Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 23 Jul 1932, p.1

Leader Article.

Nasib Melayu. Melayu Layu -- Bermata Kayu.

Sambungan Saudara Bilangan 223.

Tampaknya payah jadi kalau berharap kepada rakyat-rakyat oleh sebab sekarang rakyat-rakyat bersangatan keputusan makanan di dalam masa ia bekerja membuka tanah hutan belukar semak-semak menjadikan bendang padi di mana dia dapat belanja makan sehari-hari, sementara mendapat faedah pekerjaan yang dikerjakannya itu, bertambah-tambah pula rakyat-rakyat pada masa ini telah menjadi bingung, tidak tentu fikirannya, dan telah menjadi terlebih-lebih pemalas lagi.

Sekiranya kerajaan hendak membuka tanah bendang padi di Semenanjung ini buat mencukupi makanan penduduknya, terpaksalah kerajaan sendiri membuka pekerjaan itu dengan alat-alat perkakas rekaan tukang-tukang yang baru dikeluar memudahkan pekerjaan merombak buat bendang padi ini. Apabila telah jadi bendang padi boleh kerajaan bagi paluh atau sewa kepada rakyat-rakyat atau jual kepada rakyat-rakyat Melayu itu.

Dengan jalan ini tampaknya boleh jadi pekerjaan membuka tanah bendang padi yang dikehendaki ini dengan segera dan sempurnanya pekerjaan membuka bendang padi ini faedahnya banyak:

1. Menyukupi makanan penduduk-penduduk alam Melayu Semenanjung tidak bergantung kefardhuan kehidupan kita kepada negeri lain-lain dan bangsa lain-lain. Sekiranya satu-satu masa tertegah beras negeri lain-lain dibawa masuk kepada negeri kita, kita nanti mati lapar ataupun huru hara besar.

2. Terpelihara wang kita, tidak hanyut keluar negeri kerana membeli beras negeri lain bangsa lain.

3. Mengadakan pekerjaan supaya rakyat-rakyat yang tiada pekerjaan itu boleh membuat kerja mengambil upahan atau gaji menolong rakyat-rakyat lapar kebuluran dalam masa kesusahan wang ini. Mudah-mudahan terpeliharalah daripada kacau bilau rakyat-rakyat yang keluh kesah itu tentang pakaian dan barang-barang pergunaan lain-lain bagi kehidupan kita hendaklah kita berpilih-pilih seboleh-bolehnya kita gunakan barang-barang di negeri kita, sekiranya barang-barang kefardhuan sangat bagi kehidupan kita itu tiada diperusaha di negeri kita pada masa itu, barulah kita gunakan barang-barang datang di luar negeri.

Motokar inilah sangat-sangat dirasa wang kita keluar negeri. Hendaklah kita berjimat-cermat benar-benar pada menggunakan dia sungguh pun motokar itu ada gunanya, tetapi mudharatnya terlebih besar daripada faedahnya, kalau tidak berhemat menggunakannya.

Motokar gunanya merebut masa, sekiranya kalau kita tidak sampai atau sempat dalam masa, dikehendaki kita akan kerugian atau merbahaya, ataupun terlepas keuntungan kita ataupun tidak sempurna pekerjaan kita.

Kalau tidak begitu terlebih baiklah kita berjalan kaki biar lambat asalkan selamat kecermatan kita, kebanyakan kita sekarang penulis tengok naik motokar pergi ke tempat judi sabung, ke tempat permainan kesukaan makan pulut kenduri, makan angin.

Sebab itulah bangsa kita selalu kembung perut.

Kita tidak boleh meniru bangsa yang merdeka yang berkemajuan atau kaum modal. Motokar, minyak motokar, keluar di negerinya diperbuat oleh bangsanya seberapa wang yang mereka belanja menggunakannya motokar, semuanya terpulang kepada bangsanya dan negerinya sendiri!

Satu lagi kesalahan dalam kaum Melayu kita Semenanjung ini tiada yang pandai atau tiada cukup banyak orang yang berpengetahuan doktor-doktor, lawyer-lawyer, engineer-engineer, guru-guru dan ahli-ahli membina bangunan-bangunan ((architect)) dan mengukur tanah-tanah membuat pelan-pelan dan lain-lain ilmu kefardhuan bagi kehidupan kemanusiaan pada zaman dunia kemajuan ini, bersetanding dengan kepandangan bangsa lain-lain menjadikan syarat-syarat melayakkan bangsa kita Melayu maju ke hadapan bersaingan dengan bangsa lain-lain.

Dengan demikian itu, terpaksa menggunakan ((pakai)) bangsa asing. Bila kita pakai bangsa asing wang kita pun terasinglah daripada tanahair kita dihantar atau dibawa ke negerinya. Dari sebab itu wajiblah kita belajar ilmu-ilmu yang berguna pada zaman ini seperti ilmu berniaga dan ilmu ekonomi dan politik. Dan ilmu-ilmu tersebut di atas itu dan lain-lain lagi, supaya boleh menangkiskan kecelakaan yang dideritai oleh bangsa Melayu pada masa ini, serta mengatur susunan percaluran, pergaulan kehidupan bangsa kita Melayu mengikut kemajuan zaman sekarang.

Lain satu lagi kesalahan kita melanggar undang-undang kejadian ilmu yang telah diletakkan oleh Allah subhanahu wa-ta`ala nazam kejadian ilmu keselamatan yang sedikit terkandung dalam keselamatan yang baik! Perbuatan kita terbalik, melawan susunan ketetapan itu, kita bagi pihak rakyat bilangan yang banyak, menyerahkan kewajipan keselamatan diri kita, harta dan hak-hak kita ke seorang.

Bersambung.