Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 18 Mar 1933, p.4

General Article.

Ucapan Tuan Captain Noor Muhammad Hashim ((M.C.S.)) Di Sultan Sulaiman Club.

Oleh kerana sangat-sangat berguna ucapan ini bagi pengetahuan perhimpunan kaum yang umum, maka sukalah kita menjadikan satu daripada bawakkan Saudara kepada pembacanya.

Sebagaimana kita janjikan, inilah dihidangkan ucapan Tuan Captain Noor Muhammad Hashim ((Malayan Civil Service)), pada masa jamuan teh di rumah persekutuan itu, yang diadakan kemudian daripada mesyuarat agung pada hari Sabtu, 25 February yang lalu dan adalah lebih kurang seperti di bawah ini:

Kata Tuan Waterloo, iaitu seorang daripada Perdana Menteri Kerajaan Inggeris, yang telah meninggal dunia sedikit masa dahulu, adalah kejayaan sesuatu umat itu ialah daripada tinggi tingkah laku amanah kepercayaan dan usaha ahli-ahlinya. Dan adalah tingkah laku yang demikian yang dikehendaki itu sekadar dapatlah dipelajari di dalam kumpulan peramahan-peramahan yang baik-baik.

Apakah yang dikata kumpulan-kumpulan peramahan-peramahan yang baik? Maka iaitulah seumpama persekutuan ini, atau apa-apa jua persediaan yang dapat kita pandai-pandai berkumpul dan pelajari satu daripada lain, menghilang salah-salah faham, menambah pengetahuan yang sempurna kebajikan.

Adapun darihal kelab atau persekutuan Tuan-Tuan itu telah dibahas di Kuala Langat baru-baru ini dengan tujuan hendak mencari jalan supaya dapatlah orang-orang itu berkumpul kerana selagi belum orang-orang ramai itu berkumpul, tak dapatlah diperbuat apa-apa bagi mereka itu, kata sahabat saya Encik Pateh Akhir, pegawai yang hadir di situ.

Adapun kumpulan peramah-ramahan itu telah sedia bagi kita semenjak 1400 tahun dahulu, hanya kita yang tidak mengambil manfaat dan kebajikan daripadanya, sekadar maju kita bahwa telah sedia masjid, surau dan madrasah-madrasah berkumpul beramah-ramah lima kali sehari, mesyuarat agung seminggu sekali.

Tetapi kita lalaikan perjumpaan agung setahun sekali di tanah Arab dan itu pun jika kita pergi tidak pula diperbuat bagaimana hakikat tujuannya.

Sekarang eloklah kita balik kepada udwah [?] kelab atau persekutuan tiap-tiap bangsa yang datang ke negeri ini, ghalibnya mereka itu memperhati segala keadaan kita serba-serbinya.

Pertama, jika hendak diketahui kebesaran kita, adakah telah sedia tempat bagi kita berlatih kepada tuntutan kebesaran itu, seumpama kelab atau persekutuan ini?

Kedua, bagaimanakah perdirian tempat itu?

Ketiga, adakah ahli-ahli umat itu mengambil peluang pada keadaan tempat itu, dan menuntut dengan sesungguh-sungguhnya?

Jika kosong atau dengan hal keadaan tempat itu, di situlah dinyatakan orang darjat mutu kaum atau umat itu oleh kerana itu sangatlah kita berhajat kepada sesuatu tempat sedang persekutuan ini iaitu sebagai tambahan kepada tempat yang telah terdiri menurut peraturan 1400 tahun dahulu seperti sebutan yang baru lalu.

Bahwa menggunakan tempat ini dengan sesungguhnya akan mendatangkan kebajikan yang tiada terhingga dan dengannya dapatlah kita diberikan dalil kebesaran dan keadaan kita. Kerana itulah contoh peta hal keadaan kaum yang mempunyai dia.

Bagi tiap-tiap negeri memang telah ada tempat-tempat yang demikian itu Sultan Sulaiman Club bagi Selangor, persidangan belia bagi Negeri Sembilan, Iskandar Polo Club bagi Perak, demikian pula Kesatuan Melayu bagi Singapura. Persekutuan Melayu bagi Pulau Pinang, begitulah pula beberapa banyak persekutuan lagi bagi masing-masing negeri itu.

Bagi persekutuan ini dan yang lain seumpama ini moleklah dijadikan bukan sahaja persekutuan jajahan atau mukim seperti persekutuan Kuala Lumpur, tetapi persekutuan bagi seluruh negeri Selangor daripada Sultan hingga turun ke bawahnya, termasuklah orang-orang besar, pegawai-pegawai, saudagar-saudagar, kerani-kerani, tukang kayu, tukang besi, tukang kedai, peladang dan kesemua sekaliannya dengan sifat-sifat orang-orang Melayu.

Orang Melayu itu memang menuntut adab tertib, berhak masuk menjadi ahlinya dan mendirikan daripada persekutuan ini, contoh darjat tinggi mutu kaum Melayu Selangor.

Salah faham perselisihan itu berlaku di antara sekalian kaum di dalam dunia bagi kaum yang besar, kuat dan tinggi tamadunnya. Adalah tempat baginya menghilang salah faham itu dan menyelesai perselisihan mereka itu. Kita pun telah ada tempat itu seperti yang dibahas di Kuala Lumpur baru-baru ini, tetapi kita tidak menggunakan dia mengikut hakikat seperti yang tersebut tadi. Dan tambahan bagi itu inilah kita mencuba adakan persekutuan peramahan itu, walaupun di antara bangsa-bangsa Eropah tidaklah juga sunyi mereka itu daripada salah faham dan perselisihan, baik di antara tukang-tukang, saudagar-saudagar, ataupun pegawai-pegawai. Tetapi ghalibnya berjumpalah mereka itu di dalam persekutuannya atau kelabnya dan di situlah mereka itu membetulkan salah faham itu, hingga hilang segala yang keruh, tinggal segala yang jernih.

Di sini dibenarkan dan diperbanyakkan satu persatunya daripada sedikit-sedikit jalan yang boleh menghilangkan perselisihan itu.

Bagi kita orang Melayu, terlebih sangat dikehendaki bagi yang demikian sebab kita sangat jauh daripada faham yang terang di antara satu sama lain, hingga pun kepada makna tiap perkataan Melayu dan hak kita sendiri di dalam negeri kita. Sebagaimana boleh disaksikan bahwa di dalam sedikit hari ini berkenaan dengan hal mencari nafkah hidup kononnya, telah berbalah-balahan Melayu Melaka dengan Melayu Minangkabau ((pada setengah-setengah tempatnya)) di dalam ikhtiar yang sangat terik perbalahan itu. Tetapi tersunting pula dibelakangya bagi tiap-tiap kali keluarnya sebahagian daripada Sejarah Melayu dan di situ tidak sunyi daripada faham asal usul Melayu.

Di sini benarkanlah saya menerangkan sedikit lagi kerana saya telah sentuh bab ini dengan saksi secara Melayu itu, tiadalah siapa-siapa yang berakal boleh menuntutkan yang Melayu di dalam Semenanjung ini tidak kena-mengena dengan Melayu Sumatera dan Jawa. Melayu maknanya ialah sekalian penduduk gugusan pulau-pulau Melayu yang asal. Tidak guna berpincangan lagi.