Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 30 Apr 1932, p.6

General Article.

Bangsa Melayu.

Maka kata seorang Tuan bangsa Eropah, pengarang akhbar-akhbar negeri-negeri Melayu pada masa ia menjadi Pegawai Jajahan di dalam negeri Perak adalah asal Melayu ini datang dari Indo-China ...

Maka pada pendapatan Tuan itu, boleh jua dikata yang benar kerana ada suatu bangsa Sakai yang diam di dalam rimba di hulu negeri Perak. Tubuhnya besar berlainan nampaknya daripada Sakai-Sakai yang berhamporan dengan kampung-kampung orang-orang Melayu.

Maka oleh sebab perkasanya mereka, takutlah Sakai-Sakai bangsa yang lain itu hampir. Kerana adalah Sakai-Sakai yang hampir dengan tempat-tempat orang di negeri Melayu tidaklah berapa bezanya dengan orang Melayu. Maka bahasa kedua bangsa Sakai itu tidaklah sama, demikian pula adatnya.

Pada suatu masa penulis sudah bertanya kepada seorang Batin Sakai yang diam berhampiran dengan tempat orang-orang Melayu, dari manakah asal mereka datang?

Maka jawab, cerita orang-orang tua dahulu, sima ((saya semua)) datang dari laut pada zaman negeri ini rimba lagi.

Maka di dalam Encyclopaedia of Times karangan Tuan B.A. Sims M.A.L.H.D. adalah gugusan pulau Melayu didapati oleh bangsa Melayu bangsa Papua dan lain-lain.

Maka Bahasa Melayu dan lain dipakai orang dari Madagascar ke Pulau Timor, sebab itu bangsa Melayulah yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu dan setengah daripada pulau-pulau gugusan Melayu yang berhampiran seperti pulau-pulau Riau dan lainnya.

Maka pendapatan Tuan itu boleh sangat dipercayai kerana tentulah sudah diperiksa hal tiap-tiap negeri yang didiami oleh bangsa Melayu itu. Iaitu pohon-pohon kayu rimbanya, binatang-binatangnya, rangka-rangka badan bangsa kita Melayu ini, dan lain-lain. Maka berani ia mengaku Melayu-Melayu itu satu bangsa, seperti Melayu di Afrika Selatan yang sudah putus atau hilang daripada bangsa-bangsa Melayu yang di sebelah sini. Tetapi mereka mengaku jua Melayu, pada hal, setengah mereka itu tidak mengetahui di manakah kampung kedatangan mereka seperti bangsa Tartar yang pindah ke Eropah tidak mengetahui hal ehwal bangsa mereka yang di Asia ini.

Demikian pula anak dan cucu orang-orang bangsa Melayu yang daripada gugusan pulau-pulau Melayu yang ada di merata-rata negeri Semenanjung Tanah Melayu ini. Adapun yang menyebabkan pencurian bangsa-bangsa Melayu itu sehingga tidak mengetahui hal-ehwal masing-masing ialah disebabkan gempa yang telah membahagi-bahagikan tanah yang besar menjadi beberapa pulau-pulau: ugama, percampuran bangsa-bangsa, pindah ke negeri lain menjadikan perubahan adat kelakuan dan bangsa adanya. Was-salam.

Dhiauddin.