Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Apr 1932, p.8

Editorial.

Bahasa Melayu.

Tampaknya dalam minggu yang sudah dua tiga suratkhabar Melayu kita ada mengeluarkan fikirannya masing-masing di atas Bahasa Melayu yang sudah kita perbincangkan sekali dua dahulu.

Sesungguhpun kita sudah menulis di atas perkara ini kita suka juga mengulanginya lagi istimewa teman-teman sejawat kita dan penulis-penulis lain sudah mara ke hadapan padanya.

Kita terlebih suka lagi jika beramai-ramai kita mengeluarkan fikiran dan menunjukkan hemah pada perkara yang sangat-sangat mustahak ini bukannya daripada pengarang-pengarang suratkhabar-suratkhabar sahaja bahkan maulah juga daripada penulis-penulis utamanya daripada guru-guru.

Kita percaya banyak daripada pendita-pendita kita berdiam diri dihadapan perjalanan Bahasa Melayu kita sekarang ini tidak mengambil hirau kepada mengeluarkan fikiran padanya, walaupun diketahuinya bahwa di dalam bahasannya itu ada beberapa perkataan yang tidak sesuai dengan pengetahuannya.

Kita harap bahwa orang-orang yang seumpama ini janganlah berpeluk tubuh juga lagi, marilah campur bersama-sama di dalam perbahasan ini, sebab jika beramai-ramai perkara yang susah itu mudah dapatnya.

Tampaknya sekarang fikiran yang terhadap kepada bangsa kita ini dua bahagi.

Pertamanya, yang tidak suka kepada dicampurkan dengan bahasa-bahasa campuran seperti bahasa orang-orang Jawa bercakap Melayu atau orang Arab menjadi Melayu seperti bagaimana yang kita baca pada rencana seorang penulis yang terbit dalam Pengasuh bilangan 545. Maksud penulis itu barangkali ialah bahasa Indonesia.

Keduanya, yang suka menyalah kepada pihak yang suka menambah dan mengutip bahasa-bahasa asing untuk bahasaan pada zaman sekarang tidak dipilih dari Baratkah atau dari Indonesia, asal kalimah-kalimah itu menepati kehendak kita.

Sekianlah baru kita tampak daripada fikiran yang tersiar di dalam akhbar kita. Mudah-mudahan kita akan melihat lagi fikiran-fikiran yang lain atau fikiran-fikiran yang mempersetujui salah-satu daripada dua yang tersebut di atas itu.