaman yang lain pula.

Meskipun pokok buah-buahan seperti limau, ciku, manggis, langsat, rambutan, durian, mata kucing ((bidara)), pulasan, bacang, nangka, cempedak dan pokok-pokok lain seperti rumbia, buluh, kabung, dan lain-lain itu lebih tua dan berasal mempunyai hak di atas tanahair Semenanjung ini, tetapi sekaliannya itu belumlah dimajukan oleh anak-anak negeri dengan sebetulnya.

Sekalian pokok-pokok itu jikalau adapun di dalam kampung-kampung Melayu hanyalah tumbuh dengan sendirinya iaitu daripada biji-biji atau benih-benih yang terpelanting dan terbuang. Kesudahannya, tumbuhlah ia dengan hal keadaan simpang perintang iaitu ke sana ke mari sebatang terhimpit dan tersepit dicelah satu dengan lain.

Jarang benarlah orang-orang kita Melayu dalam tanah Semenanjung ini yang ada mempunyai di atas tanahnya pokok-pokok yang tersebut ditanam dengan betul dan beratur dengan tujuan supaya mendatangkan hasil dan melapangkan kehidupannya terutama di dalam masa seperti sekarang, pada hal tidak disedarnya sungguh pun kebanyakan pokok-pokok itu pokok tahunan tetapi hasilnya boleh mencukupi sekurang-kurangnya bagi perbelanjaan mereka buat membayar cukai atau membaiki rumahnya.

Cubalah kita gambarkan bagaimana moleknya jikalau segala kampung-kampung Melayu itu dalam masa sepuluh lima belas tahun lagi menjadi "taman pokok-pokok buah-buahan", sebab pokok-pokok itu kebanyakan pokok tahunan dan biasa pula berbuah dengan tiada sekali serampak dalam masing-masing tempat.

Pada fikiran kita harga buahnya ((walau semurah-murahnya sekalipun)) akan boleh mendatangkan kesenangan dan hasil kepada tuannya. Tambahan pula ilmu "science" yang senantiasa diperolehi oleh manusia bagi membaiki kehidupan ramai di dalam dunia ini akan senantiasa bertambah dan boleh jadi barangkali dengan suatu pendapatan baru buah-buahan di Tanah Melayu boleh dapat dijual kepada bahagian-bahagian dunia yang lain seperti menjual getah jua.

Jikalau orang yang berkebun anggur atau limau di negeri-negeri asing boleh dapat menjualkan hasil buah-buahannya kepada negeri kita yang beribu batu jauhnya dari negeri mereka itu tentulah tidak mustahil yang kita pada sesuatu hari ((jika diikhtiarkan)) boleh dapat mengirim rambutan atau ciku atau lain-lain kepada negeri-negeri asing yang jauh pula.

Tetapi tak usahlah kita halakan pemandangan kita sampai begitu jauh dahulu. Bagi sementara ini marilah kita ingatkan hal keadaan dan kesusahan yang meliputi umat Melayu sekarang ini. Sungguh pun hampir-hampir tiap-tiap Orang Melayu di Semenanjung ini ada mempunyai tanah kampung sekurang-kurangnya dua tiga ekar ((jika pukul rata)) jaranglah tanah-tanah mereka itu yang penuh oleh pokok-pokok yang berhasil dan berguna.

Kebanyakan tanah-tanah mereka itu telah berpuluh dan berbelas tahun tinggal menjadi lalang, semak dan belukar. Jikalau tiap-tiap orang daripada Tuan tanah yang tersebut itu ada mempunyai setengah sahaja pun daripada jenis-jenis pokok yang berfaedah itu, iaitu bertanam dengan peraturan molek, bolehlah dikatakan kehidupan mereka itu tidak begitu susah seperti kebanyakan yang semata-mata ada mempunyai getah dan lalang ((dan sedikit sawah padi barangkali)) sekarang ini.

