Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Mar 1933, p.7

General Article.

Melayu dan Tiru-Meniru.

Setengah-setengah orang berkata kita Melayu maulah meniru-niru orang-orang di negeri yang bertamadun, setengah-setengahnya pula berseru kita Melayu maulah menurut pergerakan masa ataupun yang terlebih biasa dipekikkan ke telinga kita maulah "Bermoden". Lihatlah orang Cina, lihatlah orang Indonesia, lihatlah orang itu, dan lihatlah orang ini; begitulah suara mereka itu.

Tiada memadai kita meniru-niru orang di sana dan orang di sini, oleh sebab dengan semata-mata meniru itu tiada membawa kepada apa-apa perubahan yang baik atau kenaikan mutu Melayu itu barang seruas pun.

Tetapi sebaliknya, manakala penuh kepala kita dengan otak kebodohan dan manakala tiru meniru itu sekadar pakaian, kesajakan tuturan dan adat peraturan sahaja, maka jadilah sifat kedukaan kepada semata-mata meniru-niru secara itu sesuatu dinding yang tebal yang mengadangkan Melayu daripada kemajuan yang dicita-citai itu.

Sesungguhnya tiadalah pula sekali-kali kita menepikan sifat tiru meniru itu, tetapi hanyalah kita memang akan kesalahan sehingga kebanyakan daripada kaum kita yang memburukkan semua sekali apa-apa jua pergerakan dan perubahan kemodenan atau kemajuan seperti barang yang termesti mereka meniru-nirunya oleh apa yang dikatakan mengikut pergerakan masa itu.

Kerapkali juga didengar seruan kepada orang Melayu menyuruh mereka itu apabila cemburu akan kemajuan bangsa-bangsa lain.

Memadailah kita dengan semata-mata mengambil cemburu akan kemajuan orang dan meniru-niru setakat yang disebutkan tadi sahaja, pada hal, tiada kita mengambil usaha hendak mengetahui apakah rahsia yang mendatangkan kemajuan mereka itu?

Amatlah hairan kita melihatkan anak-anak Melayu kita khasnya dan orang-orang Melayu amnya jarang mengambil cemburu atau berhati hendak meniru-niru akan azam, kerajinan, keusahaan, dan kesabaran orang-orang di sebelah Barat sanya, melainkan leka dengan hendak menyamai atau berlawan-lawan dengan mereka itu di dalam barang yang jika tiada lebih bahayanya kepada kita tentulah tiada kurang jua kepada mereka itu iaitu apa yang negeri-negeri Barat sendiri sedang berteriakan. Tetapi apalah boleh dibuatnya, susu telah tumpah ke lantai, tiada dapat berikhtiar lagi melainkan melihat dengan mengerutkan muka sahaja.

Di dalam begitu banyak bilangan seruan-seruan kepada cemburu kepada bangsa-bangsa yang telah berkemajuan apakah yang terlekat kepada orang-orang kita? Adakah mereka itu ingin sedikit pun hendak meniru-niru akan azam keusahaan dan kesabaran pembesar-pembesar di sana?

Adakah boleh pembaca-pembaca menunjuk kepada kita orang-orang Melayu yang telah meniru akan teladan yang diberikan oleh orang-orang Barat seperti seratus itu pun, Sir Oliver Archer, Mr. Ramsay MacDonald, Sir W.R. Morris, atau Sir Henry Royce itu?

Semuanya mereka itu seperti yang telah kita huraikan ada sedikit di mana yang lalu di dalam akhbar ini bilangan 246, telah mencari nama kepada dirinya, lebih-lebih lagi kepada negerinya dengan azam dan titik peluh sendiri. Ada pula bukanlah mereka itu diperanakkan ke dalam dunia ini dengan terbuka baginya segala pintu pencarian atau pekerjaan kepangkatan yang besar-besar melainkan semuanya memulai dengan kehidupan yang miskin dan yang telah menaiki tangga kemuliaan daripada buahnya dahulu.

Dan lagi, seperti budi perangai dan jasa Duli Yang Maha Mulia Prince of Wales dan sekalian kaum keluarganya berapakah daripada orang-orang kita yang seumpama bandingan pangkat dengan negeri-negeri kita itu, yang sudah berkelakuan kemurahan dan beramah-ramahan dengan orang-orang miskin sepertinya? Sedikit sangat!

Dan jua adakah di antara kaum perempuan kita yang telah membuat keyakinan kepada negerinya seperti Florence Nightingale itu?

Berapakah di antaranya pula yang telah menjadi ahli-ahli pengetahuan yang padan dengan jenisnya seperti orang-orang pengetua-pengetua persekutuan perempuan yang akan memberi faedah kepada kaum bangsanya?

Adakah selalunya didapati banyak daripada mereka itu yang boleh menolong suaminya di dalam pekerjaan seperti kerja-kerja yang diperbuat di rumah, umpamanya tolong menulis-tulis, mengira dan lain-lain seperti itu?

Mengapakah tidak kaum kita laki-laki perempuan menirukan seperatus daripada teladan-teladan orang Barat itu? Apakah yang orang laki-laki kita tiru dan apakah yang perempuan-perempuan kita telah meniru?

Bersambung!

Teruna Sekarang.