Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Mar 1933, p.6

Editorial.

Pemandangan Di Udara Melayu.

Tiap-tiap Melayu ataupun tiap-tiap seseorang yang ada di dalam badannya jikalau setitik sekalipun daripada darah Melayu, nescaya menggelupar hatinya bila dibacanya telegram yang membawa percakapan Sir Ian Hamilton bagaimana yang tersiar di dalam Saudara pada hari ini.

Mengapa tidak? Kerana bukanlah sekali-kali kita kaum Melayu sekonoh-konoh alam Semenanjung ini orang tawanan yang ditawan oleh orang tanahair kita dengan kekuasaan alatan peperangan, tetapi hanyalah kita sekaliannya di dalam masa berasing nama-nama negeri kita ialah orang yang menyerahkan diri di dalam tanggungan amanat keadilan kerajaan Inggeris, minta pelihara dan petunjuk kepada jalan kemajuan dan pengetahuan dan kemakmuran bumi kita. Dan jikalau terkeluar kita daripada orang yang mempunyai hak yang mengamankan kepada kerajaan Inggeris dan termasuk kita ke dalam jumlah orang tawanan yang dirampas oleh orang tanahairnya dengan kekuatan peperangan, maka apakah akan jadi kita sekalian pada masa itu?

Dijauhkan oleh Allah kiranya daripada jadi bagaimana yang dikatakan oleh Tuan Yang Berhormat Sir Ian Hamilton itu.

Sungguh pun keyakinan kita bahwa kerajaan Inggeris yang maha besar ini tidak sekali-kali meringan-ringankan tanggungan yang maha besar bagi muslihat Empirenya di sebelah Timur ini, tetapi sukalah juga kita berkata dengan tulus ikhlas hati kita bahwa daripada mula kerajaan Inggeris di London termasuk ke dalam tangan puak Conservative dahulu, dikepalai oleh Mr. Baldwin, Menteri Besarnya, maka ahli-ahli mesyuarat kerajaan telah menetapkan hendak membangunkan naval base di Singapura kerana memelihara daripada bahaya seteru. Dan ketetapan itu telah mulai berjalan pekerjaannya dalam beberapa bantahan daripada puak Labour Party yang tujuannya tidak suka membelanjakan wang begitu banyak, dan tidak suka mendatangkan syak sangka yang kurang elok daripada kerajaan Jepun yang telah mulai bersungut ada masa itu.

Sebab tujuan puak Labour Party ini hendak menzahirkan peperangan di antara Raja-Raja dunia dan hendak membayangkan perjalanan perniagaan sahaja dengan perikatan persahabatan yang baik di antara semua Raja-Raja.

Maka dengan kehendak Tuhan, tidak berapa lama jatuhlah puak Conservative ini dan berhentilah Mr. Baldwin daripada jawatannya diganti oleh puak Labour Party pula. Maka menjadi Menteri Besarnya ketua puak itu iaitulah Mr. Ramsay MacDonald, Menteri Besar yang ada sekarang ini, dan daripada masa itu terhentilah pekerjaan Naval Base itu dan berusahalah Mr. Ramsay MacDonald ini menjalankan kuat kuasa dan tenaganya bagi menabur perasaan keamanan dan menghilangkan peringatan perseteruan di antara satu dengan lain di dalam perhimpunan pekerjaan Eropah, serta bersekutu ia di dalam perhimpunan majlis bangsa yang dibangunkan kerana tuntutan yang demikian itu juga kemudian daripada peperangan besar dengan niat hendak mensuburkan fikiran perniagaan dan menghapuskan fikiran permusuhan di antara satu dengan lain.

Maka apakah yang didapati oleh Mr. MacDonald kemudian tujuan puaknya Labour Party yang dia itu ketuanya.

Didapatinya apa yang di dalam sekam itu tiada juga boleh padam, hanyalah berjalan menurut tabiat semulajadinya dan perniagaan dunia bertambah-tambah remuk redam, hingga terpaksalah ia menyalahi setengah daripada tujuan puaknya Labour Party itu dengan membangunkan perhimpunan penguasa-penguasa yang menjalankan kerajaan atas nama kebangsaan yang bercampur di dalamnya Mr. Baldwin sama kerana menjaga muslihat Empirenya terlebih dahulu daripada yang lainnya, iaitulah perhimpunan jumlah menteri yang ada sekarang ini.

Di dalam cukup sempurna kepercayaan kita bahwa jumlah menteri yang ada sekarang ini cukup mengerti apa yang dikatakan oleh Sir Ian Hamilton itu, maka haruslah juga kita orang-orang Melayu ini bertanya sama sendiri, dijauhkan oleh Tuhan kiranya berlaku permusuhan bagaimana yang dikata oleh Sir Ian Hamilton itu)) jikalau kiranya berlaku juga. Maka apakah hal kita anak-anak bumi putera Semenanjung ini.

Saya berkata anak-anak bumi putera Semenanjung ini ialah sekalian anak-anak yang ada mempunyai darah kebangsaan Melayu bukannya kaum nafsu yang telah menzahirkan ejek-ejekkan semata-mata dengan sangka-sangka mereka itu bahwa akhbar yang di bawah oleh telegram daripada perkataan Sir Ian Hamilton ini seolah-olahnya jikalau dilakukan oleh Jepun ke atas negeri-negeri Melayu ini bagaimana yang dikata oleh Sir Ian Hamilton itu. Maka mereka itu telah mendapat bela daripada hancur lebur negeri mereka itu diperbuat oleh Jepun dengan hancur lebur Tanah Melayu ini.

Baiklah kita tinggalkan semua hal ini kerana di dalam ada bahas yang bercampur dengan politik dan kita belum layak sekali-kali bercampur di dalam bahas yang merbahaya ini, tetapi cuba kita hadapkan pemandangan dan pemerhatian kita kepada hal kita anak-anak bumi putera Semenanjung ini.

Apa bukankah telah zahir sekarang kelemahan, kebodohan dan kehinaan kita di dalam watan tanahair datuk nenek kita dan kaum bangsa kita.

Apa adakah berguna sekarang ini, dan di dalam perkara yang seumpama ini tawar jampi yang masih kebanyakan kita beriktiqadkan betulnya boleh menangkap dan membelenggu atau menghalau jin syaitan-syaitan bagi menegah kapal perang Jepun atau menghalaukan musuh yang merbahaya itu? Atau pun adakah berguna keramat-keramat yang kita berhadapkan kepadanya kekuasaan yang boleh menolong menyajikan hajat kita ataupun menolong menolakkan merbahaya yang hendak menimpa kita dengan perantaraannya daripada Tuhan Rabbiul Alamin itu supaya tidak meletup-letup meriam-meriam Jepun itu?

Tidak, tidak, dan tidak! Hanyalah muslihat watan kita ini berkehendak kepada korban nyawa yang di dalam tubuh kita, bermula darah anak-anak watan yang terhambur dahulu daripada keluar nyawanya kerana watan itu ialah air mawar sambutan rahmat, nikmat dan kelebihan daripada sekalian bidadari syurga jannatul-naim!

Apa adakah kesediaan kita wahai sekalian kaumku bagi yang demikian itu!!!