Pendeknya, tidaklah payah mereka hendak membayar cukai tanahnya dan tidak pula terpaksa mereka itu memandangkan anak-anaknya compang-camping dengan kain baju yang buruk dan koyak-koyak. Mereka itu boleh membaikkan atap rumahnya yang bocor daripada pohon buluh dan rumbia yang tumbuh ditanahnya sendiri dan mereka itu boleh pula memelihara ayam itik yang boleh sampai bilangan puluh atau ratus ekar pada tiap-tiap rumah.

Saya menulis ini bukannya daripada agak-agak dan suka-suka sahaja melainkan ialah daripada apa yang sebenarnya yang telah saya lihat berlaku betul, bukannya sahaja di kampung saya tetapi jua pada serata-rata kampung Melayu yang telah saya lalui serata-rata tanah Semenanjung ini.

Hal di Kampung Penulis.

Dalam selama 17 tahun yang lalu, tidaklah penulis tinggal di kampung sendiri oleh kerana mengikutkan pencarian hidup di pekan. Dalam dua atau tiga tahun sekali adalah penulis pulang menziarahi kubur ibu bapa sendiri dan tinggal di kampung itu sehari dua. Dalam masa yang sebegitu pendek dapatlah penulis memerhatikan kehidupan orang-orang kampung yang bukannya semakin bertambah-tambah senang, malahan makin bertambah-tambah susah dan payah. Dan kesusahan itu setengahnya terbitnya daripada kebodohan dan kejahilan mereka itu jua kerana mereka itu tidak tampak akan jalan-jalan wang yang boleh ditimbulkannya daripada tanah ditunggunya.

Dari semenjak penulis ingat iaitu lebih kurang 23 tahun dahulu tanam-tanaman dan isi kampung mereka itu tidaklah bertambah melainkan mahu pula beransur kurang. Jikalau 23 tahun dahulu rumahnya buruk seperti pondok lapuk dengan ayam itiknya yang meranting kurus empat lima ekor dan dengan pokok-pokok buah-buahan yang sebatang dua berdahan sebelah itu, maka sekarang pun lebih kurang begitulah jua, ((terutama di antara orang-orang yang bertanam padi dan tiada berkebun getah)). Jikalau 23 tahun dahulu tiga suku daripada tanahnya penuh dengan lalang, maka sekarang tak usahlah kita hendak melihat pohon rumbia atau buluh atau mengkuang ataupun pokok-pokok lain tumbuh di situ melainkan masih lalang atau belukar sambung dan kenduduk-kenduduk jua lagi. Apabila dua tiga tahun sekali berjumpa oleh mereka itu akan penulis, maka berkerumunlah mereka itu menceritakan kesusahannya dengan muka yang amat sedih dan kasihan kita melihatnya.

Ya susah! Kerana hasil-hasil tanahnya yang dua puluh tahun dahulu tidak bertambah tetapi kehidupan dikepungnya makin sehari makin bertambah sempit oleh sebab telah terbuka jalan raya, kebun-kebun getah, saudagar dan ramai pula orang-orang luar datang berkediaman di kelilingnya. Sungai-sungai dan anak-anak air mereka itu yang dahulunya boleh memberi mereka ikan untuk lauknya telah kosong tiada berikan lagi. Hutan-hutan rimba tempat mereka itu memburu, membuat jerat dan perangkap ataupun tempat mereka itu mencari kayu api atau perkakas rumah telah habis pula terang ditebang dijadikan kebun getah oleh orang putih, Cina dan Melayu.

Jikalau diceritakan kepadanya yang mereka itu mesti membela ayam itik atau hidup-hidupan seperti kambing dan lembu ((hidup-hidupan seperti kerbau, lembu dan lain-lain ini ada disediakan oleh kerajaan tanah hutan yang luas untuk ditebang dijadikan tempat makan binatang!)).

Maka mencuailah mereka dengan berbagai-bagai perkataan yang menunjukkan kita hanya berolok-olok ataupun bermaksud memberi faham kepada mereka atas kesenangan yang mengambil masa beberapa tahun yang dikehendaki oleh mereka itu ialah minta tunjukkan jalan yang boleh menyenangkan dan melapangkan hidupan "sekarang ini jua". Mereka itu tidak tahu bahwa oleh berharapkan "sekarang punya sekarang", dengan tidak memandang lebih jauh ke hadapan, maka telah jadi berpuluh tahun kehidupan mereka itu tinggal begitu, begitu jua dengan tidak berubah sedikit pun.

