Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 May 1931, p.9

Editorial.

Adakah Kebangsaan Melayu itu Bersemangat Layu?

Apalah agaknya kenikmatan yang melenakan orang-orang Melayu ini sehingga tinggal berdiamkan diri selama-lama di dalam masa yang sangat hiruk dan sibuk suara-suara berbuatkan hak kebesaran dan kekayaan bagi masing-masing mereka yang datang di negerinya ini?

Boleh dikatakan tidak putusnya suratkhabar-suratkhabar pada waktu yang akhir ini membawa Warta Malaya bagaimana fikiran dan cara mereka-mereka meminta atau akan membahagi-bahagi hak di dalam negeri Melayu ini yang sayogianya terlebih daripada hak-hak yang boleh dipunyai oleh orang-orang Melayu sendiri.

Maka betapakah mereka itu berdiam diri?

Adakah gerangan dengan sebab kediaman mereka itu menunjukkan keredhaannya atas kehendak-kehendak bangsa asing membahagi-bahagi hak jawatan dan tanahair yang dikasihinya ini. Tentulah tidak sekali-kali!

Hanyalah kita teringat bahwa orang-orang Melayu ini semenjak daripada dahulukala telah termashyur dan terkenal daripada orang-orang yang taat kepada ketua dan pembesar-pembesarnya siapa yang mereka itu percayai akan memberi sesuatu perlindungan bagi keselamatan hak milik dan harta bendanya daripada sesuatu bencana yang boleh mencederakannya, terutama dari pihak orang-orang asing daripada ahli-ahli negerinya.

Jika yang demikian itu masih berlaku lagi sampai kepada hari ini, kita fikir tiadalah siapa lain lagi yang berkuasa mesti mencari ikhtiar dan usaha pada menyelamatkan mereka itu daripada gangguan-gangguan bangsa asing itu melainkan di antara ketua-ketua dan pembesar-pembesar kita yang sesungguhnya terlebih mengetahui akan apa-apa muslihat yang berguna bagi umatnya kaum anak negeri Melayu di dalam negerinya ini.

Bahwasanya di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan Yang Tidak Bersekutu kita ketahui ada Raja-Raja kita dan Ahli-Ahli Majlis Kerajaannya yang berhak dan berkuasa menaungi hak-hak rakyat negerinya yang asli bahkan di negeri-negeri Selat ini iaitulah pihak kerajaan kita ((Government British)) yang maha besar itu, siapa yang telah mengadakan pembesar-pembesarnya bagi pihak Melayu yakni rakyat yang asli di negeri ini, sebagaimana keadaan beberapa orang pegawai-pegawai keamanannya atau JP kita itu.

Oleh itu, tentulah kiranya bukan sesuatu perkara yang mustahil lagi apabila umat Melayu ini berdiamkan dirinya di atas sesuatu rundingan yang mustahak itu akan mendapat gerakan atau pimpinan daripada pembesar-pembesar atau JP-JP-nya yang tersebut sebagaimana bangsa-bangsa asing itu telah mendapat gerakan dan pimpinan daripada pembesar-pembesarnya jua daripada menyedarkan mereka itu akan berbuat atau meminta hak-hak yang dirasainya berhak ia di dalam negeri yang bukan negerinya sendiri ini.

Kita fikir sudah sampai masanya orang Melayu ini patut digerakkan atau dipimpin supaya ia menyedar atau mengenal mana-mana benda yang berhak ia di atasnya dan jua mana-mana ikhtiar dan usaha yang patut ia mempunyai dan mengerjakannya di antara sama-sama kaum bangsanya sendiri.

Kerana jika dilamakan atau dilengah-lengahkan lagi, kita khuatirkan mereka itu kelak akan kehilangan sebutan bangsanya di atas negerinya sendiri sebagaimana telah kehilangan mereka itu akan tanah rumah dan usaha perniagaan serta kampung halamannya yang di dalam bandar-bandar itu telah pindah menjadi hak milik orang-orang asing belaka. Betullah kesemuanya itu dengan sebab berjual beli, akan tetapi patutlah mereka itu disedarkan bahwa seseorang anak negeri yang tidak berhak "tanahair" di dalam negerinya sendiri betapakah ia akan berhak di dalam jawatan negeri itu?

Sekarang ini masih ada peluang dan peluang itu masih diakui oleh kerajaan yang sesungguhnya kasih kepada rakyatnya anak negeri ini yang asli. Oleh itu, maka peluang yang tersebut tidaklah patut dilalaikan bagi memperdengarkan suara dan permintaan-permintaan yang berhak di atasnya iaitu dengan jalan mengumpul kesatuan maksud dan fikiran mereka itu di atas muslihat dirinya sendiri.

Adakanlah Kongress Melayu di negeri-negeri Melayu ini!