Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 2 Mar 1934, p.8

Terima Kasih.

Syukur itu menerima kasih. Maka syukur itu satu perbuatan yang sangat-sangat hendak diambil berat dengan mengetahui apa ertinya dan bagaimana melakukannya kerana syukur itu sentiasa kita menggunakannya seperti kata syukurlah atas nikmat Tuhan kepada kita, iaitu menerima nikmat dengan berkenan, dan memuji serta memperhargakannya dan seperti kata orang: Ayop tidak syukur! Ertinya, Ayop tidak memperhargakan dan tidak mempadakan, dan ada kata orang mengucap syukurlah kita, ialah seperti mengucap puji-pujian. Maka ini semuanya mudah dan menyempurnakannya itu banyak dengan perkataan-perkataan seperti memuji.

Dan lagi, syukur itu membuat dan melakukan sesuatu itu berbetulan dengan apa-apa kerana diadakan dia seperti tangan dijadikan supaya dibawa membuat kerja. Maka seseorang yang memperhargakan tangannya dengan membuat pekerjaannya yang memberi faedah dan manfaat mengikut tujuan menjadikan tangan supaya bekerja mencari faedah dan kebajikan itu, syukur namanya!

Dan apabila tangan itu dibiarkan malas dan dikekalkan dengan hal tidak tahu atau tidak mahu bekerja, maka tidaklah tuah punya tangan itu syukur kepada tuhan yang telah mengurniakan nikmat dengan menjadikan dia bertangan itu. Dan apabila dibawanya tangan itu kepada perbuatan salah dan jahat, seperti mencuri memukul dan membunuh dengan tiada sebenarnya itu, maka bermaknalah setelah tidak syukur itu lalu pula menjadikan nikmat tuhan itu satu alat membuat salah dengan menderhaka.

Dan hal ini sama dengan memberi senjata kepada seorang supaya menjaga diri dan rumah lalu dibuatnya membunuh atau melakukan orang dengan tiada sebenar atau dengan senjata itu ia mencuri atau membunuh orang yang memberi dia senjata itu. Maka alangkah jahatnya orang itu, dan adakah demikian itu memberi terima kasih namanya? Tidak sekali-kali!

Demikianlah syukur dan memberi terima kasih dalam lain-lain perkara lagi seperti mendapat nikmat sihat. Maka sihat itu tentu dengannya boleh berusaha dan bekerja baik pekerjaan dunia atau akhirat. Maka seseorang yang sihat itu apabila ia memperhargakan kesihatannya dengan membuat pekerjaan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh hati, barulah bermakna syukur atas nikmat kesihatan itu.

Dan jika duduk mengikut malas jadi sialah kesihatan itu, dan kerapkali ia akan meninggalkan tuannya yang tiada memperhargakan dia itu.

Demikian pula syukur atas nikmat ilmu itu, hendaklah ilmunya itu dijalankan kepada kebajikan seperti diajarkan kepada orang-orang lain dan bekerja mengikut bagaimana kehendak dan tujuan ilmu itu, seperti tahu ilmu perubatan hendaklah dihargakan dengan mencari apa-apa sebab penyakit dan apa-apa ubatnya, supaya digunakan dan mendapat sembuh.

Dan jika tidak digunakan ilmu itu, jadi sialah ia dan tiada apa-apa pun faedahnya kepada orang.

Begitu juga syukur atas nikmat harta, iaitu hendaklah dijalankan harta itu kepada apa-apa yang boleh memberi faedah dan manfaat daripadanya, seperti membeli makan pakai tempat kediaman memberi belanja anak isteri dan sesiapa yang patut dan dijalankan kepada kebajikan-kebajikan seperti berkhairat dan menolong orang susah dan mendirikan pekerjaan yang memberi manfaat dan untung kepada orang ramai.

Maka qiaskanlah demikian itu dengan lain-lain nikmat lagi supaya dapat menyempurnakan syukur dan memberi terima kasih itu dengan sebenar-benarnya.