Mereka itu tidak sedar bahwa kesusahannya sekarang ini disebabkan oleh kejahilannya di atas peredaran masa dan zaman, kita tidak boleh menyalahkan mereka itu dengan sebab lalainya, kerana mereka itu jahil dan tidak tahu apa yang akan berlaku di atas diri mereka itu pada esoknya.

Tunjukkan dan Nasihatkan.

Maka tertanggunglah di atas anak-anak Melayu yang lebih jauh dan puas pemandangan daripada mereka itu menunjukkan jalan kepada mereka kerana seperti kata seorang pegawai Melayu yang tengah belajar ilmu ekonomi, katanya, "kamulah mata bagi bangsa kamu dan kamulah yang mesti memandang ke kiri, ke kanan, ke belakang dan ke hadapan, buat menyelamatkan perjalanan hidup bangsa kamu".

Sekarang ini jika kita pandang ke belakang, maka tampaklah oleh kita akan mayat-mayat bangsa yang telah digelumungi oleh lumpur-lumpur kejahilan. Jika kita paling ke kanan, tampaklah pula oleh kita akan bahaya kepanasan awan-awan kuning yang datang dari negeri Cina. Jika kita toleh ke kiri nampaklah pula awan-awan yang hitam membuak-buak rupanya dari pantai India dan Ceylon. Dan jika kita renung ke hadapan, maka kelihatanlah bukit-bukit dan gunung yang akan didaki, hutan rimba yang akan disusup, dan tunggul semak dan duri yang akan kita tempuh dan lalui.

Pada hal, bilangan kaum yang berharapkan pemandangan mata yang sedikit itu ada berteriak-teriak mengeluh dan mengerun meraba-raba di belakang kita berharapkan pedoman dan haluan daripada kita yang sedikit celik.

Tidak lain lagi daripada jumlah yang dibilangkan celik itu ((iaitulah Tuan-Tuan Pembaca sekalian yang budiman)) wajiblah kita berbahagi-bahagi; yang pandai ugama dan yang menjadi guru serta dihormati di kampung-kampung, mesti menerangkan perjalanan kaumnya dengan pengetahuan ugamanya, yang menjaga sekolah-sekolah seperti guru-guru Melayu dan lainnya mesti mengembangkan cahaya pelajaran dan semangat perusahaan kepada segala bangsanya, yang bekerja dengan tidak jemu-jemu akan faedah jimat cermat dan jalan-jalan menambahkan wang dan harta Melayu dan yang bekerja dengan pejabat tanam-tanaman mesti pula memajukan segala tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan serta hidup-hidupan bukannya sahaja di sekolah-sekolah Melayu atau di Kerian atau di Titi Seberang, tetapi jua pada serata-rata kampung dan tempat Melayu. Selain daripada itu, pegawai-pegawai Melayu yang bekerja dalam jawatan memerintah dengan penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung sekalian wajib menasihatkan segala kaum bangsanya terutama tentang-tentang jalan yang berfaedah yang berkenaan dengan tanah mereka itu penghulu-penghulu. Dan jika boleh ketua-ketua kampung jua patut dihimpunkan dalam masing-masing jajahan; mendengar syarah pegawai-pegawai syarikat dan tanam-tanaman dan jua mendengar nasihat-nasihat daripada pegawai-pegawai seperti District Officer atau penolongnya.

Pengarang-pengarang suratkhabar dan majalah boleh dipercaya akan menjalankan kewajipannya dan bahagiannya yang besar iaitu dengan menyebarkan fikiran-fikiran dan syor-syor yang berguna bagi muslihat bangsa Melayu dan bagi pihak yang berkuasa dan boleh menjalankan peraturan bagi menyampaikan tujuan-tujuan keselamatan kaum itu wajiblah sangat-sangat membaca segala buah-buah fikiran dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah kaumnya serta menimbangkan dengan halus akan apa-apa yang patut dibuatnya.

