Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 12 Okt 1932, p.6

Editorial.

Melayu dan Malayan.

Tuan-Tuan Pembaca tentu sekali sudah sedar bagaimana kuatnya rempuhan permintaan bangsa-bangsa lain yang mengaku Malayan di dalam Negeri-Negeri Melayu ini akan hak-hak yang bersamaan dengan hak-hak kita anak-anak negeri sendiri.

Suara-suara itu selalu terbitnya daripada suratkhabar-suratkhabar Inggeris pada dewasa ini, utamanya di dalam Malayan Tribune, Singapura.

Di dalam seminggu dua yang sudah, tampaknya halaman surat-surat kiriman di dalam suratkhabar yang tersebut ini bolehlah dimisalkan sebagai medan peperangan di antara Melayu dan Malayan, utamanya Cina, tetapi bukanlah perang senjata, hanyalah perang kalam sahaja.

Tetapi kalanya peperangan kalam itu terlebih pedih dan ngilu daripada peperangan senjata.

Di dalam peperang perbahasan di atas hak-hak Melayu dan hak-hak mereka di dalam negeri Melayu ini, sebagaimana yang kita baca di dalam suratkhabar yang tersebut itu, tampaknya lebih banyak lagi askar-askar Cina yang melanggar daripada askar-askar Melayu yang mempertahankan kubunya.

Dan dalam itu pun ada pula bangsa asing yang datang menyebelah ke pihak Melayu hingga di dalam percawangan ini tidaklah ia ngeri daripada memperlakukan perkasanya.

Kita tampak bahwa bilangan Melayu yang campur di dalam perbahasan itu tidaklah munasabah dengan bilangan lawannya. Adakah yang demikian ini menunjukkan bahwa Melayu tidak mengambil peduli di atas siasat negerinya walau dipengap oleh orang sekalipun, hanya buat telinga tuli sahaja? Atau adakah yang demikian menunjukkan jua tidak ada berapa orang Melayu di dalam Semenanjung ini yang ada mempunyai pelajaran dan keberanian yang cukup buat menulis ke dalam suratkhabar Inggeris?

Atau pun adakah orang-orang yang campur itu sahaja yang ada mempunyai darah kebangsaan yang tidak lalu berdiam diri jika datang masa bergerak?

Kita tidak tau apakah jawab yang sebenarnya.

Tambahan pula orang-orang Melayu yang masuk ke dalam gelanggang perbahasan itu pun tampaknya kebanyakannya daripada Singapura, Johor, Kedah dan Kelantan sahaja, tetapi jikalau melihatkan ghalibnya, Negeri-Negeri Melayu Yang Tidak Bersekutulah yang berang.

Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ((FMS)) barangkali segan ataupun masih juga berkata ah, biarlah, walaupun Malayan itu berkata: negeri Melayu ini negeri kita, sebab kamilah yang mengkayakannya, orang-orang Melayu patut balik ke hulu-hulu dan ke hutan-hutan sebab mereka itu tidak layak dudukkan, apa lagi hendak memerintah negeri.

Apa kata orang-orang Melayu? Sedapkah bunyi lagu orang-orang Malayan ini?