Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 23 Aug 1930, p.6

General Article.

Menghidupkan Pertukangan Tangan Melayu.

Di dalam syarahnya kepada dif-dif Yang Berhormat di Rumah Kerajaan kerana melihat barang-barang yang telah dikumpulkan oleh Lady Clementi itu dengan bantuan daripada beberapa orang-orang lagi yang ada gemar dan suka bercampur di dalam perkara yang sangat-sangat berguna ini Lady Clementi itu telah berkata, "Hingga boleh dikatakan baru ini Tanah Melayu ini ialah sesuatu negeri yang sedikit sangat penduduknya dengan tiada perhubungan perjalanann yang tetap, baik di dalam negeri atau dari luar dan dari itu, pertukangan-pertukangannya disebabkan oleh dan bergantung kepada pergunaan di dalam negeri itu semata-matanya.

Menjadikan apabila pintu ke dunia luar telah dibuka telah ada sedikit atau tiada lalu barang-barang yang boleh keluar. Akan tetapi banyak sekali yang boleh masuk kesudahannya ialah menghapuskan dan meninggalkan pertukangan-pertukangan di sini dan sedikit daripadanya telah terlepas daripada bantuan kita. Akan tetapi yang lain-lain pula masih boleh diselamatkan.

Saya telah diberitahu iaitu berkenaan dengan sejenis buyung-buyung hitam hanyalah seorang perempuan tua ada tertinggal lagi yang mengetahui membuatnya. Kita berharap akan dapat memujuk kepadanya supaya mengambil dua orang bagi melatihkan pekerjaan itu supaya jangan rahsianya itu mati bersama dengannya".

Khabarnya dengan hemahnya sendiri, Lady Clementi akan membuka sebuah pasar bagi barang-barang pertukangan Melayu di Raffles Hotel Singapura dengan tujuan supaya ketukangan Melayu itu dapat dihidupkan, kita berasa patut menggelarkan "Lady Clementi" ini dengan "Ibu Semenanjung".

Patutlah rasanya kita berseru kepada ibu kita yang baru berhemah itu supaya bersungguh hati mendidik anaknya. Bagi pihak anak haruslah menerima pendidikan yang semata-mata akan berguna kepadanya.