Bahwa sekalian Raja-Raja dan orang-orang besar Melayu itu tentu sangat kasihnya dan sayangnya akan kaumnya dan negeri tanahairnya. Dan kita percaya bahwa kasihnya yang kuat yang tidak dapat ditukarkan dengan sesuatu jua pun yang lain akan menjadikan mereka itu asyik dan ingin akan kemajuan dan kemakmuran bangsanya Melayu.

Pejabat Tanam-Tanaman.

Kita ketahui bahwa adalah tujuan Pejabat Tanam-Tanaman itu ialah hendak memajukan tanam-tanaman dalam negeri ini dan kita percaya, maka sebab pun pejabat itu dari dahulu hingga sekarang ini banyak memakai pegawai-pegawai Melayu ialah supaya pegawai-pegawai Melayu itu boleh memberi sebesar-besar faedah kepada anak-anak Melayu dan kampung-kampung Melayu.

Sekiranya belum ada di dalam cadangan pejabat itu, maka kita syorkan patutlah sekalian pegawai-pegawai Melayu dalam pejabat tanam-tanaman itu selalu bersyarah dan menasihatkan orang-orang Melayu kampung di masjid atau di tempat-tempat lain iaitu lebih kurang seperti peraturan yang diperbuat oleh pegawai-pegawai syarikat bekerja-kerja sama sekarang ini.

Peraturan yang telah lalu seperti semata-mata melawat kebun memerhatikan penyakit-penyakit pokok serta menghantar notis atau saman kepada orang-orang kampung itu, eloklah ditambah dengan syarah-syarah dan nasihat-nasihat yang boleh memberangsangkan orang-orang kampung itu pada bertanam-tanam dan memenuhi akan tanah-tanahnya yang sesak dengan lalang sekarang ini dengan pokok-pokok buah-buahan atau lainnya.

Kita tidak sekali-kali lupa daripada menerima kasih kepada Tuan J.H. Timpany, Penguasa Tanam-Tanaman sekarang kerana usahanya; sungguh pun baru sahaja Tuan itu datang mentadbirkan pejabat tanam-tanaman di negeri ini, tetapi telah tampaklah banyak perubahan yang akan membawa kepada jalan-jalan kemajuan di atas negeri ini.

Maka diharapkan dengan usaha dan bijak Tuan itu dapatlah ia memikirkan bagaimana jalan-jalannya kampung-kampung Melayu itu boleh dijadikan tempat anak-anak Melayu yang lebih elok dan makmur daripada yang ada sekarang ini.

Kereta bas yang dipunyai oleh pejabat-pejabat syarikat dan tanam-tanaman yang berjalan pada segenap-genap kampung menunjukkan gambar-gambar dan memberi nasihat dan lain-lain itu patut ditambah sekurang-kurangnya sebuah di dalam tiap-tiap satu negeri iaitu lebih kurang mengikut peraturan kereta-kereta ubat yang telah didapati tersangat besar faedahnya itu.

Kerajaan Yang Maha Adil.

Kita percaya sekaliannya itu telah ada di dalam timbangan kerajaan yang sangat-sangat insaf dan adil. Sekalian yang dibahaskan dan difikirkan oleh anak-anak Melayu dengan umum dan kurang terang itu ada dijalankan dengan seberapa boleh oleh kerajaan dengan perbuatan, pejabat kesihatan, pejabat tanam-tanaman, pejabat syarikat, pejabat pelajaran, pejabat pemerintah, sekaliannya ada bekerja dengan sekuat-kuatnya mencari jalan dan melatih anak-anak negeri supaya jadi orang yang sihat, cerdik, makmur dan aman.

Maka terpulanglah kepada anak-anak Melayu sendiri di dalam masa yang akan datang menggunakan peluang-peluang yang diberi oleh kerajaan itu supaya mengelakkan kehidupannya iaitu dengan bekerja dan berikhtiar.

Tuah hidup itu ialah bekerja dan bukannya duduk bergoyang-goyang kaki dengan malas dan bodoh, peraturan yang mana telah menjadikan jahanam nama dan kehidupan sesuatu bangsa di dalam dunia ini.