Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 19 May 1934, p.10

Editorial.

Rampaian.

Tiap-tiap seorang berkehendak menjadi kaya dan ada yang mendapat sebagaimana yang dicita-citanya. Tetapi ada beratus milyun juga yang tertinggal dengan angan-angan dengan tiada mendapat sebagaimana yang dicita-citanya.

Seorang yang telah datang ke Tanah Melayu kira-kira 50 tahun dahulu yang telah menjadi seorang daripada orang-orang yang kaya sekali di dalam Semenanjung ini oleh mendapat kekayaan di dalam perusahaan beras ubi kayu dan lain-lain telah berkata iaitu perkara-perkara yang mustahak di dalam satu perusahaan yang diperbuat itu ialah berjimat cermat dan bekerja bersungguh-sungguh yang hendaklah diutamakan dalam muslihat mencari kekayaan.

Saudagar Business atau kisah sepound daging demikianlah namanya sebuah buku yang comel, iaitu satu cerita yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh teruna tercintai di matbaah khairiat muar. Harganya sepuluh sen sebuah bersih belanja post.

Atas permintaan buku yang tersebut itu, kita ucapkan banyak terima kasih. Mudah-mudahan akan banyak lagi orang-orang kita mengeluarkan buku-buku yang berfaedah bagi bacaan kaum kita.

Maka sekalipun boleh diakukan banyak kekurangan buku-buku karangan Melayu kiranya dibandingkan dengan buku-buku karangan dalam bahasa asing, tetapi adalah harapan akan bertambah juga buku-buku karangan Melayu manakala diperhatikan perusahaan pengarang-pengarang buku-buku cerita Melayu yang kasihkan bahasa dan bangsanya itu, ada beransur dengan baik. Walaupun dengan perlahan-perlahan tambahan pula pada masa itu ada bertambah banyak orang-orang Melayu kita suka membaca buku-buku karangan Melayu dan dengan keadaan kandungan buku-buku itu dengan membawa berbagai-bagai gubahan karangan pengetahuan nasihat, pelajaran dan tauladan-tauladan yang baik.

Maka adalah terbayang-bayangkan kebenarannya ada harapan buku-buku karangan Melayu akan bertambah bilangannya dari satu masa ke satu masa.