Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 3 Dec 1931, p.4

Feature Article.

Perkhabaran Kampung Dusun Tua.

Adapun Dusun Tua satu daripada kampung di dalam Mukim Ulu Langat. Sebelum saya menceritakan perihal kampung ini, moleklah saya ceritakan sedikit darihal Mukim Ulu Langat.

Yang dikatakan mukim Ulu Langat termasuklah Sungai Loti, Lubuk Kelubi, Bukit Raya dan Dusun Tua. Keramaian manusia yang diam di dalam mukim ini iaitu mengikut banci T.M. 1931 adalah kadar 8,000 orang. Daripada sebanyak itu, 5,000 orang Melayu, selebihnya itu lain bangsa yang mencari kehidupan kepada orang Melayu. Sungguhpun semasa ini zaman meleset, tetapi orang di mukim itu masih di dalam kesenangan lagi, sebab apa?

Kerana lebih 80 peratus daripada anak Melayunya mempunyai tanah sawah apa lagi kebun getah, dusun durian dan kelapa. Maka mukim ini diperintahkan oleh seorang penghulu bagi menjaga mukim ini, iaitu Tuan Haji Abdul Jalil, dan ia juga yang mengajar ugama di Madrasah Ulu Langat pada tiap-tiap malam, tempohnya sudah panjang sangat. Hal ini moleklah pula diceritakan darihal Dusun Tua itu, iaitu seperti yang berikut di bawah ini:

Sebabnya dikatakan kampung Dusun Tua kerana ada suatu dusun durian yang tersangat tua pokoknya, kerana sebelum kampung ini dibuka, dusun itu sedia ada di situ, entah siapa menanam tiada diketahui. Banyaknya tujuh batang, sebilang tahun tiada kurang daripada ratus ringgit dapat oleh Tuannya. Adapun yang empunya pada masa ini ialah bangsa kita Melayu.

Kemashyuran kampung ini yang terutama sekali ialah lubang air panas satu dipunyai oleh orang Inggeris dan satu lagi dipunyai oleh Cina, iaitu cawangan daripada rumah berehat Orang Putih itu. Adapun rumah berehat orang Cina itu lebih molek daripada rumah berehat Orang Putih itu, iaitu cukup dengan padang main tennis, tamannya bagus, rumah tempat mandi cukup semuanya sama ada tempat mandi air panas dan air sejuk; dan lain-lain lagi.

Maka pada sebilang hari, tiadalah khali dua-dua rumah berehat itu dilewati oleh bangsa-bangsa lain. Adapun rumah berehat Cina ini siapnya ialah tahun masehi 1929.

Di manakah Melayu?

Rumah berehat ada jua iaitu dahulunya sedikit, tetapi tak ada bertaman dan rumah tempat permandian.

Sungguhpun begitu, sebilang hari iaitu waktu pagi dan petang, selalu dilewati orang Melayu kampung asing, kerana menghilangkan miang-miang dan gatal-gatal oleh miang padi, sebab semasa ini sedang menuai.

Kehidupan orang di kampung ini ialah daripada sawah kebun getah dan sedikit-sedikit kelapa. Pendek kata, empat perlima daripadanya ada belaka tanah sawah dan kebun getah. Harga getah di sini laku jua sembilan atau sepuluh sen ((getah tak berasap)) dan semasa ini sudah terdiri dua kedai syarikat getah Melayu. Satu diketuai oleh Tuan Duke dan lagi Muhammad Dameh ((Pengarang Lidah Benar)).

Makanan orang di sini senang lagi, beras memang tak membeli. Sayur-Sayur lain daripada tanaman sendiri pun ada juga dihujung tanjung sungai-sungai itu, umpama pucuk paku ((pakis)), pucuk ubi pun banyak jua, ikan-ikan sungai kalau rajin menjala ada juga. Yang berniaga di sini hampir-hampir semuanya orang Melayu, istimewa kedai kopi. Maka baru dalam tahun masehi 1931 sudah terdiri sebuah kedai syarikat Melayu ((kedai barang-barang) oleh share-share ((syarikat)) orang kampung dengan modal $310. Sebilang hari tak kurang lakunya daripada sepuluh lima belas ringgit. Pendeknya, segala perniagaan di sini sama ada getah, barang-barang makanan, banyaknya ke tangan Melayu.

Maka di dalam akhir tahun 1929, sudah siap sebuah masjid baru dengan modal $12,000 dua belas ribu ringgit lebih kurang. Keadaan masjid ini boleh tahan, tetapi tentang airnya nombor satu di dalam Selangor.

Guru ugama sedia mengajar sebilang masa di sini iaitu Tuan Haji Jaafar bin Sheikh Abdul Ghani, Pinang Baik. Guru ugama sekolah laki-laki Tuan Haji Hassanuddin bin Haji Nasir Billah. Guru kanak-kanak perempuan iaitu Encik Zainab binti Muhammad Noor.

Pada masa sekarang fasal mencari wang sangat susah, tetapi di sini ada lima orang pergi naik Haji pada tahun ini.

Maka perihal keadaan sekolahnya pula betul tak ada nama di antara sekolah-sekolah dalam Selangor, terutama pelajaran. Tetapi tanam padi ada disebut oleh gurunya dan murid dalam kawasan sekolah itu masa ini baru mulai berisi.

Diharapkan kepada sekolahnya eloklah pula mulai berisi dengan "Nama Baik" iaitu kalau gurunya serta murid mau bekerja, yang telah sudah itu biarlah akan datang mau buat nama sekolah dusun muda, ertinya Dusun Baru. Tetapi kalau semacam ini orang kampungnya serta macam ini jua kelakuan muridnya walau semacam mana usaha gurunya, susah maju.

Maka inilah sahaja diharapkan kepada sekalian pembaca memberi maaf kepada penulis mana yang tersalah terutama kepada Yang Mulia Tuan Pengarang W.M. kerana ruangannya. Wa-salam.

Oleh Raksa Buaya, Guru Penolong Dusun Tua.