Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 26 Mar 1932, p.5

General Article.

Tanggungan Kuli-Kuli Melayu.

Kerajaan Perak telah membuka suatu pencarian bagi Bahasa Melayu bekerja kuli di tanah hutan simpanan di Lata Sengkang, jajahan Kinta, dengan gaji empat puluh lima sen sehari. Maka dengan sebab itu banyaklah orang-orang Melayu yang dari Cemor, Jelapang, Batu Gajah, Gopeng, Kampar, Kota Baru dan lain-lainnya pergi makan gaji ke situ, peraturan belanja-belanja kuli yang bekerja itu jika ia bekerja tiga hari di dalam seminggu, dapatlah ia gaji dua hari, dan jika cukup tujuh hari ia bekerja, dapatlah ia gaji lima hari. Maka adalah yang dikatakan gaji itu bukanlah wang hanya satu resit yang ditandatangani oleh ketua ataupun mandur pekerjaan yang tersebut, kemudian barulah pergi kepada satu kedai bangsa Cina yang telah diuntukkan bagi tempat membeli barang kerana kuli-kuli yang lebih kurang lima batu jauhnya dari tempat duduk kuli-kuli itu.

Syahdan, maka adalah barang-barang di dalam kedai yang telah ditentukan iaitu kedai ransom itu cukuplah serba sedikit macamnya lain daripada sayur-sayur dan cabai-cabai hidup, akan tetapi darihal harganya sangatlah mahal daripada kedai-kedai yang lain yang berkedai di pekan yang tersebut iaitu beras, ikan-ikan masin, gula, rokok-rokok, dan lain-lainnya. Pendek kata, dua atau tiga ransom itu daripada kedai yang berhampiran dengannya.

Di sini tampaknya keberatanlah bagi kuli-kuli itu hendak menyamakan pendapatan gaji yang tersebut dengan pembelian barang-barang yang mahal itu, tambahan pula umpama seorang kuli mendapat satu resit belanja yang berharga seringgit, maka dibelinya barang-barang di kedai ransom yang berharga lapan puluh sen, kerana hendak membeli barang-barang yang lain yang tiada pada kedai itu, maka wang yang baki itupun tidak dikembalikan oleh yang empunya kedai itu dengan duit, hanya satu resit juga yang ditandatangani olehnya, tujuannya supaya dibeli barang-barang di kedainya juga kerana resitnya tidak laku kepada lain-lain kedai. Oleh itu tidaklah dapat kuli yang malang ini jikalau umpama mengidam sekalipun hendak memakan selain daripada barang makanan yang sedia di kedai bertuah itu.

Inilah dia macamnya tanggungan kuli-kuli Melayu yang bekerja di tempat yang tersebut. Oleh yang demikian diharaplan kepada yang berkuasa menyiasat dan memikirkan di atas hal ini mudah-mudahan dapatlah kiranya mereka itu keringanan sedikit sementelah pula pada bulan yang akan datang ini gaji pun diturunkan lagi kepada empat puluh sen, had inilah ditamatkan tulisan yang buruk ini dengan meminta maaf kepada pembaca-pembaca dan terima kasih kepada Pengarang.

Wa-salam.

H.M.