Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 May 1932, p.1

Leader Article.

Apakah Yang Mesti Diperbuatkan Oleh Anak-anak Melayu.

Oleh Hamidon.

Sambungan Saudara Bilangan 201.

Galakkan bekerja dan berpenat lelah pada masa muda; kerana itulah perbendaharaan yang amat-amat berguna ((bacalah cerita Napoleon Bonaparte!)), jangan sekali-kali Tuan-Tuan mula menggalakkan senang dan membela kemalasan pada masa Tuan-Tuan sedang muda ini, kerana yang demikian itu ialah kerugiaan bagi diri Tuan kepada bangsa Tuan kepada watan Tuan dan kepada agama Tuan. Kemajuan dan kemunduran bangsa Melayu itu tertanggung di atas batang leher Tuan-Tuan lalai dengan kemalasan, ertinya terlukup! Rajin maknanya maju!

Ingat! Jangan kita ditempelakkan oleh anak-anak kita yang akan datang. Ingat! Pohon tualang itu terhimpun daripada biji-biji yang kecil. Begitu juga jikalau sungguh-sungguh Tuan-Tuan sayangkan nama, sayangkan bangsa, sayangkan watan, syukur kepada Allah, oleh sebab kesusahan ini!

Jikalau tiada disebabkan oleh kesusahan ini umat Melayu harus penat ataupun sekaliannya turun temurun mesti jadi abdi bergaji kepada bangsa-bangsa dagang. Kepada Tuan-Tuanlah tergantung kemajuan bangsa, kepada Tuan-Tuanlah tergantung kehidupan bangsa, kepada Tuan-Tuanlah tergantung kemasyhuran bangsa, kepada Tuan-Tuan tergantunglah kejatuhan kehinaan kepapaan kebimbangan bangsa.

Sekiranya jatuh bangsa Melayu ke bawah lagi daripada keadaan sekarang ini, Tuan-Tuanlah umat yang menjatuhkannya. Ingat amanah atau cucu Tuan yang belum zahir lagi. Sediakan bekalan bagi mereka itu, sediakan pelajaran bagi mereka itu, kelalaian Tuan hari ini akan menzahirkan bangsa Melayu yang menjadi abdi tiada bertebus!! Sedar silalah!!! Sinsingkan tangan baju Tuan-Tuan! Ikatkan kain di pinggang Tuan! Bekerjalah bersungguh-sungguh! Inilah umat kaum Melayu yang pertama yang tiada boleh diharapkan doktor luar mengubatinya, melainkan seperti mana perkataan Nabi Allah Isa di dalam Gospel St. Luke, "Physician, Heal Thyself!" -- Dukun, Ubat Sendirimu!

Bangsa yang hidup makan gaji itu tiada sekali-kali boleh menebus bangsanya dan watannya dan jikalau sekalian bangsa Melayu ini hidup dengan makan gaji, bukan namanya bangsa Melayu bertamadun, tetapi ialah bangsa Melayu diabdikan.

Mereka-Mereka Yang Duduk Di Bandar.

Di sini saya sajikan nasihat saya kepada mereka-mereka yang duduk di bandar. Bandar itu ialah tempat perniagaan oleh sebab makmur dan maju perniagaan tempat-tempat itu telah menjadi bandar. Mereka-mereka yang duduk di bandar tetapi tiada kepada mereka itu Business Spirit itu ialah mereka-mereka yang menyiksakan diri mereka itu sendiri, menganiayakan harta sendiri, menjatuhkan roh sendiri, kerana jikalau kita tiada berniaga tetapi kita tinggal di bandar, kita terpaksa membayar hasil yang berlebih dan terkawal di dalam kawalan yang keras. Oleh itu, jikalau kita hendak tinggal di bandar, kita mesti bertabiat berniaga. Berniaga itu ialah suatu pekerjaan yang tersusah daripada berladang dan sebagainya. Tetapi kurang jerih daripada berladang. Pekerjaan berniaga itu ialah satu cawangan yang menaikkan mutu bangsa ((bacalah tawarikh kerajaan Inggeris masa Queen Victoria hingga sekarang)). Sebelum dijalankan perniagaan, kita mesti mengambil tau apakah perniagaan yang senang diperlakukan, pada zaman kesusahan ini, terlebih-lebih dikehendaki akan siasat dahulu sebelum dimulakan. Oleh itu, saya nasihatkan janganlah Tuan-Tuan senang-senang memulai membuat perniagaan yang besar-besar seperti menjadi Importer dan membuka gedung-gedung dan sebagainya.

Tetapi saya nasihatkan Tuan-Tuan memulai dengan kecil-kecil, Tuan mesti ingat yang Tuan-Tuan itu akan dilawankan oleh lain-lain bangsa dengan seberapa bolehnya. Di sini gunakanlah pelajaran yang Tuan-Tuan bermegah-megah itu. Tuan-Tuan mesti mulakan dengan berkecil-kecil, jangan Tuan-Tuan fikir kerana Tuan menerima Certificate Cambridge, menjual barang-barang di market itu kemaluan yang amat besar, lebih baik lapar daripada membuatnya!

Mulalah pada hari ini berjual barang-barang yang Tuan-Tuan fikir boleh menjadi satu perniagaan yang akan datang kepada Tuan-Tuan. Kerana sanya sehabis besar perniagaan di dalam dunia ini bergantung kepada jualan yang daripada saudagar kepada orang yang memakainya, bukan daripada saudagar kepada saudagar. Sudah teradat bagi bangsa Melayu ataupun juga orang-orang yang tinggal di negeri Melayu ini, mereka-mereka yang berkehendakan satu-satu barang itu jarang sangat ia pergi membeli kepada gedung yang membawa barang itu masuk ke negeri ini ((Importers)), melainkan di kedai-kedai kecil ialah berserak di serata-rata simpang bandar-bandar itu.

Maka di sinilah saya nasihat-menasihat saudara-saudara saya menyelit membunuhkan saudagar-saudagar yang tamak itu dengan berhaluankan ehwal Allah al-baih wa-haram al-riba. Maka bahawasanya di sinilah tanah yang amat-amat subur bagi anak-anak Melayu dan di sinilah puncah perniagaan, dan di sinilah roh perniagaan.

Jika sekiranya Tuan-Tuan boleh menjual daripada gudang besar kepada orang yang memakainya terus, inilah yang sangat dikehendakkan oleh masa.

Mulalah pada hari ini. Tak usahlah nanti modal puluh ribu dengan sedikit-sedikit beransurlah Tuan-Tuan. Inilah terlebih baik kerana makin lama makin mahir dan makin besar modal.