Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 15 Feb 1933, p.4

General Article.

Takrif Melayu. Ucapan Tuan Captain Noor Muhammad Hashim M.C.S.

Sambungan Saudara Bilangan 287.

Demikianlah juga tujuan kerajaan seperti kata Sir Hugh Clifford di dalam masanya dalam satu Mesyuarat. Pada hal, keadab sekarang ini menyaksi sekuat-kuatnya berkenaan dengan lawatan Sir Samuel Wilson, takrif perkataan Melayu yang telah dikeluarkan oleh setengah penulis-penulis negeri.

Sanya, jika sudi dan jika tidak ikutlah nafsu masing-masing dan janganlah sangat-sangat hendak diduga atau tanya siapa itu dan bagaimanakah perkataannya dan siapakah yang menguasakan dia. Dan seumpama itu segala yang demikian itu akan datang kerugian dan bukan untung.

Bagi orang yang hendak menduga demikian, tiada siapa daripada penulis negeri atau pegawai-pegawai akan menjawabnya. Yang demikian akan mengambil fitnah dan tidak sekali-kali kebajikan. Iaitu siapa jua yang diperanakkan di dalam Semenanjung Tanah Melayu dengan salah satu ibu atau bapanya daripada orang Melayu berugama Islam bertutur dan beristiadat Melayu dan setia taat kepada Raja Melayu serta orang itu dijumlah orang Melayu.

Tidakkah luas takrif itu?

Dan apakah untung yang hendak dicari hendak berpanjangan hal ini dan riuh rendah Melayu itu Melayu ini dan segala karut-karutnya. Sekarang jika inilah madlulnya cuba kita cari dalilnya.

Raja Perlis dan Setul, Sultan Siak dan Pontianak dan beberapa lagi Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu di dalam gugusan pulau-pulau Melayu ini daripada Tuan-Tuan Syed. Di mana datang "Syed" Melayu dan tentulah Tuan Syed itu turunnya daripada negeri Arab.

Cubalah disusur-galurkan Sultan Deli sekarang ini, akan didapati hingga kepada negeri India asalnya, daripada salah satu pancarannya. Cuba pula kita pandang ke Negeri Sembilan yang beristiadat dengan Undang Lembaga Waris dan Perut, Waris yang Tujuh menjadi Lembaga, hinggakan Undang-undang itu daripada Perut, anak seorang Undang ((Pemerintah negeri daripada sembilan buah itu walaupun kurang bilangannya tetapi itulah adatnya)) tiada hak boleh menjadi Undang. Jika hendak menuntut daripada jalan bapanya. Tiada hak boleh menjadi Undang ((Perintah atau Raja yang boleh dipakai di setengah tempat)) itu menuntut daripada jalan Perut ibunya, iaitu ibunya daripada anak perempuan seorang waris Undang yang telah lalu dengan tidak menghirau siapa bapanya, baik Arab, Hindustan, atau Cina atau sebagainya.

Maka di sini pula apabila disebut Cina janganlah dijadikan satu perbalahan, Cina nama bangsa bukan agama. Kita semua tau bermillion-million Cina Islam dan islamnya terlebih dahulu daripada kita dan terlebih kuat. Siapakah salah satu daripada Bukhari Muslim walau Arab bukan makna agama, iaitu bangsa Arab Islam ada Arab Yahudi, ada Arab Nasrani, iaitu bukan mualaf tetapi daripada asal hingga hari ini.

Nasihat saya apabila telah saya terlanjur lidah sampai ke sini, janganlah saudara-saudara saya menghilang masa berkelahi yang sia-sia yang tiada suatu untungnya melainkan pecah belah membuka aib sendiri. Sebenarnya tiada sekali-kali aib tetapi diacuankan aib itu sebab hendak menjatuhkan lawanannya kepada bangsa lain dan diberi peluang bangsa lain mengutip memungut segala keuntungan yang tercicir daripada peperangan kita.

Gunakanlah masa yang sangat berharga itu kepada jalan kebajikan diri dan kaum.

Bergunung beribu kita dan berlautan banyaknya kebajikan itu teruntuk bagi kita. Dan janganlah pusingkan kepala kita daripadanya dan mengadap kepada yang sia-sia.

Tersebut di atas tadi satu sifat bagi yang dijumlahkan Melayu itu taat setia kepada Raja Melayu. Sebelum tiba Sir Samuel Wilson, ada juga daripada bangsa lain-lain bertanya saya apakah orang-orang Melayu hendak perbuat berkenaan dengan kedatangan itu.

Jawab saya, tiada apa-apa yang saya tahu dan tiada berkehendak kepada apa-apa. Negeri ini negeri kita dan hak di dalam negeri ini hak kita. Bagi orang yang di luar itulah kerana kelaminnya di dalam negeri ini dan telah merasa murah hati Raja-Raja Melayu, terasa berkehendak lagi. Dan itulah bersedia berbagai-bagai kalau-kalau dapatlah Sir Samuel Wilson menasihat Raja-Raja Melayu memberi lagi.

Dan yang kita berkehendak, kita akan sembahkan kepada Sultan kita masing-masing kepada Raja-Raja Melayu mencuba hendak bermesyuarat dengan saya di dalam hal itu. Jawab saya tidak sekali-kali, berkehendak sesuatu itu. Kita di dalam rumah kita, orang yang di luar itulah berteriak dan janganlah kita mengikut berteriak sama-sama dan jadikan kita sama juga orang yang di luar itu, sama jua kita hanyalah ibu bapa kita yang dalam rumah seperti orang-orang di luar itu mencuba hendak menyenangkan kerana melalaikan mereka itu katanya. Kata saya orang-orang Melayu hendaklah bersatu dan taatkan dengan sekuat-kuat setia kepada Sultan masing-masing. Jika adalah apa-apa disembahkan kepada Sultannya masing-masing. Kuatkan State Council masing-masing. Adalah Treaty di antara kerajaan Inggeris dan masing-masing Sultan atau Raja itulah sebesar-besarnya azimat bagi orang-orang Melayu. Jika orang-orang Melayu mengambil manfaat azimat itu, selamatlah dia.

Jika tidak, kerajaan Melayu tidak sekali tersentuh, melainkan dia itulah kena parah.

Jawab ini dan lain lagi seumpama ini telah saya bercakap banyak kali, dan kepada banyak orang yang bertanya saya berkenaan dengan hal siasat negeri dan orang-orang itu, semua bertawar seluruh Tanah Melayu dan akan menyaksi cakap saya di sini apabila didengarnya. Hak orang Melayu pula di dalam negeri Melayu ini hendaklah mengikut tertibnya.

Jika adalah daripada putera Sultan yang layak pada masa ini dan berkehendak jawatan itu, berhaklah baginya sekiranya tidak terpelinglah kepada apa-apa Raja kemudian anak-anak orang-orang besar dan anak pegawai-pegawai Selangor, kemudian anak Selangor, kemudian anak Melayu yang diperanakkan di lain daripada negeri Selangor. Kemudian peranakan negeri Selangor daripada bangsa lain daripada bangsa Melayu dan kemudian bangsa lain daripada bangsa Melayu.